Friday, March 06, 2009

Dugaan Hidup .... Laluan Untuk Berjaya

Melakar pelan arah perjalanan selangkah demi selangkah kehadapan adalah mudah.Semudah menyusun buah catur di atas papan catur.Semuanya tersusun rapi step by step.Dari A ke B,C dan pada ketikanya dimatlamatkan akan sampai ke Z.Lalu aku pun berjaya dan terciptalah sebuah kejayaan dalam mentadbir sebuah kehidupan mengikut landasan iman.

Namun hakikatnya sering berbeza.Kita hanya merancang tetapi Allh SWT yang menentukan.Kita merancang dan Allah SWT juga merancang dan pastinya perancangan Allah SWT adalah mutlak kerana telah sedia tercatat di Luh Mahfuz.Lalu muncullah dugaan dan cabaran yang menjadi perintang kelancaran perancangan kita itu.Samada dugaan atau cabaran itu akan melemahkan atau pun mematangkan kita terserahlah kepada nilai iman yang ada.Kehidupan yang penuh cabaran adalah kehidupan yang indah kerana dipenuhi dengan berbagai-bagai warna kehidupan.Andainya semua yang dikehendakki mudah diperolehi - kehidupan ini akan menjadi hambar dan terlalu murah.


Pentingnya husnuzon kepada Allah SWT kerana sering kali kita lemah dan gagal mentafsir apa yang tersurat di sebalik yang tersirat.Qadha dan Qadar Allah SWT gagal untuk dihayati dengan penuh keimanan.Apa yang kita mahu,kita sangka terbaik pada nilaian kita belum tentu terbaik dari segi nilaian Pencipta Kita itu,lantas kemahuan kita itu tidak ditunaikan atau pun di KIV dulu demi untuk kemaslahatan hidup kita.Al Khalik tak akan memudaratkan kita kerana kita sebagai hamba Nya dijadikannya dengan penuh sifat Ar Rahman dan Ar Rahim Nya,Alhamdulillah!


Pastinya keyakinan inilah yang sedang cuba mahu aku cerapkan di dalam jiwa raga ku kini setelah muhasabah diri di malam yang sepi ini.Merujuk diri sendiri yang gagal untuk melangkah lancar dalam perjalanan menghala ke Z.


Namun aku tak berputus asa dan mengeluh dengan dugaan ini.Terlalu kecil amat kalau nak dibandingkan dengan dugaan hidup yang dilalui oleh Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul Allah terdahulu. Berhenti seketika bukanlah suatu kegagalan kerana masih tidak berundur ke belakang.Sekadar mengumpul tenaga mencerna idea merancang langkah berikut selanjutnya adalah wajar agar tidak akan tersasar arah perjalanan yang asal.


Jatuh bangun dalam kehidupan adalah perkara biasa.Yang luar biasa ialah jatuh tetapi tak mahu bangun lagi.Lantasnya aku akan tetap bangun dengan susun atur perancangan baru tetapi matlmatnya tetap sama.Kejayaan Dunia dan Akhirat,Insha Allah!


Hari Rabu lalu aku ke Tabung Haji Pendang untuk menyemak Maklumat Daftar Haji.Tak mampu aku nak jelaskan silapnya di mana kerana sewaktu mendaftar dulu (tahun 2004) aku dan isteri dijanjikan waiting list tahun 2009 tetapi kini dah jadi 2010 pula ??? Walau pun bezanya cuma setahun tetapi efficiency pengurusan proses pendaftaran itu dimana???


Namun yang terbaik ialah sikap husnuzon.Pasti ada kebaikan yang belum kelihatan.Mungkin Allah SWT mahu aku dan isteri lebih bersedia sebelum ke sana.Mungkin itu.mungkin ini - yang aku belum tahu.Subhanallah!


Sebenar-benarnya kita mahu semahu-mahunya ke sana tetapi yang paling utama ialah `jemputan' Allah SWT kepada kita untuk ke sana.


Ya Allah Ya Tuhanku,aku menanti jemputan Mu!

2 comments:

  1. Yang baik datang dari Allah. Sudahkah tunaikan hutang janji2 terhadap seseorang,sudahkah mendapat kemaafan dari insan2 dikenali.

    ReplyDelete
  2. Yang baik datang dari Allah. Sudahkah tunaikan hutang janji2 terhadap seseorang,sudahkah mendapat kemaafan dari insan2 dikenali.

    ReplyDelete