Baru-baru ini tersebar meluas di media-media sosial tentang video saudara Jihad bin Mut’ib al-Malikiy, seorang kanak-kanak (saya kira lingkungan umurnya kini sekitar 12 tahun) dari Madinah al-Munawwarah yang diuji hafalan hadisnya. Video tersebut memaparkan kejituan luar biasa hafalan saudara Jihad yang mampu menghafal hadis-hadis secara begitu teliti mengikut lafaznya, turutannya, nombornya, sahabat perawinya, babnya dan lain-lain. Beliau aktif menyertai beberapa pertandingan hadis di Arab Saudi serta pernah memenangi anugerah diraja al-Amir Nayif bin ‘Abdul ‘Aziz Al Su’ud berkaitan hadis beberapa tahun lepas (1432h). Jihad bukan sekadar menghafal hadis sahaja yang ketika itu (video pertandingan tersebut) telah menghafal lebih 1000 hadis, bahkan beliau juga menghafal al-Quran ketika umurnya mencecah 7 tahun dengan begitu jitu sekali hingga mengingati akan nombor ayatnya, halamannya, surahnya, juznya, hizbnya, barisan ayatnya, lokasi ayat-ayat yang kelihatan serupa dan lain-lain. ...