musibah untuk muhasabah

Pagi ni cuaca terang dan bahang panas mentari mula terasa walau pun masih jam 7.50 pagi.Ketika ini aku,famili (kecuali Fatin dan Farah) bersama-sama lebih kurang 30 orang lain sedang bersenam (berjalan @ berjongging) di sekeliling Kolam MADA @ Pendang Lake,Pendang.Beriadah untuk kesihatan walau pun kekadang tertanya-tanya juga bolehkah sihat kalau ada ketikanya terpaksa bernafas di dalam asap kenderaan (motorsikal @ motokar) yang lalu lalang di minitar laluan jogging tu? Ketika jantung berdegup aktif tentunya kuantiti asap yang disedut masuk juga maksima!

Aku berhasrat untuk berjalan cepat saja kerana aku feel relax @ santai-santai saja.Sambil jalan-jalan melihat mentari yang semakin meninggi - terbetik di hati ini - pasti ketika ini ramai umat Islam yang sedang mengadap Yang Maha Esa melalui Dhuhanya. Merapatkan hati dan sanubari kepada Yang Mencipta.Memohon keberkatan kehidupan - sedangkan aku yang mula menghampiri `golongan warga emas' ini masih belum mampu untuk turut berbuat begitu.

Teringat kepada Program Tanyalah Ustaz kat TV9 suatu ketika dulu.Tajuk yang dibicarakan oleh Ustaz Zahazan,host program pagi itu ialah `Musibah'.Rumusan bicaranya lebih kurang begini:

Selama ini kita sering bercakap mengenai musibah @ bala yang menimpa kita dari sudut bencana alam seperti banjir,tanah runtuh gempa bumi,penyakit yang melanda dan sebagainya.Lalu dari situ timbul rasa kasihan,simpati kepada mangsa yang terlibat atau sekiranya kita yang terlibat akan menagih bantuan dan rayuan sokongan untuk membaiki keadaan.

Pernahkah kita terfikir dan merenung satu lagi musibah atau bala yang melanda diri peribadi kita iaitu `hati keras @ hati mati'.Bala atau musibah ini hanya kita sendiri dengan bantuan Allah SWT saja yang dapat membaikpulihnya.Sedangkan kesannya jika berterusan sehingga akhir hayat akan menjerumuskan kita ke neraka jahanam,Nauzubillah! Orang lain hatta insan-insan kesayangan kita pun tak akan dapat membantu kita.Doa anak-anak bila kita mati pun hanya seperti menyiram air tetapi jika pohon tiada,apa yang nak disiramkan???

Musibah atau bala ini adalah peringatan dari Allah SWT bahawa telah ada kesilapan yang kita lakukan dan bersegeralah, bermuhasabah dan buat pembetulan atau pembaikkan.

Tanda-tanda hati keras dan hati mati ialah kita tidak merasa bersalah untuk meninggalkan perkara yang baik dan berbuat kejahatan.Contohnya kita tidak merasa apa-apa pun jika telah tertinggal solat.Santai saja melakukan pecah amanah atau culas dalam waktu bekerja.

Muhasabah diri - tepuk dada tanya iman! Apakah musibah atau bala ini sedang melanda kita kita kini???


Ya Allah,Kau ampunilah aku.Sesungguhnya aku lalai dan tiada upaya.Malah aku insan yang lemah.Kuatkanlah semangat ku,berikanlah aku kekuatan untuk beramal ibadat kepada Mu.Permudahkanlah Ya Allah! Permudahkanlah Ya Allah! Sesungguhnya aku ingin berubah hanya kerana Mu,Ya Allah! AMIN!

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam