Special Offer - Jom Kita Rebutnya

Riwayat Ibnu Huzaimah

Suatu hari Amru Ibn Al Ash dalam keadaan tidak tenang datang berjumpa Rasulullah saw lalu berkata : "Ya Rasulullah! Aku mahu berbaiah dengan mu dan berikanlah jaminan bahawa Allah akan mengampunkan semua dosa-dosa ku yang lepas"

Lantas Rasulullah saw menjawab : " Wahai Amru! Tidakkah kamu tahu bahawa bila kamu memeluk Islam,maka Islam telah membersihkan segala dosa-dosa yang pernah kamu lakukan semasa kafir dahulu.Dan dengan hijrah yang telah kamu lakukan,ianya juga telah membersihkan dosa-dosa sebelumnya dan dengan haji yang kamu lakukan juga menghapuskan segala dosa yang dilakukan sebelumnya!"

Riwayat Al Bazzar

"Orang yang kembali dari haji boleh memberi syafaat kepada 400 orang dari ahli keluarganya dan sesungguhnya bila dia kembali dari haji,dia kembali dalam keadaan tiada dosa seperti mana dia baru dilahirkan oleh ibunya"

Riwayat Tabrani dan Al Bazzar

"Seseorang yang berbelanja untuk mengerjakan haji tidak akan miskin dan papa"

Allah SWT telah berfirman yang mafhumnya

"Mana-mana hamba Ku yang telah aku berikan kepadanya kesihatan yang baik dan rezeki yang banyak dalam tempoh lima tahun tanpa menziarahi rumah Ku.Sesungguhnya dia telah menolak kebaikan yang besar dan rahmat yang banyak yang telah Aku berikan kepadanya"

Riwayat Bukhari dan Muslim

"Dosa-dosa yang dilakukan selepas satu umrah,diampunkan melalui umrah yang berikutnya"

Suatu hari Ummu Salim menemui Rasulullah saw dan berkata "Ya Rasulullah! Abu Talha (suami ku) serta anak-anaknya telah pun pergi haji dan tinggallah aku".Maka balas Rasulullah saw "Wahai Ummu Salim! Lakukanlah satu umrah dalam bulan Ramadhan. Ganjarannya menyamai haji yang dilakukan bersama-sama aku"

Hebatnya tawaran dari Allah SWT melalui ibadah haji dan umrah ini.Tak ada manusia yang mahsum,yang dapat mengelakkan diri dari dosa dizaman yang penuh panca roba ketika ini.Mungkin kita dapat menjaga diri dari dosa-dosa besar namun dosa-dosa kecil yang menghimpit segenap segi kehidupan kita amat sukar untuk dielak.Hakikat kelemaha manusia ini telah dimaklumi oleh Pencipta kita,makanya diberikan tawaran istimewa ini untuk kita merebutnya.

Diusia 48 tahun ini aku sedar dan insaf bahawa aku dah begitu lewat untuk ke sana.Sewajarnya aku dah lama dulu ke sana.Terbeti rasa kesal kerana di usia muda aku tak pernah fikirkan perkara ini dengan serius.Sekarang masanya dah lewat.Tenaga dah tak segagah dulu dan sisa-sisa kekuatan yang ada tentunya tak akan mengizinkan untuk aku terlalu aktif bila di sana nanti.Sedangkan ibadat haji memerlukan tenaga yang banyak.

Cuma sepatah kata-kata ini saja yang dapat memujuk kekesalan ku "better late than never".

Ya Allah, aku akan datang kepada Mu.Aku menyahut seruan Mu.Lanjutkanlah usia ku agar aku berkesempatan menjadi tetamu Mu di musim haji yang akan datang nanti.

Ya Allah,Kau permudahkanlah dan janganlah Kau menyusahkan aku.Lapangkanlah urusan ku dan perjalanan ku dan isteri ku ke Tanah Suci Mu.Kurniakanlah kami haji yang mabrur.

Ya Allah,Kau lanjutkan usia kedua ibu bapa ku.Berikanlah kedua-duanya kesihatan yang baik dan Kau berikanlah aku peluang untuk memimpin tangan mereka mengunjungi rumah Mu di tahun 2013 nanti.Ini doa ku,ini harapan ku,Kau izinkanlah aku berbakti kepada mereka sebelum mereka atau pun aku menutup mata buat selama-lamanya.Amin!

Suatu kejayaan tak akan dapat dicapai tanpa usaha yang gigih dan komitment yang padu dan berterusan.Persediaan fizikal dan mental harus bermula dari waktu ini.Hanya tinggal 197 hari saja lagi untuk aku membuat persiapan.

Aku mesti bermula sekarang ini juga.Mesti...mesti berubah segala-galanya dengan istiqamah kerana aku mahu meraih `haji yang mabrur',Insha Allah!

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam