Pagi 23 Januari ...... 48 tahun yang lalu

Syukur Alhamdulillah....


Pagi ini,ketika dinihari yang semakin menganjak ke subuh.Ketika rata-rata penduduk kampong masih lagi berlengkar di dalam selimut.Masih diulit mimpi-mimpi sendiri. Namun dipenghujung Kampong Suka Mari,sebuah rumah terang benderang disuluh cahaya lampu gasolin.Seorang ibu tua becok memberi arahan tegas supaya anaknya cepat bertindak untuk menangani keadaan.


Seorang lelaki muda bernama Salleh bin Ahmad yang berusia lingkungan 30an bergegas menyongsong basikal tua dari bawah rumah ke halaman rumah.Terus melompat naik dan berkayuh meredah kepekatan malam.Hanya dibantu oleh sinaran cahaya bulan dinihari,destinasi yang dituju ialah kampong yang berdekatan,kerumah mak bidan.


Hasil perkongsian hidup sepasang suami isteri,tidak lama selepas selamat melahirkan azan Subuh pun bergema.Syukur kerana selamat melahirkan walau pun ketika itu proses kelahiran hanya dikendalikan oleh seorang bidan tradisional.


Lahirlah anak ke 3 kepada pasangan suami isteri ini.Betapa gembiranya si ibu dan si bapa,teramat gembiralah juga si emak kerana telah bergelar nenek.Menjelang saja naik mentari terus bergegas ke Balai Polis untuk melapurkan kelahiran cucu baru itu.


Pelat lidah tua itu menyebutnya lalu Pegawai Polis pun menulis nama bayi itu sebagaimana sebutan si nenek, Z U L K I P E L I pada 48 tahun yang silam.


Harapan besar si ibu dan bapa ialah anak kecil ini akan mampu bertahan dan tidak akan mengikut jejak langkah 2 orang lagi kakak-kakaknya yang hanya diberi keizinan oleh Allah SWT hanya beberapa hari sahaja menghuni dunia ini.


Selepas aku dilahirkan,ibu ku (Aishah binti Salleh) melahirkan 2 orang lagi adik-adik ku namun nasib mereka sama seperti 2 orang kakak-kakak ku yang terdahulu. Betapa begitu suratan hidup ku - hidup diapit oleh 2 kematian di atas dan di bawah.


Selepas itu ibu ku melahirkan lagi adik-adik - Fauziah,Zainab dan Noor Azam. Berempatlah adik beradik menyambung kehidupan zuriat Salleh dan Aishah.


Terima kasih ibu.Terima kasih bapa.Kerana melahirkan aku dan mendidik aku hingga menjadi ORANG.Tetapi yakinlah ibu,yakinlah bapa aku tidak mahu menjadi ORANG-ORANG.Aku akan berusaha untuk menjadi SESEORANG.INSHA ALLAH !


Ya Allah Ya Tuhanku,Kau ampunkanlah segala dosa ku dan Kau ampunkanlah segala dosa kedua ibu bapa ku.Kau kasihanilah mereka sebagaimana mereke mengasihani ku semenjak aku kecil lagi ....... AMIN

Wassalam

Zul Salleh 0148541926
Pendang,Kedah


Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam