Saturday, July 25, 2009

Hebatnya Uhud dan Allah Matlamat Kita

Oleh Ustaz Halim

Ketika menziarahi tapak Perang Uhud, Bukit Uhud, Bukit Pemanah dan Tanah Perkuburan Uhud, hakikat bahawa Dakwah ini tidak menerima dunia bertahta dihati sangat kuat berlegar difikiran saya. Ini ditambah lagi dengan pemerhatian terhadap ramai para Duat (pendakwah) yang kecundang dek dunia dan kemewahan, belum lagi diduga dengan kesakitan, kepayahan dan nyawa melayang.

Bukit Pemanah (Jabal Rumaah), bukit kecil di depan (banjaran) Bukit Uhud. Godaan dunia terhadap sebahagian kecil tentera Islam mengalahkan keseluruhan tentera Islam di Perang Uhud, setelah mereka menang di Pusingan Pertamanya. Tidakkah ia cukup memberi pengajaran?

Kisah ringkasnya, dalam Perang Uhud, Rasulullah saw meletakkan posisi sebahagian tentera pemanah di Bukit Pemanah (Jabal Rumaah) dengan arahan jangan turun dari bukit tersebut samada dikala tentera Islam menang atau kalah.

Apabila tentera Islam menang, dan tentera di bawah bukit sibuk mengutip harta-harta rampasan perang yang ditinggalkan Quraisy, sebahagian besar tentera pemanah di atas bukit tergoda dengan Dunia, membantah arahan tadi dan terus engkar dengan mereka turun ke bawah untuk turut tidak ketinggalan merasa sama harta-harta tersebut. Pertahanan di bukit terbiar. Khalid Al-Walid dan tentera berkudanya segera menyerang dari arah bukit tersebut, membunuh sekitar 70 tentera Islam dan Rasulullah saw sendiri berdarah. Dalam keadaan hampir kalah ini, perang berjaya dihentikan apabila Rasulullah saw mengarahkan tentera Islam untuk naik ke atas Bukit Uhud.

Bukit Pemanah (di belakang) dan tanah Perkuburan Syuhadak Uhud. Asy-Syahid Hamzah Abdul Mutalib, Asy-Syahid Mus’ab bin Umair dan Asy-Syahid Abdullah bin Jahsy di liang hujung, manakala baki lebih 60 Sahabat ra yang syahid di liang yang berhampran di foto.

Bukan tentera dan umat Islam kalah kerana tiada strategi. Uhud membuktikan strategi pertama ada dan boleh menang di Pusingan Pertama. Bukan Islam kalah kerana kurang bilangan, kelengkapan dan teknologi. Uhud membuktikan semua kekurangan-kekurangan diatas tidak menghalang Islam menang di Pusingan Pertama. Kekalahan umat Islam di Uhud dijelaskan oleh Allah swt dalam Al-Quran, bermaksud,

‘Sungguh Allah telah membenarkan janjiNya, ketika kamu mengalahkan mereka dengan izinNya. Hingga apabila kamu rosak, membantah-bantah arahan yang dikeluarkan, kamu langgar, setelah Dia melihatkan kepada kamu APA YANG KAMU SUKAI. SEBAHAGIAN KAMU HENDAK DUNIA, dan sebahagian kamu hendak Akhirat. Kemudian kamu tidak dapat melawan mereka kembali, supaya Allah menguji kamu. ALlah memilik kurnia yang luas untuk orang-orang beriman” (Surah Ali Imran).

Bukit Pemanah : Pengajaran untuk umat Islam hingga ke Hari Kiamat. Memahami mesej yang disampaikan Allah swt di dalam Al-Quran mengena bukit kecil ini dan tanah perkuburan di bawahnya sudah cukup untuk mengembalikan kejayaan buat Dakwah dan mengembalikan keagungan buat umat Islam ini sekali lagi.

Jelas sekali bahawa kekalahan umat Islam ialah kerana rosak hati-hati, membantah-bantah dan mengengkari arahan yang kesemua itu hakikatnya ialah kerana Allah, Akhirat dan Dakwah ini tidak bertahta di hati seperti mana Dunia bertahta. Pandangannya terhadap kereta, rumah, gaji mengaburi mata hatinya dari merenung Akhirat. Lalu janji Allah untuk memiliki bidadari Syurga tidak menjadi sekuat gaji bulanan yang diperolehinya. Matlamat Dakwah ini tidak sepenting unjuran-unjuran perniagaan dan pulangan saham yang sedang diusahakannya.

Organisasi Dakwah ini tidaklah perlu diberi keutamaan selayak syarikat tempat dia bekerja dan mencari nafkah dan kemewahan. Sering kita sedih melihat gugurnya syahid umat Islam di Palestin dan di dunia Islam yang lain, namun kita juga sedih apabila melihat tidak kurang bekas para Duat yang dulunya ayam kampung tangkas pergi ke mana sahaja di medan Dakwah ini menuntut masanya, tetapi apabila hakikat Uhud tidak bertunjang kukuh didalam hati dan jiwa, ramai kemudiannya menjadi ayam daging yang nampak gemuk berisi fizikalnya dengan kemewahan dunia, rumah besar dan kereta mewah tetapi hakikatnya terkurung di pejabat dan banglo, dari merasai kemerdekaan jiwa dan kemanisan serta keluasan medan Amal Dakwah yang berkat ini.

Demi berjaya mencapai matlamat Dakwah ini, Imam Hasan Al-Banna mnegaskan bahawa yang beliau kehendaki dengan Ikhlas itu ialah bahawa setiap lelaki dan wanita di dalam Dakwah hendaklah meletakkan wajah Allah, mencari keredhaanNya dan ganjaran pahala dariNya sebegai tujuan bagi setiap perkataan, amalan, jihad dan kesemua yang lahir darinya, tanpa menoleh kepada pulangan atau ganjaran material, pangkat atau gelaran, menonjolkan atau pun menarik diri. Oleh yang demikian, dia menjadi tentera kepada Fikrah (Ideologi) dan Aqidah, bukan tentera memburu pulangan dan menfaat.

“Katakanlah ’sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekelian alam. Tiada syirik bagiNya. Demikian aku diperintahkan. Dan aku termasuk dari kalangan orang yang menyerah diri’ ” (Al-Quran).

Dengan itu fahamilah slogan kita “Allahu Ghayatuna” (Allah Matlamat Kita). Uhud akan terus diziarahi oleh umat Islam dan ia akan terus memberikan pengajaran kepada mereka yang ingin mengambil iktibar bahawa godaan Dunia ini telah banyak menimpakan kekalahan kepada umat, organisasi, jemaah dan individu Islam di seluruh dunia, disepanjang zaman.

Copy paste dari : http://www.politikbanjar.blogspot.com/
Disediakan oleh Ustaz Halim [ link ] Al-Madinah Al-Munawwarah

No comments:

Post a Comment