Tuesday, June 23, 2015

RAMADHAN AL-MUBARAK DATANG LAGI .......

Ramadhan datang lagi mengisi kalendar 1436 Hijrah.Datang bersama dengan tawaran-tawaran yang mega hebat dari Allah SWT kepada hamba-hambanya.Bagaimana berganda-ganda pahala yang akan dikurniakannya kepada sesiapa yang bersedia mahu `berkorban' kesenangan diri - menahan diri untuk berpuasa di siang hari dan meminimakan masa lena untuk qiamulail dan tadabur/tadarus Al-Quran di malam hari.

Bersyukurlah kerana sehingga hari yang ke enam Ramadhan ini kita masih bernafas.Ertinya masih punyai kesempatan untuk bertaubat dan memaksimakan amalan ibadah untuk meraup redha Illahi.Bersangka baik dengan Illahi yang akan menunaikan janji Nya untuk mengurniakan `TAKWA' kepada kita,Insha Allah.

Tak ternilai gahnya nilai `TAKWA' itu kerana modal pelaburan kita juga gah nilainya iaitu `IKHLAS'.Sehebat mana kita melabur ikhlas sehebat itulah juaha pulangan takwa yang kita perolehi.

Hari akan berganti hari dan Ramdhan pun akan pergi bila selesai gilirannya.Ramadhan 1437H belum pasti kita miliki atau tidak.Jangan `panjang angan-angan' untuk merangka tindakan kerja buat kita di Ramadhan akan datang tetapi `kawal diri' seutuhnya untuk mengisi detik demi detik hari-hari Ramadhan kini.Urus masa sebaik mungkin agar tidak ada masa sia-sia tanpa nilaian ibadah.

Jika kita masih hanyut dibuai lagha,jangan salahkan iblis dan syaitan kerana mereka itu telah pun jauh dari kita.Jika kita masih negetif,ertinya kita memang lemah iman - dengan hawa nafsu sendiri pun kalah.


Senaraikan dan jadualkan aktiviti harian.Laksanakan sebaik mungkin dengan hasrat untuk mecapai matlamat : keampunan,rahmat dan pembebasan Allah SWT dari api neraka.Lalui 29 hari di bulan pengampunan ini dan jaga diri kita agar tidak tergolong dalam kelompok manusia yang rugi seperti mana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tarmizi,

"Sungguh rugilah seseorang yang menyambut bulan Ramadhan,kemudian melepaskannya, sedangkan dosa-dosanya belum diampuni"

CARA MEMANFAATKAN BULAN RAMADHAN : SYAIKH MUHAMMAD AD-DUBAISI
AL-HIDAYAH PUBLICATIONS (2009) : RM10.00

No comments:

Post a Comment