Amalan 10 Awal Zulhijjah Yang Kian Terabai

Marhaban Ya Zulhijjah 1433H

Kedatangan bulan Zulhijjah, bagi orang sekarang, tidaklah ada apa yang istimewa, melainkan bagi mereka yang menunaikan haji. Sedangkan 10 hari di awal bulan Zulhijjah ini penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Bahkan Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban pun tidak begitu dibesarkan perayaannya, berbanding hari raya puasa, kerana bagi sesetengah orang, hari raya itu sekadar untuk mereka yang menunaikan haji sahaja. Tidak dirasakan pentingnya, dan dibiarkan begitu sahaja. Sedangkan hakikatnya dalam Islam, perayaan yang paling besar adalah Hari Raya Idul Adha, bahkan syiar paling hebat dalam Islam ialah hari Arafah. Kalau nak dikira takbir hari raya pun, Idulfitri cuma terhenti pada solat hari raya, sedangkan takbir idul adha sehingga hari keempat (termasuk hari tasyriq)!

Di dalam al-Quran, Allah berfirman, "Dan demi waktu fajar, dan malam yang sepuluh itu." [Surah al-Fajr: 1-2]. Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan sesetengah sarjana berpendapat bahawa waktu fajar itu ialah waktu fajar hari-hari raya korban 10 - 13 zulhijjah, dan sepuluh malam itu, majoriti ulama tafsir dan para tabi'in berpendapat bahawa ia merupakan 10 malam-malam awal bulan Zulhijjah. Itulah keistimewaan 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah sehinggakan disebutkan di dalam al-Quran.

Bahkan Imam Bukhari telah menganggap kelebihan 10 hari awal dalam bulan Zulhijjah, sama dengan kelebihan hari-hari tasyriq dalam bulan zulhijjah. Dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Ibn Abbas, Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidak ada satu pun amalan yang baik, yang lebih baik di sisi Allah, daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari ini (10 awal zulhijjah). Lalu sahabat bertanya, "Adakah jihad fi sabilillah juga tidak lebih baik?". Rasulullah s.a.w menjawab, "Ya, tidak juga jihad fi sabillah, kecuali seseorang yang keluar untuk berjihad dengan diri dan hartanya lalu tidak pulang dengan sesuatu pun" [Bukhari, Muslim, Termidhi, Ibn Majah, Abu Daud, Ahmad]

Jelas sekali, amalan ibadah yang dikerjakan pada 10 awal Zulhijjah, dinilai tinggi di sisi Allah, tidak kepada mereka yang menunaikan haji sahaja, bahkan bagi seluruh umat Islam. Bahkan hadis tersebut memberi gambaran bahawa ibadah 10 Zulhijjah sama dengan keluar berjihad dan syahid di medan jihad. Begitulah hebatnya amalan yang dilakukan pada 10 awal Zulhijjah, tetapi umat kini membiarkan sahaja 10 Awal Zulhijjah berjalan sia-sia tanpa apa-apa pengertian.

Abdullah Ibn Umar r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidak ada satu pun hari yang lebih agung di sisi Allah, juga tidak ada amalan yang lebih disukai oleh Allah, kecuali apa yang dilakukan pada 10 hari yang ini, (10 awal zulhijjah), maka perbanyakkanlah tahlil, takbir dan tahmid" [Riwayat Ahmad]. Jelas hadis ini menggesa umat Islam agar memperbanyakkan zikir kepada Allah pada 10 awal zulhijjah.

Ini bertepatan pentafsiran bagi sebahagian ulama maksud "hari-hari yang ditentukan" dalam firman Allah, "Maka sebutkan nama Allah, pada hari-hari yang ditentukan itu.." [Surah al-Hajj: 28], ialah 10 awal dalam bulan Zulhijjah.

Justeru, sebenarnya boleh dikatakan sepakat para ulama' tentang wujudnya kelebihan 10 hari awal pada bulan Zulhijjah, bukan sekadar bagi mereka yang menunaikan haji, tetapi kepada semua umat Islam. Falsafahnya, agar musim ibadah haji setiap tahun dirasai hebatnya oleh semua umat Islam seluruh dunia. Segolongan yang menunaikan haji cuma mewakili umat Islam dari seluruh pelosok alam ini, untuk memuja Allah di satu tempat yang mulia. Falsafahnya ialah umat Islam adalah bertuhankan Allah yang MAHA SATU, memuja dan memuji Allah di seluruh alam, lalu diwakilkan kepada mereka yang menunaikan haji untuk beribadah kepada Allah di tanah suci. Begitu sekali Allah ingin menanam kesatuan hati di kalangan umat Islam, berasaskan tauhid kepada Allah, berasaskan jiwa yang menSATUkan Tuhan.

Apakah Amalan Yang Wajar Dilakukan?

Dengan lebihnya 10 awal Zulhijjah, maka wajarlah diperbanyakkan amalan, tetapi perlu juga amalan yang berlandaskan Syariah dan dalil yang betul.

1. Berasaskan hadis riwayat Ahmad yang diberikan tadi, maka pada 10 awal bulan Zulhijjah, wajar dibanyakkan zikir dengan memuji Allah, mensucikan Allah, membesarkan Allah, dan segala amalan zikir yang diajar oleh Rasulullah, perlu diperbanyak lebih dari biasa. Kerana seperti yang dijelaskan, segala amalan yang baik yang dilakukan pada awal Zulhijjah ini amat agung pahalanya. Sambil berjalan, memandu kereta, tukarkan daripada menyanyi lagu pilihan ramai kepada zikir pilihan Allah. Tidak sukar pun untuk mendapatkan keampunan daripada Allah, yang sukarnya adalah untuk menjinakkan nafsu memohon ampun dan membesarkan Allah.

2. Berasaskan kelebihan malam 10 awal zulhijjah, maka wajarkan menekankan ibadah malam seperti Qiyamullayl dan membaca al-Quran, sebagai mana kita memperbanyakkan ibadah malam di bulan Ramadan. Tapi janganlah pula buat terawih di 10 awal Zulhijjah, nanti bidaah pula jadinya.

3. Memperbanyakkan puasa, khususnya pada 9 Zulhijjah. Puasa sunat tidak dinafikan kelebihannya. Mengambil kelebihan 10 awal Zulhijjah secara umum, maka bolehlah berpuasa mulai 1 Zulhijjah lagi, tetapi setidak-tidaknya, puasalah pada 9 Zulhijjah iaitu pada hari Arafah. Rasulullah dalam sebuah hadis menyifatkan bahawa puasa pada hari wukuf di Arafah, boleh menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu dan selebihnya!! [Riwayat Muslim daripada Abi Qatadah]

4. Memperbanyakkan sedekah berasaskan fadilat 10 Hari Awal Zulhijjah secara umum. Gandakanlah sedekah lebih daripada biasa, selain daripada melakukan ibadah Qurban pada hari raya Aidil Adha.

Dengan melakukan ibadah-ibadah yang luar biasa, atau lebih banyak daripada biasa pada 10 awal Zulhijjah, barulah lebih terasa agungnya hari tersebut, dan meriahnya Aidil Adha yang seringkali dipandang sepi oleh masyarakat kita. Bahkan cuti pun sehari sahaja, sedangka Idul Adha lah yang lebih utama untuk dirayakan, dan dibesarkan Allah padanya.

Semoga falsafah Idul Adha yang utama, iaitu tauhid dan kesatuan umat dapat dirasai melalui ibadah-ibadah yang dilakukan. Semoga 10 awal Zulhijjah, tidak disia-siakan seperti hari-hari yang biasa.

Penulis :
AHMAD SUFYAN CHE ABDULLAH  Klik   DI SINI  jika anda ingin dapatkan nota Kelebihan Sepuluh Hari Awal Zulhijjah dalam format PDF susunan Tn. Hj. Dr. Abu Anas Madani.

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam