Monday, October 29, 2012

Sama Memandang Berbeza Fokus

Hari ini aku bercuti.Perancangan awal pada hari raya kedua nak ke Pekan Pahang untuk bertamu ke rumah keluarga bakal besan namun kerana kerja-kerja pembaikan rumah belum selesai terpaksalah rancangan nak ke sana tu ditunda.

Semasa sarapan pagi,seorang teman datang berkongsi meja makan dan meluahkan perasaannya kerana tertekan dengan kemelut pembayaran elaun jahitan yang masih belum selesai.

Aku hanya diam membiarkan dia meluahkan perasaan tidak puas hatinya.Sekurang-kurangnya tekanan perasaannya mereda dan kembali ke paras normal.

Apa yang aku rasakan dalam hal ini adalah ujudnya jurus pandangan yang sama tetapi berbeza fokus pandangan.Lalu penilaian terhadap masalah yang sama menjadi berbeza.Percanggahan ini menimbulkan rasa tidak puas hati.

Teringat aku kepada seorang rakan sekelas semasa di Tkn. 2 Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang tahun 1985.Abdul Rahman namanya.Guru Bahasa Malaysia sedang mengajar mengenai peribahasa dan simpulan bahasa.

Ketika itu Guru BM sedang menerangkan mengenai maksud `Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga'.Maksudnya macam mana hebatnya,pandainya seseorang itu suatu masa nanti dia akan tewas,akan kecundang,akan kalah juga.

Setelah memberi beberapa contoh kejadian,Guru BM pun bertanya `awak semua faham tak apa yang saya terangkan ini?'.Majoriti pelajar termasuk aku menjawab `faham' kecuali Abdul Rahman yang diam dan berkerut-kerut dahinya sedang memikirkan sesuatu.Keadaan ini disedari oleh Guru BM tersebut lantas bertanya,

'Abdul Rahman,awak ada apa-apa yang awak kurang jelas?'

Semua pelajar diam dan menumpukan pandangan kepada Abdul Rahman yang duduk kerusinya dibahagian belakang kelas (aku pun kat belakang juga tapi di barisan yang lain).Lambat-lambat dia bangun sambil menggaru-garu kepalanya tanda masih dalam kekeliruan.

`Cikgu,yang saya dok fikir nih pasai apa tupai tu tak lompat semula ke pokok.Dia nak buat apa dok atas tanah tu!'

Berderai ketawa pelajar-pelajar dalam kelas termasuk aku.Kali ni Guru BM tu pula yang menggaru kepalanya sendiri.

Kini bila aku terkenang kembali insiden itu,ianya merupakan satu contoh bahawa walau pun ramai orang memandang ke arah yang sama tetapi apa yang difokus oleh pandangan masing-masing itu adalah berbeza dan kita tak boleh memaksa orang lain supaya menerima bahawa apa yang kita fokus itu adalah betul.Kita wajar membimbing orang-orang lain yang tersilap pandang itu supaya mengubah hala fokusnya agar mengarah ke titik yang sama dengan kita yang diberi kelebihan ilmu makanya dapat memilih titik fokus yang betul.

Semua orang akan mengatakan dirinya betul dan kewajipan orang yang lebih tahu kepada orang yang kurang tahu ialah membetulkannya.

No comments:

Post a Comment