Monday, December 07, 2015

PADA KITA ADA DIA - BONDA NOR


PADA KITA ADA DIA

Aku ingin menulis sejuta bab tentang kehidupan.
Sungguh.
Banyak yang ingin ku perkatakan.
Tentang manusia dan kerenahnya yang kadang tak dijangka.
Tentang dia yang memberi harapan lalu menghancurkannya
Tentang dia yang kaya dengan prasangka hingga segalanya huru hara.
Tentang dia yang rasa berkuasa lalu cuba mengawal segala-galanya
Tentang dia yang selalu iri melihat orang berjaya
Tentang dia yang selalu lupa bahawa semua takdir sudah tersurat di sana lalu masih mahu mempertikaikannya

Aku ingin mengira kerenah dia dan dia tapi tak berdaya
Terlalu banyak
Barangkali ada sejuta!
Atau barangkali lebih lagi bab demi bab yang boleh ku karang tentang manusia.

Namun yang pasti,
Pada bab terakhirnya,
Aku ingin menulis tentang cermin yang tugasnya membias cahaya
Sungguh
Yang terpantul memang telah muncul
Yang dipandang bukan bayang-bayang
Realitinya ada.

Persis kita
Persis aku, kau dan dia
Kerenah dia, dia dan dia yang kita kata itu sebenarnya ada dalam diri kita
Cuma berbeza pada sedikit atau banyaknya
Berbeza pada tertutup atau terbuka aibnya
Berbeza pada terkawal atau hilang kawalannya
Tapi yang pasti,
Ada satu hal yang sama..
Dia ada dalam diri kita
Pada kita juga ada dia!

Muhasabah diri kita
Sungguh muhasabah yang benar akan menerbitkan suatu rasa
Rasa malu pada Dia.

....... BONDA NOR

No comments:

Post a Comment