Still Remember Her ???


3M amalan Dr. Farrah-Hani Imran

Dr. Farrah-Hani Imran, 31 yang pernah menjadi juara gimrama negara pada tahun 1989, 1990, 1991, 1993 dan 1994 mahu terus berkhidmat di hospital kerajaan walaupun boleh 'berhijrah' ke pusat perubatan swasta yang menawarkan ganjaran dari segi gaji dan kelebihan lain yang lebih tinggi.

Sebagai seorang pekerja tambahan pula doktor di hospital kerajaan, tentunya Dr. Farrah-Hani tidak dapat lari dari segala masalah profesion profesionalnya itu dan orang di sekeliling seperti masyarakat pekerja lain dalam mana-mana organisasi sekali pun.

Justeru, bagi menenang diri dan menstabilkan semula fikiran dari beban kerja dan masalah bersifat peribadi yang melanda, Dr. Farrah-Hani mengamalkan tiga petua yang tersendiri ke arah kesihatan mental yang akan menyerlahkan kecantikan dalaman.

Selain menjana kesihatan mental, amalan petua tersebut akan menyediakan dirinya ke arah persediaan mantap untuk menempuh gerbang perkahwinan bagi menjadi isteri dan ibu yang baik kepada anak-anaknya kelak.

Petua pertama ialah aktiviti melukis yang menjadi hobi dan medan bagi luahan perasaan tidak kira gembira, sedih, geram, terkilan dan sebagainya selain mengasah bakat terpendam dan daya kreativiti sejak di bangku sekolah.

"Setakat ini saya telah menghasilkan lebih 30 lukisan yang kebanyakannya bersifat abstrak yang mempunyai makna tersirat di sebaliknya, seperti lukisan burung kecil yang terkurung dalam sangkar, tidak dibenarkan terbang dengan bebas," katanya kepada Mingguan Malaysia di kediamannya di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jika orang lain suka menulis atau membuat mural di dinding untuk menzahirkan apa yang tersirat, Dr. Farrah-Hani yang memiliki tiga kucing bernama Jygmy, Mek dan Tiny lebih gemar menggunakan medium berus, cat dan kain untuk meluahkan apa yang terbuku di perasaannya.

Ketika melukis, katanya, beliau berusaha untuk menggambarkan secara ikhlas segala isi hatinya ke atas kanvas menerusi contengan segala jenis objek yang difikirkan sesuai dan diwarnai dengan cat-cat bersesuaian.

Selain melukis, Dr. Farrah- Hani turut memenuhi masa santainya dengan mereka bentuk pakaian terutama jenis formal bagi mengasah daya kreatif dan inovatif dengan memilih membuat rekaan pakaian klasik dari Eropah, baju kurung biasa dan kebaya Melayu.

Walau bagaimanapun lulusan Royal College of Surgeons Ireland itu hanya mereka bentuk pakaian yang disukai dan kemudian menyerahkan semua keperluan termasuk kain yang dibeli atau dihadiahkan untuk dijahit oleh kawan-kawannya yang pandai menjahit pakaian.

"Saya beli kain-kain yang murah di Kuala Lumpur atau Bangkok dan kemudian mereka bentuk baju yang diminati bagi mengasah kreativiti, saya tidak begitu mementingkan jenama dan saya akan pakai apa yang saya suka, bukan semestinya mengikut trend semasa," jelasnya.

Menjimatkan kosDengan mereka bentuk pakaian-pakaian itu, beliau bukan sahaja menjimatkan kos pembelian baju baru malahan turut bergaya dengan fesyen tersendiri tanpa perlu bergantung kepada rekaan pakaian orang lain.

Selain melukis dan mereka bentuk pakaian, Dr. Farrah-Hani berkongsi petua ketiga iaitu memasak atau lebih spesifik, membuat pelbagai jenis kek dan kuih untuk melupakan segala masalah di tempat kerja mahupun peribadi.

Dengan ditemani ibu yang menjadi mentor terbaik dari semua aspek terutama memasak, beliau yang gemar makan nasi terutama nasi lemak, nasi daun pisang dan nasi dagang selain roti jala akan mengisi masa terluang dengan memasak kek dan kuih kegemaran terutama kek keju.

Resipi untuk membuat kek dan kuih itu ada yang didapati dari buku resipi tebal milik ibunya dan banyak buku masakan lain yang dibeli dari kedai buku di dalam dan luar negara serta hasil layaran dalam internet.

Walaupun agar sukar untuk mencari masa yang secukupnya untuk memasak, namun sebagai anak kepada ibunya yang sangat gemar memasak, Dr. Farrah-Hani akan cuba sedaya-upaya untuk berbuat demikian.

"Semasa memasak juga, saya berpeluang untuk meluangkan masa yang banyak bersama ibu yang bukan setakat menjadi penasihat kerja-kerja dapur yang baik malah pendengar setia semua celoteh saya dan memberi nasihat," katanya.

Sebagai anak kedua daripada dua adik-beradik yang bekerja sepenuh masa dalam pekerjaan yang sibuk dan tak tentu waktunya, sememangnya beliau dan abangnya jarang mempunyai masa lapang yang banyak untuk bersama ibu dan bapa yang juga merupakan seorang doktor pakar telinga, hidung dan tekak (E.N.T) yang memiliki sebuah hospital E.N.T di Brickfields. Tapi apabila masa mengizinkan, mereka cuba berada di rumah bersama ibubapa.

Mengenai aktiviti santai yang lain, Dr. Farrah-Hani memberitahu, seperti remaja lain, beliau turut bertemu bersama kawan- kawannya di restoran atau kafe bagi berborak mengenai hal-hal kerja, peribadi dan rancangan masing-masing.

Pada masa yang sama, lepas Dr. Farrah-Hani turut melibatkan pertemuan dengan kawan serta orang-orang yang ingin mendapatkan nasihat dan pandangan daripada beliau selaku doktor dan bekas ahli sukan negara.

Sejurus selepas 'bersara' dari sukan gimnastik selepas tamat persekolahan di Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur pada tahun 1995, beliau masih lagi bersukan tetapi terhad kepada senaman harian yang akan dilakukan jika masa mengizinkan dan pernah mengajar kelas balet di Thunder Dance Academy di Dublin, Ireland secara sukarela.

Bagi mengeluarkan peluh, Dr. Farrah-Hani akan bersenam dengan kaedah tersendiri yang melibatkan gabungan unsur- unsur gimrama dan tarian balet secara sistematik dan dilakukan di rumahnya berseorangan.

Ditanya mengenai muzik atau lagu kegemarannya pula, beliau sebenarnya memilih untuk tidak meminati mana-mana genre muzik yang spesifik, sebaliknya gemar lagu-lagu yang mempunyai makna tersirat antaranya lagu Warisan Wanita Terakhir nyanyian Kumpulan Teacher's Pet.

Selain lagu itu, beliau turut meminati lagu Kau Ilhamku nyanyian Man Bai dan lagu Inggeris, Time of Your Life yang dipopularkan oleh kumpulan pop punk dari Amerika Syarikat, GreenDay.

Mengenai kehidupan peribadi beliau yang telah melepasi umur 30 tahun dan masih belum mempunyai pasangan hidup, Dr. Farrah-Hani mengambil sikap tidak panik dengan keadaan itu dan banyak belajar daripada kawan-kawan yang telah berumah tangga.

"Soal kahwin ini tidak boleh dimain-mainkan, tidak boleh setakat tangkap muat sahaja kerana takut akan ada masalah komunikasi antara suami isteri di masa hadapan," kata beliau dengan maksud yang begitu mendalam.

Sedikit mengenai latar belakang Dr Farrah-Hani, beliau yang kini bertugas sebagai doktor di Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif di sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur dilahirkan pada 15 November 1977 di Kuala Lumpur.

Anak perempuan tunggal kepada pasangan Dr. Imran Abdullah dan Amy Imran dan adik kepada Dr. Amar Imran ini mendapat pendidikan di Sekolah Rendah dan Menengah Convent Bukit Nanas sebelum mendapat biasiswa Kementerian Belia dan Sukan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Royal College of Surgeons in Ireland.

Beliau pernah bekerja di L'hopital de Pitie-Salpetriere, Paris, France, Columbia-Presbytarian Medical Centre (CPMC) di New York dan University of California San Diego (UCSD) di California.

Selain juara gimrama di peringkat tempatan, beliau pernah menduduki tempat ke-60 dalam penarafan dunia daripada 200 peserta yang menyertai Kejohanan Rhythmic Gymnastics Dunia pada tahun 1993 di Alicante, Spain dan menjuarai British Open 1994 di Edinburgh, Scotland.

Selain itu, beliau turut mengharumkan nama Malaysia ketika menyertai Brother Cup International Meet 1992 di Tokyo, Japan dan Four Continents International 1991 di tempat yang sama serta Juara Sukan SEA tahun 1991, 1992, 1993 dan 1994.

Ekoran kecemerlangan Juara Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) tahun 1989, 1991,1992, 1993 dan 1994 itu, beliau menerima banyak pengiktirafan antaranya Her World Youth Woman 2007, Malaysian National Sportswomen 1994, Puteri Sukan 1991 dan 1992 dan Kuala Lumpur Sportsgirl 1993.

Selain menjadi penceramah dan memberi motivasi dalam banyak acara, Dr. Farrah-Hani juga pernah muncul dalam banyak rancangan televisyen antaranya Malaysia Hari Ini TV3, Wanita Hari Ini TV3, Nona TV3, Kwek Mambo Anita, ASTRO, 3R TV3; Dove Beauty Segment dan hakim jemputan Pencarian Gadis Jelita 2007.


Nota : i want to be somebody !!!

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam