5 + 5 PEDOMAN HIDUP ORANG BERJAYA


Keperluan manusia terhadap petunjuk adalah hal yang tidak boleh dinafikan. Perlu pelurus dan 'guide' sementelah penuhnya liku di dunia ini. Tentunya demi mencapai tujuan kita akhirat kelak, sambil tidak melupakan kehidupan dunia.

Carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepada kita yakni kebahagiaan negeri akhirat, dan janganlah kita melupakan bahagian kita dari kenikmatan duniawi.

Sebagai manusia yang memiliki fitrah untuk selalu berada dalam maslahah (sesuatu yang banyak kebaikan) maka sudah seharusnya kita sedar akan perlunya kepada pedoman.

Berikut 5 pedoman hidup orang berjaya :

1. Berdamai dengan diri

Sayangi diri. Terima diri. Berdamai dengan diri.

Maafkan orang lain. Jaga kesihatan diri.

Jadi nyala lampu benderang yang menerangi ke mana kita pergi. Usah bandingkan diri dengan sesiapa. Dengan berbuat begini, tidak semena-mena kita lihat dunia sentiasa terang bercahaya.

Dan, ampunan Allah ada di mana-mana.



2. Kita adalah unik


Kita tidak 'exact copy' sesiapa. Kita adalah unik. Kita adalah ciptaan Allah yang Maha Kuasa. Usah berduka banding diri dengan sesiapa.

Kita ada kekuatan. Kita ada kelemahan. Kita ada peluang. Kita ada ancaman.

Sekali kita banding diri dengan sesiapa sekalipun, kita akan hidup dirundung duka sepanjang masa. Dalam hidup ini sentiasa akan ada orang yang lebih kaya, gembira, sejahtera, jelita dan bahagia.

Dan, kita mula menyumpah kegelapan gulita diri.

Bersyukur dengan apa yang ada. Ucapkan Alhamdulillah. Kita umat Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam. Itulah pelita cahaya terang yang membahagiakan jiwa sepanjang masa.

3. Teknologi adalah hamba

Teknologi adalah hamba yang baik dan setia. Usah biarkan teknologi berkuasa. Teknologi apabila jadi tuan akan memporak-porandakan hidup kita.

Terlalu banyak masa ber-online boleh timbulkan sakit jiwa. Menggunakan komputer atau laptop untuk buat kerja berbeza dengan ber-online terutama guna smartphone.

Terlalu banyak masa ber-online akan mengakibatkan kurangnya kemahiran sosial, keseorangan tanpa teman-teman, tekanan jiwa membanding rasa, kurangnya rasa harga diri, kurangnya riadah dan hilang deria berdepan dunia realiti.

Ambil rasa. Ambil masa.

Rasakan pengalaman kehidupan depan mata. Perkara nyata. Kita banyak kehilangan momen-momen istimewa dalam kehidupan apabila tidak menyempat mahu merakam "momen yang belum siap" kepada media sosial.

Mahu berkongsi kepada siapa sehingga tidak sempat sempat mahu posting pada "real time" ini. Sejak bila kita jadi pemberita kepada aktiviti diri sendiri.

Bercerita tentang kehidupan. Bukan jadi pemberita harian.

4. Hidup mahu popular menyeksakan

Hidup atas rasa mahu popular adalah perkara paling menyeksakan. Sukar. Siksaan batin tidak tergambar.

Usah berkata "ya" pada setiap ajakan saat diri berkata "tidak". Apabila katakan ya pada orang lain, pastikan bisikan naluri bukan berkata tidak pada diri sendiri.

Usah jadi "alas kaki" tempat orang lalu lalang. Usah jadi pijakan semua orang. Usah berkata ya demi untuk memuaskan selera orang sekeliling.

Usah jadi bulldozer. Merempuh halangan demi kesenangan tuan yang memandu. Bukan rempuh halangan itu yang salah. Rempuhlah andai itu yang kita mahui.

Salahnya, apabila kita berbuat demikian demi untuk dipuji sesaat masa. Demi untuk disayangi sebagai orang kuat semata-mata.

Bukukan pedoman hidup. Lihat sentiasa. Bisikan naluri diri itu yang wajar kita utamakan sepanjang masa. Naluri bertuhan dan hidup dalam pedoman agama.

Jadi orang yang bagaikan awan menaungi, berbaloi untuk didekati. Bukan orang yang terkenal seantero negeri namun gerhana hati saat dirapati.

5. Pucuk menjulang ke angkasa

Cita-cita tinggi. Umpama pucuk menjulang ke angkasa.

Usah pula lupa untuk ambil tahu. Akar di bumi menjalar dalam lumpur berselut menyedut zat galian perlu.

"Real success" itu apa? Ia adalah membantu orang lain berjaya. Pandai dengan memandaikan orang lain. Kaya dengan mengkayakan orang lain.

Semudah itu sahaja hidup dalam dunia sementara ini. Kita hidup gambaran hitam putih dengan apa yang kita dapati. Kita membina kehidupan pelangi indah berwarna-warni dengan apa yang kita beri dan kongsi.

Bermula kecil. Bermula saat kita rasa kerdil dan terpencil. Bermula seumpama akar yang bernafas dalam selut lumpur penuh kerikil. Dengan bermula sedemikian, kita akan dapat menjayakan impian pucuk yang mahu berada diatas, tempat tinggi, terampil dan berhasil.

Kesimpulan

Berdamai dengan diri. Usah sentap. Mudah berpuas hati dengan orang sekeliling. Bersyukur itu paksi. Usah banyak cakap. Hidup dengan buat dan buat. Apabila dapat orang akan hormat.

Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuan atau matlamatnya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang. Mereka yang berjaya bukanlah mereka yang tidak pernah gagal ketika mencuba, tetapi bukan juga mereka yang sering gagal berkali-kali di tempat sama.

Orang yang berjaya, mereka yang tidak pernah takut mencuba dan terus mencuba sehingga kejayaan dikecapi. Mereka bukanlah orang yang tidak pernah gagal, tetapi mereka adalah orang yang mampu bangkit kembali dari kegagalannya hingga mampu mencapai keberhasilan.

Kejayaan tidak datang kepada manusia yang leka.

Anda boleh, jika anda berfikir boleh, selama akal mengatakan boleh. Batasan apakah sesuatu itu masuk akal atau tidak, kita lihat saja orang lain. Jika orang lain telah melakukannya atau telah mencapai impiannya, maka impian tersebut adalah masuk akal.

Orang yang bijaksana tidak sesekali duduk meratapi kegagalannya, tetapi dengan lapang hati mencari jalan bagaimana memulihkan kembali kegagalan yang dialami.

Berikut bahagian kedua 5 pedoman hidup orang berjaya :

6. Idea bernas sahaja tidak cukup

BERMIMPI

Idea yang bernas tidak cukup. Kita perlu kepada mimpi yang selalu basah dengan harapan kepada Allah. Idea hanyalah cetusan minda tapi mimpi adalah cetusan tiga perkara, "minda, hati dan ruh".

TAHU PERKARA KRITIKAL

Pencapaian (performance) tidak cukup untuk menjadi orang yang hebat atau great. Kita perlukan pencapaian yang tinggi (high performance) untuk menjadi hebat.

Malah pencapaian yang tinggi pun tidak cukup kalau tidak disalurkan kepada perkara yang kritikal. Kita boleh hebat 'mendelete' dan menjawab segala email atau browse segala web dan internet sepanjang hari tapi ia tidak bermakna apabila ianya bukanlah perkara kritikal.

Kita boleh membaca buku dan dokumen sepanjang hari tetapi ianya akan kurang impak tanpa kita ada minda penerokaan (inquisitive mind) dan kebolehupayaan mengambil nota penting.

PENCAPAIAN VERTIKAL

Kita perlu kepada pencapaian vertikal dan bukan sekadar horizontal. Ramai orang hebat dan kehadapan dalam garisan mendatar. Berlari pada padang lebar. Kita mesti boleh mendaki tinggi pada garisan vertikal.

7. Ada perkara diluar kawalan kita

Ada perkara kita tidak dapat kawal. Buat apa kita bualkan? Ia memang diluar kawal. Ia di luar capaian akal yang berpijak pada realiti semasa.

Usah bimbang apa yang kita tidak dapat kawal. Ia merugikan masa, tenaga. Fokus pada perkara yang kita boleh kawal.

Usah ubah perkara yang kita tidak boleh ubah. Ia tidak akan berubah. Fokus sahaja pada perkara yang kita boleh kawal dan ada daya pengaruh.

Apa yang perlu buat. Fahami apa yang dipanggil proses buat keputusan. "The process of deciding".

Usah buang masa fikir dan tumpu pada perkara yang salah. Ia jadikan kita resah. Dan hidup pun beralun tanpa sudah.

"Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk terima seadanya apa yang aku tidak boleh ubah. Ya Allah, berikan aku ketabahan berusaha untuk ubah apa yang aku boleh ubah supaya menjadi lebih baik".

"Ya Allah, berikan aku kebijaksanaan untuk dapat membezakan antara dua perkara yang berlainan suasana itu. Ya Allah, berikan aku kuasa untuk sentiasa berdoa dalam lindungan naungan rahmat-Mu yang Pengasih dan Penyayang".

8. Pilih arah mana mahu menyerlah

Lebah mencari debunga untuk ratu bagi menghasilkan madu. Tebuan menyengat apabila di sakat. Kita tidak boleh jadi lebah atau tebuan pada satu masa. Pilih mana satu.

Demikian adanya kehidupan ini. Mudah. Pilih arah mana mahu menyerlah.

Kejayaan perlukan tumpuan tenaga dan fokus masa. Apa yang kita mahu capai. Mahu ubah dunia dengan syarahan berdegar-degar atau mahu ubah keluarga secara tekun dan sabar semasa anak sedang membesar.

Semua kejayaan yang di hikayat dalam dunia tatkala bahari (dahulu kala) akhirnya berpusat pada satu perkara - seorang manusia atau sepasang suami isteri atau pasangan perkongsian yang fokus pada satu perkara.

Fokusnya mereka semacam dirasuk rasa gila yang tidak berpenghujung masa. Fokusnya J. K Rowling dalam menulis sehingga terhasilnya Harry Porter. Dia menulis cerita lagenda itu dalam kedaan papa dan nista.

Kejayaan hanya datang setelah diasak kiri dan kanan sehingga bertemu puncak yang selalu terlepas pandang oleh orang-orang kebanyakan.

9. Nyalakan rasa mahu berjaya

Kita semua ada impian. Nyala rasa mahu berjaya. Nyaman rasa mahu menikmati.

Orang yang konsisten selamanya percaya pada ketentuan. Orang yang beralih rasa ubah fikiran selalu percaya pada kebarangkalian.

Mereka yang berjaya selalau konsisten. Doing one thing at a time. Guru saya selalu kata, "usah jadi jack of all trades and master of none". Sebaliknya jadi "master of one thing".

Pada satu jam. Satu hari. Satu tahun. Sepuluh tahun. Buat sesuatu dengan 100 peratus fokus. Tumpuan sepenuh hati.

Apakah penyakit abad ini? Mahu buat semua perkara pada satu masa. Fikiran merata-rata, walaupun badan berada dalam bilik yang sama sepanjang hari berhadap muka.

Akhirnya hilang keyakinan yang diperlukan untuk capai kejayaan. Hakikat nyata, keyakinan tidak dapat kita beli dalam sorak-sorai kelas hujung minggu. Keyakinan datang bertandang apabila jiwa kita sudah tenang dan tenteram.

Ia seumpama tanah gembur berbaja menunggu benih untuk bertunas. Ia adalah kuasa tidak terbatas. Ia adalah adunan kerja keras, kerja cerdas dan kerja ikhlas.

10. Hidup ini samudera perjuangan

Layarkan dengan istiqamah. Saat mengantuk, tidur. Nyenyak "sengoti" (sungguh hati) sebolehnya tanpa mimpi.

Apabila lapar, makan. Kunyah setiap suapan dengan penuh nikmat yang padat. Apabila sakit, diam setelah berubat. Rasakan guguran dosa yang sungguh lebat.

Apabila beribadat, lakukan dengan hati yang bulat. Tiada upayaku melainkan dengan izin-Mu jua Ya Allah.

Apabila bekerja, kerja cerdas, kerja keras, kerja ikhlas. Tidak sekalipun kerja malas.

Beruntunglah manusia yang ada keluarga yang saling berkasih sayang, sahabat yang saling mempertahankan. Beruntunglah manusia kerana ada Tuhan yang sentiasa mengampunkan.

Usah gentar pada ujian. Ia tetap kekal datang bertandang. Namun, permata tetap permata sekalipun diletak dalam loji kumbahan. Permata tetap bersinar walau tak disuluh cahaya benderang. Permata kekal sepuh berseri apabila ujian beransur pergi.

Kesimpulan

Inilah nikmat kehidupan :

Bangun seawal 3-4 pagi. Berjalan kaki ke masjid. Solat Subuh berjemaah.

Baca al Quran setiap hari siang dan malam 10 helai atau paling minima selembar dua. Beramal diri dan insaf pada usia berbaki. Tiada kemegahan dunia. Ia hanya setara dengan sebelah sayap nyamuk sahaja.

Bekerja keras untuk jadi orang berjaya. Orang yang terbaik dalam agama adalah mereka yang boleh beri manfaat kepada orang lain.


sumber : - Daku Amat

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam