Wednesday, February 24, 2016

TIPS ISTIQAMAH DALAM BERUBAH

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamualaikum WBT dan salam mahabbah buat para pembaca yang sentiasa inginkan perubahan. Secara fitrahnya, perubahan sememangnya akan berlaku dalam diri setiap manusia. Perubahan tidak akan pernah ada berhentinya. Seseorang itu boleh berubah luaran mahupun dalamannya, sama ada ke arah kebaikan atau keburukan.Namun, amat rugilah orang-orang yang berubah ke arah yang lebih buruk.

Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’du, ayat 11:

…..إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum itu, sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri..”
(Ar-Ra’du:11)

Para pembaca yang dimuliakan Allah,

Insya-Allah, dalam entri ini, kami akan kongsikan beberapa tips untuk istiqamah dalam perubahan kita untuk menjadi lebih baik, antaranya:

1) Jaga konsistensi Ibadah kita.

Ibadah merupakan jambatan hubungan kita dengan Allah. Kita memerlukan Allah SWT sebagai sumber kekuatan utama untuk berubah. Andai jambatan kita rapuh dan lemah, bagaimana Allah hendak menyalurkan kekuatan untuk kita dalam melakukan perubahan?

2) Persekitaran yang baik (Biah Solehah)

Perubahan yang dilakukan seorang diri tanpa ada sokongan daripada orang lain tidak akan kekal lama. Kita perlu berada bersama-sama dengan orang yang turut inginkan perubahan ke arah kebaikan. Tidak dapat dinafikan bahawa persekitaran mempengaruhi pembentukan diri kita.

3) Ambil sedikit masa untuk muhasabah diri.

Luangkan sedikit masa untuk refleksi diri kita. Tanya pada diri, “Kenapa aku perlu berubah?” , “Apa yang aku mahu ubah?” , “Apa yang akan terjadi jika aku tidak berubah?” dan “Apa ganjarannya jika aku terus berusaha untuk istiqamah?” Sebutkan jawapan-jawapan tersebut hingga didengari oleh telinga kita sendiri.

4) Buat perubahan yang kecil dan termampu.

Allah lebih menyukai sesuatu perubahan yang sedikit tetapi berterusan. Namun, dalam masa yang sama, paksa diri kita untuk meningkatkannya sedikit demi sedikit. Mengajak orang lain untuk sama-sama berubah akan menambahkan lagi kekuatan kita untuk istiqamah.

5) Disiplin yang tegar.

Percayalah bahawa semua perubahan mampu dilatih. Teruskan melatih diri dengan menetapkan target yang perlu dicapai setiap hari. Berikan denda kepada diri kita sekiranya gagal mencapai target pada hari tersebut.

6) Jangan sesekali cuba untuk kembali kepada tampuk yang lama.

Berusahalah dengan keras untuk tidak kembali melakukan keburukan-keburukan yang sia-sia. Sebaliknya, sentiasa cuba untuk lebih dekat dengan Allah. Tingkatkan amal soleh kita hingga dapat merasai kemanisan iman. Insya-Allah, seseorang yang telah dapat merasai manisnya iman, tidak akan akan terasa untuk kembali melakukan kemaksiatan.

7) Doa.

Doa, doa, doa dan berdoalah : “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku dalam agamamu, Ya Allah.”

8) Motivasi diri.

Pujuklah hati dengan kata-kata yang membina. Ingatkan diri bahawa Allah sangat suka orang yang berusaha untuk mendekatkan diri dengan-Nya serta mematuhi perintah-Nya. Biarlah orang lain mengata, asalkan di mata Allah, Dia redha dengan segala perbuatan kita

9) Matlamat yang jelas dan terperinci.

Kita perlukan matlamat yang jelas untuk melakukan perubahan, “Kerana apa aku berubah?” ‘Plan’ dari segi cara dan strategi untuk mencapai matlamat juga perlu disusun secara terperinci.

10) Banyakkan Istighfar.

Banyakkanlah beristighfar dan mengimbau kesalahan-kesalahan kita yang lalu. Kesalahan kita yang terlalu banyak akan menyebabkan kita malu pada Allah. Ini akan membuatkan kita lebih berusaha untuk memberatkan lagi timbangan pahala kita berbanding dosa.

Para pembaca yang kuat mujahadahnya,
Ingatlah ,satu dosa adalah lebih kuat untuk menarik iman kita jatuh. Oleh itu, untuk menjadi lebih baik, daya positif perlu ditambah untuk menarik kita untuk berubah. Namun, sekiranya daya negatif dan positif adalah sama, maka kita akan statik dan tidak akan berubah.

Wallahua’lam

No comments:

Post a Comment