Dari Pendang ke Madinah
Debaran dihati semakin hari dirasakan.Tuntutan perasaan yang mengharapkan sesuatu kurniaan yang amat besar dari Illahi sedangkan bekalan persiapan teramat minima.
Surat arahan dari Tabung Haji yang meminta supaya disediakan gambar untuk passport,visa dan juga buku sijil kesihatan telah diterima.Ertinya satu lagi proses pentadbiran telah berjalan untuk urusan ke Tanah Suci.Aku merancang bersama isteri pada minggu hadapan akan ke Pejabat Imegresen di Anak Bukit (Komplek Pejabat-Pejabat Kerajaan Persekutuan kat Anak Bukit ni dipanggil Putrajaya gak oleh sesetengah orang.Mungkin kerana jelas duplikasinya dengan Putrajaya kat Selangor tu)
Setelah berbincang bertukar-tukar fikiran dengan Tuan Haji Kamarul,pegawai di Pejabat Tabung Haji Pendang yang terlibat menguruskan jemaah-jemaah haji – aku dan isteri telah memilih penerbangan awal untuk ke Tanah Suci dan mengerjakan haji mengikut kaedah Haji Tamattuk.Iaitu mengerjakan umrah terlebih dahulu dan diikuti dengan mengerjakan ibadah haji.
Dari Lapangan Terbang Kepala Batas Alor Setar ke KLIA secara tambang bayar sendiri.Dan dari KLIA ke Jedah/Madinah barulah diambilalih oleh Tabung Haji.Kami amat berharap agar dapat menaiki kapal terbang yang akan terus dari KLIA ke Madinah Munawwarah.Namun tetap akan redha jika penerbangan itu hanya sampai ke Jeddah dan kemudiannya akan menaiki bas dari Jeddah ke Madinah.(Kita hanya mampu merancang – Allah SWT yang menentukan.Terima saja ketentuan Illahi supaya tak kecewa dan susah hati memikirkanya.Pasti apa yang diterima nanti adalah yang terbaik dari Nya,Amin!).Yang pentingnya selamat sampai ke Tanah Suci Mekah dan Madinah dan lancar mengerjakan ibadah haji sehingga beres.Jarak perjalanan jalan darat menggunakan bas berhawa dingin dari Jedah ke Madinah lebih kurang sama jarak antara Alor Setar dengan Kuala Lumpur.Maknanya 6-7 jam jugalah baru akan sampai ke Madinah.
Kursus Haji Bersiri di Masjid Sultanah Bahiyyah,Alor Setar yang dibimbing oleh Ustaz Haji Abdul Kadir Yahaya pun telah sampai diperingkat ulangsemula.Beliau merancang pada Jumaat pertama dan kedua pada bulan Julai nanti sessi amali dan selepas itu beliau akan bertolak ke Tanah Suci mengepalai jemaah umrah.Ertinya hari jumaat kedua itu adalah penamat kursus haji bersiri bimbingan beliau pada tahun ini.
Aku akan cuba (Insha Allah!) perturunkan disini langkah demi langkah perjalanan haji sebagaimana yang aku faham dari kursus yang aku hadiri di Masjid Sultanah Bahiyah ini.ANDAINYA pembaca blog ini mengesan berlaku kesilapan apa yang aku tuliskan di sini – pohonlah dikomen segera supaya aku dapat tahu dan menyedari bahawa ada bahagian-bahagian tertentu yang telah aku silap faham.Gunakanlah ruangan komen dibawah tu – terima kasih.
Peringatan untuk jemaah haji/hajjah – semasa menaiki kapal terbang nanti jika kita hanya berpakaian biasa sahaja ertinya kita akan ke Madinah dahulu.Jadinya jangan dirisaukan dengan persoalan niat haji semasa kita melalui miqat Qarnul Manazil nanti.
Jika kita diarahkan supaya memakai ihram terlebih dahulu sebelum menaiki kapal terbang ertinya kita akan terus memasuki Mekah untuk ibadah haji.Berwaspadalah untuk berniat haji.Jangan terlupa sehingga melepasi Qarnul Manazil kerana dikenakan dam nanti.Harus berniat haji semasa di KLIA atau semasa di dalam kapalterbang lagi tetapi afdalnya apabila tiba di miqat iaitu Qarnul Manazil.Namun dinasihatkan supaya tidak berniat terlalu awal sebegitu kerana dibimbangi ada halangan dan penerbangan ditangguhkan – jemaah haji/hajjah akan tetap akan terikat dengan 13 perkara larangan ihram – niat haji tidak boleh dibatalkan.
Bayangkan bagaimana kejadian pernah berlaku penerbangan terpaksa ditunda dan jemaah haji yang telah pun berada di dalam kapalterbang di arahkan turun dan Tabung Haji menyediakan bilik penginapan untuk tempoh menunggu itu.13 perkara larangan ihram itu pasti akan mencabar setiap jemaah haji terutamanya pasangan jemaah suami isteri.
Boleh juga berlaku dimana kapalterbang berpatah balik kerana ada hal-hal yang terpaksa berbuat demikian.oleh itu jemaah dinasihatkan kalau nak berniat pun biarlah setelah 5 atau 6 jam penerbangan kerana jika jarak masa sebegitu apa-apa hal pun penerbangan tak akan berpatah balik.Atau lebih afdal tunggu saja pengumuman dari juruterbang bahawa kapal terbang akan melintasi Qarnul Manazil – berniatlah ketika itu.Alhamdulillah!
Insha Allah dalam entri yang akan datang aku akan sentuh mengenai solat menghormati waktu dan selepas itu mula perkatakan mengenai hal ziarah di Madinah kerana di situlah akan bermulanya eksplorasi haji sebagaimana yang aku harap-harapkan,Insha Allah!
Comments
Post a Comment