MENCARI KEBERKATAN REZEKI

KEBERKATAN rezeki adalah antara perkara utama yang mesti dititikberatkan dalam hidup. Rezeki bukan sekadar wang, harta, makanan dan minuman. Sebaliknya jodoh, anak, pangkat, nama baik, kedudukan dan sebagainya juga boleh disebut sebagai rezeki. Namun dalam artikel kali ini saya merujuk rezeki kepada pendapatan yang kita perolehi sama ada dengan bekerja sendiri, mengambil upah atau makan gaji.

Rezeki yang dicari dan diusahakan itu pula dibawa pulang ke rumah untuk diberi makan anak isteri. Ada orang memandang ringan akan isu keberkatan rezeki ini. Pada mereka ia hanya isu kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Mereka ini tidak sedar wujudnya kaitan langsung antara keberkatan rezeki dengan nasib, kualiti perhubungan, kejayaan anak-anak, dan segala aspek kehidupan.

Ada beberapa sebab yang boleh menyebabkan rezeki tidak berkat.Pertamanya, kerana ia jelas datang dari sumber pendapatan yang haram seperti berjudi, rasuah, mencuri, menipu, nombor ekor, pelaburan haram dan seumpamanya. Namun, ada yang tidak menyedari bahawa secara halus rezeki itu boleh hilang keberkatan apabila kita yang dibayar upah atau digajikan untuk melakukan sesuatu pekerjaan, atau memikul sesuatu tugasan tetapi tidak melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Sebaliknya apa yang berlaku ialah pelbagai masalah di tempat kerja seperti curi tulang, datang lewat, malas, kerja tidak mencapai kualiti, melakukan kerja lain sewaktu dalam masa bekerja, main-main, dengki, irihati dan seumpamanya.

Seorang lelaki datang menemui Imam Syafie mengadukan tentang kesempitan hidup yang dia alami. Dia memberitahu bahawa dia bekerja sebagai orang upahan dengan gaji sebanyak 5 dirham. Dan gaji itu tidak mencukupi untuknya.

Namun anehnya, Imam Syafie langsung menyuruh dia untuk menemui orang yang mengupahnya supaya mengurangkan gajinya menjadi 4 dirham. Lelaki itu pergi melaksanakan perintah Imam Syafie sekalipun dia tidak faham apa maksud dari suruhan itu.

Setelah berlalu beberapa lama lelaki itu datang kembali menemui Imam Syafie mengadukan tentang kehidupannya yang tidak ada kemajuan. Lalu Imam Syafie memerintahkannya untuk kembali menemui orang yang mengupahnya dan minta untuk mengurangkan lagi gajinya menjadi 3 dirham.

Lelaki itupun pergi melaksanakan anjuran Imam Syafie dengan perasaan sangat hairan.
Setelah berlalu sekian hari lelaki itu kembali lagi menemui Imam Syafie dan berterima kasih atas nasihatnya. Dia menceritakan bahawa wang 3 dirham itu dapat mencukupkan semua keperluan hidupnya, bahkan hidupnya menjadi lapang. Dia menanyakan apa rahsia di sebalik semua itu?

Imam Syafie menjelaskan bahawa pekerjaan yang dia jalani itu tidak berhak mendapatkan upah lebih dari 3 dirham. Dan kelebihan 2 dirham itu telah mencabut keberkatan harta yang dia miliki ketika bercampur dengannya.

Lalu Imam Syafie membacakan sebuah sya'ir:

ﺟﻤﻊ ﺍﻟﺤﺮﺍﻡ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﺤﻼﻝ ﻟﻴﻜﺜﺮﻩ
ﺩﺧﻞ ﺍﻟﺤﺮﺍﻡ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﺤﻼﻝ ﻓﺒﻌﺜﺮﻩ

Dia kumpulkan yang haram dengan yang halal supaya ia menjadi banyak.
Yang harampun masuk ke dalam yang halal lalu ia merosakkannya.
_____
Barangkali kisah ini dapat menjadi pelajaran yang sangat berharga bagi kita dalam bekerja. Jangan terlalu berharap gaji besar bila pekerjaan kita hanya sederhana. Dan jangan berbangga mendapat gaji besar, padahal kerjabuat kita sangat lemah atau tidak seimbang dengan gaji yang diterima.

Bila gaji yang kita terima tidak seimbang dengan kerja, ertinya kita sudah menerima harta yang bukan hak kita. Itu semua akan menjadi penghalang keberkatan harta yang ada, dan mengakibatkan hisab yang berat di akhirat kelak.

Harta yang tidak berkat akan mendatangkan permasalahan hidup yang membuat kita susah, sekalipun bertaburkan benda-benda mewah dan serba lengkap. Wang banyak di bank tapi setiap hari bergaduh dengan isteri. Anak-anak tidak mendatangkan kebahagiaan. Dengan teman dan jiran sekeliling tidak sehaluan.

Kendaraan selalu bermasalah. Ketaatan kepada Allah semakin hari semakin melemah.
Fikiran hanya dunia dan dunia. Harta dan harta. Penglihatan selalu kepada orang yang lebih dalam masalah dunia. Tidak pernah puas, sekalipun mulutnya melantunkan alhamdulillah tiap minit.Kening selalu berkerut. 

Satu persatu penyakit datang menghampir. Akhirnya gaji yang besar habis untuk cek up ke hospital dan periksa ke klinik.Tidak ada yang dapat dibahagikan untuk sedekah, infak dan amal-amal demi tabung masa depan di akhirat.

Menjalin silaturrahim dengan sanak keluarga pun tidak. Semakin kelihatan mewah tapi sifat kedekutnya juga semakin menguasai.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita kemampuan untuk serius dalam bekerja, hingga rezeki kita menjadi berkat dunia dan akhirat !


Oleh itu eloklah dalam artikel kali ini kita lihat apakah antara tanda-tanda keberkatan rezeki bagi membolehkan kita sama-sama melakukan audit diri atau muhasabah.

* Hati semakin dekat dengan Allah dan Jiwa Tenang

Tanda-tanda yang pertama bahawa rezeki itu berkat ialah hati semakin dekat dengan Allah. Kita bukan sahaja menjaga solat lima waktu sebaliknya ditambah dengan amalan-amalan sunat. Mulut juga sentiasa berzikir dan suka pula membaca dan menelaah al-Quran.

* Pemurah

Kita mudah untuk memberi sedekah dan menunaikan zakat.

* Jauh daripada kejahatan manusia dan bala

Kalau kita datang lambat, malas, kerja tidak bersungguh-sungguh, hasil kerja tidak berkualiti dan sebagainya, majikan akan menegur, menasihati dan mungkin mengambil tindakan. Namun, gaji penuh tetap diberikan. Majikan tidak pernah mengaudit gaji kita. Misalnya, katalah gaji kita ialah RM1500 sebulan. Disebabkan kita malas maka majikan bayar RM1200 sahaja. Sebabnya, RM300 ringgit itu dipotong atas sikap malas kita itu. Sebaliknya, apabila kita malas, majikan tidak pernah memotong gaji bulanan kita. Namun, kita lupa bahawa Allah menjalankan auditnya. Maka Allah tarik sebahagian rezeki itu dengan pelbagai ujian dan masalah dalam hidup yang datang bertimpa-timpa seolah-olah kita memang bernasib malang. Bulan ini telefon bimbit hilang, bulan depan kereta pula dipecah orang. Kalau begitulah keadaannya maka eloklah kita audit gaji yang diterima setiap bulan sebab bimbang kalau-kalau itulah punca kepada segala masalah tersebut.

* Keluarga harmoni dan anak-anak cemerlang

* Sentiasa merasa cukup dan syukur

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam