Kurus Dengan Cara Murah

Perubahan gaya hidup penting dalam mencapai impian untuk kurus secara berkesan dengan cara yang paling murah.

Baik dari segi pemakanan dan amalan senaman harus diberi keutamaan kerana inilah yang menyumbang kepada pengurangan berat badan yang diinginkan.

Jangan sesekali kembali kepada gaya hidup yang lama apabila telah mencapai berat impian kerana ia bakal mengecewakan kita semula.

Untuk mengetahui sama ada seseorang itu terlebih berat badan atau berat yang ideal untuknya, pertama, timbang berat badan dalam kilogram, kemudian ukur tinggi dalam meter. Kira Indeks Jisim Badan (BMI) dengan membahagikan berat (kilogram) dengan tinggi (m2).

BMI bagi individu normal harus kurang daripada 25. Sebaliknya, jika BMI 25 hingga 30 bermakna individu tersebut terlebih berat dan memerlukan diet dan senaman. Manakala BMI lebih daripada 30 ialah obesiti.

Perunding masalah berat badan, Dr. Mahathir Mohamed berkata, ukuran BMI penting dalam mendapatkan sasaran jumlah berat badan ideal bagi seseorang yang mengalami masalah berat berlebihan dan ingin memulakan sebarang program diet atau menguruskan badan.

Katanya, setelah tahu apakah berat badan ideal yang ingin dicapai, maka ujian darah harus dilakukan.

Ini bagi mendapatkan profil mengenai kandungan darah, fungsi buah pinggang atau ginjal, fungsi hati, kolestrol, kandungan gula dalam darah semasa berpuasa dan analisis air kencing.

''Ujian hormon turut akan dilakukan kerana ketidakseimbangan hormon juga berkemungkinan boleh menyebabkan peningkatan berat badan dan ketidakupayaan untuk mengurangkan berat badan.

"Selalunya pakar menentukan ujian hormon yang perlu diambil oleh seseorang bergantung kepada sejarah dan ujian fizikal.

''Ujian profail hormon tiroid sebagai contoh, penting bagi mengetahui ketidakcukupan fungsi tiroid yang menyebabkan kenaikan berat badan.

"Hormon lain yang memain peranan dalam pengurangan berat badan dan pengekalan termasuklah hormon tumbesaran, DHEA, estrogen, progesteron, testosteron, kortisol, insulin, leptin dan ghrelin,'' katanya ditemui di Klinik Mempermuda Kulit dan Anti Penuaan, Timeless, di Kelana Jaya, baru-baru ini.

Menurut Dr. Mahathir, kekurangan hormon perlu diganti bagi mendapatkan tahap yang optimum bagi memastikan kejayaan.

''Satu lagi yang menentukan kejayaan pengurusan berat badan ialah diet. Diet mudah yang perlu diikuti ialah menghapuskan pengambilan gula, makanan manis termasuk coklat.

"Setiap kali membeli makanan baca dulu label tentang kandungan bahannya. Jika ada kandungan gula di dalamnya, dinasihatkan tidak membelinya dan setiap makanan harus mempunyai ketiga-tiga kumpulan makanan seperti protein, karbohidrat dan lemak.

''Dapatkan glycemic yang rendah daripada buah-buahan seperti epal, pir, jambu batu, aprikot dan kiwi, sayur-sayuran dan kekacang.

''Sebaliknya, ambil protein daripada ikan, ayam, daging, telur dan taufu. Lemak yang baik pula daripada minyak zaitun manakala omega-3 pula boleh diperoleh daripada minyak ikan dan minyak kelapa dara yang mengandungi medium chain triglycerides,'' jelasnya yang turut mengalami penurunan berat badan dari 104 kilogram ke 80 kilogram manakala isterinya turun dari 68 kilogram ke 55 kilogram setelah mengubah cara hidup dan mengikuti program yang dicipta olehnya.

Menurut Dr. Mahathir, diet yang sesuai ialah diet yang berkalori rendah. Sebagai contoh, program 500 hingga 800 kalori yang lengkap dengan semua zat yang diperlukan oleh badan untuk bertenaga dan sihat.

Dua minggu fasa intensif

Minum pagi: Mihun sup dicampur dengan ayam, bebola ikan dan sayur. Kurangkan mi sebanyak satu mangkuk sahaja. Minum air kosong.

Makan tengah hari: Sup ayam yang mengandungi protein, lemak dan vitamin) dicampur dengan air (kira-kira 250 kalori)

Makan malam: Tom yam, banyakkan sayur.

''Ingat, minum banyak air kerana banyak orang menyangkakan mereka lapar tetapi sebenarnya mereka hanya dahaga. Selepas minum, anda tidak lagi lapar. Selain itu, ia membuatkan anda hidrasi dan mengeluarkan toksin di dalam usus.

''Dicadangkan mengambil multivitamin yang kaya dengan chromium, selenium, zink dan vitamin E bagi memperoleh nutrisi yang lengkap.

''Selepas dua minggu, anda akan mendapat tenaga baru dan berat badan anda berkurangan,'' katanya yang mula sedar untuk menguruskan badan setelah kehilangan ahli keluarga pada usia akibat sakit jantung.

Tambahnya, langkah kedua, anda kini boleh makan dua kali iaitu sarapan pagi dan makan tengah hari tetapi tanpa gula, tinggi protein yang diperoleh daripada sayuran dan glycemic rendah daripada buah-buahan.

Selalunya, orang Malaysia pasti akan merindui nasi. Namun, anda boleh menggunakan beras glycemic rendah seperti basmathi.

''Nasihat saya untuk mengambil suku pinggan sahaja nasi manakala yang lain dipenuhi dengan sayur-sayuran, ikan atau ayam. Anda boleh mengambil satu buah-buahan glycemic rendah setiap kali makan seperti epal. Juga, makan ayam tanpa kulit.

''Ambil penggantian makanan berat untuk makan malam seperti sup supaya perut anda tidak bekerja keras semasa anda tidur,'' katanya.

Pada masa ini mulalah melakukan senaman untuk membina otot. Senaman Tabata adalah sesuai pada tahap ini. Berenang juga adalah senaman yang boleh mengurangkan berat badan, menguatkan kardio dan ketahanan badan.

''Ingat, anda seharusnya mengurangkan lemak dan otot-otot semasa fasa pertama dan inilah masanya untuk menggantikan otot tersebut. Anda tidak akan mahu kulit yang melendut di tubuh.

''Lakukan perkara yang sama pada tahap kedua sehingga anda gembira dengan berat anda. Ini mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan tetapi diingatkan jangan cepat sangat turun kerana anda perlu membina otot dan mengelakkannya daripada melendut. Jika hanya turun 5 kilogram, anda telah menambah lima hingga lapan tahun usia hidup yang sihat,'' ujarnya.

Selepas tiga hingga empat minggu di tahap kedua, fizikal aktiviti anda meningkat, bolehlah makan snek yang merupakan buah-buahan glycemic rendah antara pukul 11 pagi dan 4 petang untuk menstabilkan gula dalam darah dan hormon.

Apabila berat badan yang diidamkan telah diperoleh, kekalkan dengan pelan makanan sihat yang sedia ada dan teruskan senaman.

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
Gambar ABY BAIZURA HARUN (Dr. Mahathir Mohamed dan isteri, Dr. Nurhalinaazly Minhat berjaya menguruskan badan setelah menjalani program ciptaan mereka.)
ARKIB : 29/12/2009 HARIAN METRO
.

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam