Wednesday, October 21, 2009

Nikon Coolpix P90 : hasil lebih jelas

P90 membolehkan rakaman video dibuat manakala skrin LCD sudut berbilang memudahkan gambar dirakam pada saat-saat mencabar.

P90 hadir dengan pemproses imej Expeed yang memastikan kualiti imej adalah jelas dan terserlah warnanya

NIKON Coolpix P90 ini hadir dengan zoom optikal 24 kali ganda, yang mampu merakam imej pada jarak sedekat satu sentimeter. Menawarkan ciri-ciri seperti kebanyakan kamera Nikon, P90 hadir dengan resolusi 12.1 mega piksel. Resolusi yang tinggi ini menjanjikan rakaman gambar terperinci dengan potongan yang kreatif.

Antara ciri-ciri yang ditawarkan termasuk mega piksel, empat teknologi antikabur, pilihan pemandangan secara auto dan face priority AF yang mampu membuat pengecaman sehingga 12 wajah. Ciri terbaru lain termasuklah mod senyuman, blink warning, quick retouch dan d-Lighting.

Selain itu, P90 juga membolehkan rakaman video dibuat manakala skrin LCD sudut berbilang seluas tiga inci itu pula memudahkan gambar dirakam pada saat-saat mencabar. Tidak terkecuali adalah ciri viewfinder elektronik beresolusi tinggi yang memudahkan pengguna melihat menerusi lensa dalam apa juga keadaan pencahayaan.

Pemproses imej Expeed baru pula membantu pengguna memastikan imej yang dirakam berkualiti tinggi, cukup jelas serta menyerlah warnanya. Penstabil imej VR empat kaedah Nikon menjanjikan rakaman imej yang lebih jelas biarpun dalam keadaan pencahayaan yang kurang baik.

P90 yang berpiawaian ISO 6400 ini mampu merakamkan kualiti gambar yang jelas, biarpun dalam persekitaran kurang cahaya.

Boleh diperoleh pada warna matte black, ciri pengecaman pergerakan pula secara automatiknya mengecam sebarang subjek yang bergerak. Ia sekali gus menyelaraskan semula kadar kelajuan shutter dan tetapan ISO secara automatik.

P90 yang berpiawaian ISO 6400 ini memberikan hasil yang lebih jelas apabila pengguna merakam gambar dalam persekitaran kurang cahaya atau ketika merakam imej yang pantas bergerak.

HASIL rakaman Nikon Coolpix P90 cukup memuaskan hati.

Mod pemandangan sukan berterusan pula memudahkan pengguna merakam sehingga 45 keping imej pada 15f persaat apabila resolusi dikurangkan kepada tiga mega piksel ke bawah. Ini bermakna gajet ini cukup ideal untuk mereka yang sukakan seni fotografi sukan.

Kamera Nikon P90 ini boleh didapati bersama satu kabel USB, kabel audio dan video, tali serta sebuah perisian khas untuk CD-ROM Coolpix.


Dari kolum INFINITI akhbar KOSMO

1 comment:

  1. wah menariknye.....nak tahulah berapa eak nikon p90 nih kalau beli yg baru....tgh survey2 nih...maaf mengganggu ye...

    ReplyDelete