Tuesday, December 29, 2015

ORANG YANG HEBAT TIDAK ABAI MASA


Hidup dimanfaatkan dengan mencari pahala sebanyak mungkin

"Manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga daripada tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dan akan terkejut bila kematian datang secara mendadak."

Titipan pesanan Saidina Ali Abi Talib ini, saya kongsikan sebagai mukadimah perkongsian inti pati Islam Itu Indah oleh Pahrol Mohd Juoi minggu lalu yang bersiaran setiap Rabu jam 10.15 pagi di radio IKIMfm.

Kata-kata itu sungguh mendalam dan tersirat maknanya. Rupa-rupanya apabila seseorang itu mati kelak, barulah hakikat kehidupan ini tersingkap sejelas-jelasnya. Ketika itu barulah si mati dapat 'melihat' hidup dengan jelas dan tepat.

Ironinya, saban hari bangun dari tidur, doa di panjangkan tanda syukur dikurnia sehari lagi usia. Diberi usia bererti dikurnia peluang, kesempatan dan harapan. Bagi yang taat, hidup adalah peluang, kesempatan dan harapan untuk mencambah lebih banyak ketaatan. Meminjam semangat hukama "Buat baik sehingga letih buat maksiat". Sesungguhnya berbuat baik itu tiada penghujung.

Peluang bertaubat

Bagi mereka suka melakukan maksiat, kesempatan hidup sebagai peluang untuk mengaku kesalahan dan bertaubat. Allah terus beri hidup pada yang berdosa, bukan untuk menambah dosa, tapi hakikatnya itulah peluang untuk bertaubat dari dosa yang dilakukan.

Maha Suci Allah, usia yang Allah berikan pada kita sebenarnya satu rahmah bukan saja pada mereka yang taat, tetapi juga buat mereka yang dalam maksiat.

Al-Quran menerusi Surah Al-Hajj ayat 47 Allah berfirman mafhum-Nya "Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, pada hal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janji-Nya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung."

Sebagai perbandingan, satu hari di akhirat adalah bersamaan dengan 1000 tahun di dunia. Ini bermakna jika usia kita seperti junjungan mulia Nabi Muhammad SAW iaitu 63 tahun, maka ia bersamaan dengan satu jam setengah saja hidup di akhirat.

Dengan pengiraan ringkas itu terasa hidup ini terlalu singkat. Allah mengingatkan kita menerusi Surah Yunus ayat 45 mafhum-Nya "Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat saja dari siang hari.

Kertas ujian milik Allah ini miliki soalan yang berbeza. Ada kertas ujian kesakitan, kaya, miskin, lambat jodoh, suami atau isteri curang dan sebagainya. Masa yang diperuntukkan juga berbeza antara seorang dengan yang lain. Panjang atau singkatnya masa ujian, sukar mahupun mudah kertas ujian yang diberikan manfaatkan sebaiknya untuk berjaya dengan cemerlang.

Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia)."

Sungguh tepat seperti yang dinukilkan Imam as-Shafie mengenai keanehan melihat masa yang berlalu terlalu laju tetapi lebih aneh lagi melihat manusia yang lalai.

Melihat kepada kehidupan, ia umpama memasuki dewan peperiksaan. Segala macam perasaan hadir sebelum, semasa dan selepas peperiksaan berlangsung. Rasa gusar berbaur resah bercampur gentar menjadikan diri terus waspada, hati-hati dan sifat mencuba yang tidak pernah kenal erti kalah dan mengalah hadir dengan latih tubi yang jitu dan padu. Dengan hanya berbekalkan satu jam setengah segala usaha dicurah untuk menjawab soalan yang datang daripada Allah berupa ujian kehidupan. 

Hanya yang membezakan adalah kertas soalan peperiksaan di dewan peperiksaan adalah sama untuk semua calon peperiksaan dengan peruntukan masa yang sama dan ditetapkan. Kertas ujian milik Allah ini miliki soalan yang berbeza. Ada kertas ujian kesakitan, kaya, miskin, lambat jodoh, suami atau isteri curang dan sebagainya. Masa yang diperuntukkan juga berbeza antara seorang dengan yang lain. Panjang atau singkatnya masa ujian, sukar mahupun mudah kertas ujian yang diberikan manfaatkan sebaiknya untuk berjaya dengan cemerlang.

Kesal masa diisi dengan dosa

Imam Al-Ghazali menerusi Ihya' 'Ulumiddin menyatakan bahawa ada orang yang menyesal bukan saja kerana masa itu diisi dengan dosa, tetapi masa yang tidak diisi dengan apa-apa pun bakal menjadi penyesalan yang amat sangat. Dibayangkan umpama kotak masa yang akan hadir ketika di Padang Mahsyar. 

Apabila kita membuka kotak masa yang pertama penuh dengan pahala. Alhamdulillah, pastinya kita yang diidam dan didambakan membuat hati menjadi lapang. Akan menjadi dukacita, jika satu kotak yang hadir penuh dengan dosa kita. Nauzubilla, sudah pasti kita akan menyesal tidak terhingga. 

Dan bayangkan, jika satu lagi kotak adalah kotak kosong, itu pun menurut Imam Al-Ghazali akan dikesalkan oleh kita. "Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu), "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin". (Surah as-Sajadah ayat 12). 

Penyesalan yang amat besar bagi penghuni akhirat sehinggakan jika di beri peluang dan ruang untuk kembali ke dunia mereka akan manfaatkannya walau berkesempatan untuk mengungkapkan Subhanallah. Di akhirat kelak kita akan diperlihatkan kehebatan Subhanallah saja sudah sebesar Bukit Uhud. 

Dan jika kita mampu melihat kehebatan itu sekarang sudah pasti bibir kita tidak lekang dari bertasbih tanpa ada sesaat pun yang akan dibazirkan. Orang tua berpesan, menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. 

Keyakinan pada waktu itu sudah terlambat dan tidak memberi apa-apa kesan kerana sesungguhnya nikmat hidup hanya akan dinikmati apabila kita mati kelak. Jadi bersiaplah untuk akhirat kita ketika di dunia ini. Hidup di dunia untuk akhirat. Hukama mengatakan perjalanan menuju kematian bermula sebaik saja kita dilahirkan. Hari ini dan hari seterusnya hanya sisa umur saja. 

Manfaatkan sisa umur kita bukan sekadar kerja keras tetapi kerja cerdas. Wujudkan kesedaran untuk kita manfaatkan masa yang bersisa dengan memanjangkan amal kita dari modal usia yang Allah berikan seoptimumnya. 

Ingatlah, orang yang hebat dalam masa satu jam dia dapat menghasilkan banyak pahala, tetapi orang yang malang dalam kehidupan yang panjang sedikit pahala pun tidak diperoleh kerana sifat yang di namakan lalai. Moga kita semua terhindar dari sifat lalai ini. Insya-Allah.

Norhayati Paradi
Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
Sumber : http://www.bharian.com.my/node/3020

No comments:

Post a Comment