Manusia digalak bersedekah untuk naungan di hari kiamat

Oleh Hashim Ahmad

SEORANG Muslim sentiasa khuatir akan nasibnya di hari kiamat kerana memikirkan umat manusia bakal dibangkitkan dan dikumpulkan di padang Mahsyar sedangkan matahari berada sangat dekat di kepala.

Bagaimanapun, umat Nabi Muhammad bertuah kerana Baginda sudah menjelaskan bagaimana untuk mendapat naungan di hari kiamat seterusnya berusaha melaksanakan apa yang patut demi kebahagiaan di akhirat nanti.

Antara keterangan Rasulullah ialah hadis menyatakan bahawa naungan orang beriman di hari kiamat sangat terkait dengan kebiasaannya mengeluarkan sedekah sewaktu hidupnya di dunia. Ketika di padang Mahsyar, setiap manusia menunggu giliran untuk diadili. Semua akan merasakan panasnya matahari di atas kepala namun bagi yang rajin bersedekah, bakal memperoleh naungan daripada matahari kerana sedekahnya itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap orang berada di bawah naungan sedekahnya (pada hari kiamat) hingga diputuskan di antara manusia atau ia berkata: “Ditetapkan hukuman di antara manusia.”

Yazid berkata: “Abul Khair tidak pernah melewati satu hari pun melainkan ia bersedekah padanya dengan sesuatu, walaupun hanya sepotong kuih atau bawang merah atau seperti ini.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi, Al-Hakim dan Ibnu Khuzaimah)

Dalam hadis lain, Nabi Muhammad SAW dengan jelas menyatakan: “Naungan orang beriman di hari Kiamat adalah sedekahnya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) Menyedari hakikat itu, rajin-rajinlah bersedekah supaya memperoleh naungan di hari yang tidak ada naungan kecuali naungan Allah.

Ketahuilah dan janganlah sekali-kali kita memandang remeh pemberian diberikan. Sesungguhnya bukan banyaknya sedekah yang dikira, tetapi keikhlasan hati.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah kami meremehkan sedikitpun perbuatan makruf sekalipun kamu sekadar menemui saudaramu dengan wajah berseri.” (Hadis riwayat Muslim)

Suatu ketika, seorang sahabat pernah menyatakan kepada Rasulullah SAW bahawa seorang miskin berdiri di depan pintu rumahnya. Maka dia tidak menemukan sesuatu yang dapat di berikan kepada orang miskin itu.

Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya yang bermaksud: “Jika kamu tidak menemukan sesuatu yang dapat kamu berikan kepadanya selain kuku binatang yang dibakar, maka serahkanlah kepadanya di tangannya.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)
Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan serta sikap pengecut dan kebakhilan.” (Hadis riwayat Muslim) B/H

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam