Friday, July 13, 2012

Pesanan Buat Para Hujjaj

Pesanan Buat Para Hujjaj;

Wahai Haji / Hajjah, Mulakan Amalan Baik Kamu.
Dr. Abdul Wahhab Bin Nasir Al-Turairi.

بسم الله الرحمن الرحيم

Ketika matahari hampir ghurub (terbenam) pada petang hari Arafah, Rasulullah saw sedang mengangkat dan menadah luas kedua tangannya yang mulia. Baginda berdoa dalam keadaan penuh khusyu’, khudhu’ dan merendah diri. Kemudian dilepaskan tangannya turun dan berpaling ke arah Bilal seraya berkata: “Wahai Bilal, arahkan manusia semuanya agar diam!”

Bilal pun menyeru sekelian manusia agar diam. Maka semua hati pun memerhatikan, telinga menajamkan pendengaran, dan mata memandang ke arah Rasulullah saw yang menyeru mereka;

“Sesungguhnya Jibrail telah datang kepadaku, memberi khabar gembira; bahawa Allah swt telah menerima golongan yang baik dari kamu dan memaafkan golongan yang tidak baik dari kalangan kamu serta menghapuskan dari kamu kesalahan”.

Ketika mendengar berita gembira tersebut, Sayyidina Umar bin al-Khattab lantas bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah kelebihan ini khas untuk kita (yang berada di sini pada hari ini) atau umum untuk semua manusia?

Sabda Nabi saw: “Bahkan umum untuk semua manusia”.

Umar pun berkata: “Banyak sekali kebaikan (yang diberi) oleh Tuhan kami”.

Betapa indahnya khabar gembira (busyra) yang disampaikan oleh Nabi saw, yang menyelinap masuk ke dalam hati para hujjaj (jemaah haji) yang sedang berwuquf di Arafah, beberapa saat sebelum berangkat ke Muzdalifah. Maka berbungalah harapan mereka, seolah-olah mereka dibawa naik ke langit, dan telah diringankan kesalahan dari mereka, serta diberkati kebaikan yang mereka lakukan.

Sebagaimana terserlahnya busyra, khabar gembira dari Nabi saw, menunjukkan luasnya rahmat Tuhan dan curahan kasih sayang Tuhan yang tidak terhingga. Demikian juga terdapat banyak lagi nas-nas dari hadis yang menyebut tentang berita gembira dan limpahan rahmat Allah swt.

Ketika ‘Amru bin al-‘As datang untuk memeluk Islam di hadapan Rasulullah saw, Baginda telah bercakap dengannya, dan menghulurkan tangannya yang mulia untuk mengikat setia (baiah) di atas Islam, tetapi ‘Amru telah menarik tangannya.

Nabi pun bertanya: “Kenapa wahai ‘Amru? Jawabnya: Saya mahu meletakkan satu syarat. Kata Nabi: Syarat apa yang kamu mahu? Jawab ‘Amru: Syaratnya, bahawa Allah swt mengampunkan dosa saya. Sabda Nabi saw: “Wahai ‘Amru, apakah kamu tidak tahu bahawa Islam (yang kamu anuti) akan menghapuskan kesalahan yang lalu, dan hijrah akan menghapuskan kesalahan yang lalu, dan haji akan menghapuskan kesalahan yang lalu”.

Sesungguhnya haji menghapuskan semua kesalahan dan dosa-dosa yang lalu, sebagaimana Islam menghapuskan semua kesalahan kufur.

Sabda Nabi saw yang seumpama itu juga: “Sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan rafath (perkara yang berkait dengan seks), tidak melakukan kefasikan (kejahatan, maksiat), akan keluar dari dosa-dosanya seperti hari dilahirkan oleh ibunya”.

Haji merupakan kelahiran baru bagi seorang manusia. Apakah kamu tahu bahawa ada anak yang baru dilahirkan ke dunia ada dicatatkan dalam surat amalannya dosa yang dilakukan, atau kesalahan yang dilakukan!

Ingatlah, bahawa seorang yang telah melakukan haji kembali dari hajinya dalam keadaan sahifah (surat amalannya) bersih, seolah-olah dia baru keluar ke alam dunia dari perut ibunya.

Kepada semua mereka yang telah melakukan haji ke Baitullah al-Haram, berwuquf di tempat berwuquf, tempat yang Allah swt curahkan rahmat. Kepada mereka yang telah menadahkan tangannya di perhimpunan yang agung, mendedahkan kepalanya, menanggalkan pakaiannya diganti dengan dengan dua helai kain ihram dengan penuh tawadhu’ dan kehinaan kerana Allah swt.

Bergembiralah, bercita-citalah dengan apa yang kamu suka, maka khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah saw adalah benar, janji Allah swt adalah haq (kepastian), firman Allah swt:

{Itulah kelebihan yang Allah swt anugerahkan kepada mereka yang dikehendakinya, dan Allah swt mempunyai kelebihan yang agung}.

Wahai Haji / Hajjah!

Kamu telah menyeru Tuhan Yang Maha Agung, Memiliki Kebaikan lagi sangat Pemurah, tidak ada dosa yang tidak diampunnya (selain syirik), tidak ada kelebihan yang tidak dianugerahkannya, maka elokkan sangkaan kamu dengan Tuhanmu, kuatkan sangkaan baik kamu, kerana Tuhanmu mengikut sangkaan kamu. Anugerah Allah swt melebihi apa yang kamu angan-angankan, kemurahannya lebih luas dari pemintaan kamu.

Kamu telah menyeru (berdoa) kepada Tuhan kamu, yang kalau kamu menghampiri-Nya sejengkal, Dia akan menghampiri kepada kamu sehasta, kalau kamu menghampiri-Nya sehasta, Dia akan menghampiri kepada kamu sedepa, kalau kamu menghampiri-Nya berjalan, Dia akan datang kepada kamu berlari. (Kata-kata ini menunjukkan betapa cepatnya Allah swt memperkenankan permintaan hamba-Nya).

Kamu telah mengharapkan pahala yang Allah anugerahkan kepada hamba-Nya yang berada di Mauqif (Arafah) sedangkan kamu salah-seorang dari kalangan mereka. Allah swt berbangga-bangga dengan mereka kepada malaikat – Allah swt lebih mengetahui pada hakikatnya – dengan berfirman: “Apa yang mereka mahu? Mereka datang dalam keadaan kusut masai, berdebu-daba, duduk di bawah panas matahari. Saksikanlah wahai para Malaikat: Aku telah memberi keampunan kepada mereka”.

Harapkan pahala yang Allah anugerahkan kepada hamba-Nya yang berada di Mauqif (Arafah) dalam keadaan tidak menutup kepala, (sedang kamu bersama di antara mereka) Allah I berfirman: “Keluarlah kamu daripada Arafah dengan dosa yang telah diampunkan daripada kamu”.

Harapkanlah pahala yang Allah anugerahkan kepada hamba-Nya yang kamu hadir di musim ibadat ini, hadir bersama kamu orang yang kusut masai, berdebu-daba, manusia yang tidak dikenali dan tidak dipedulikan kehadirannya, tetapi kalau salah seorang dari mereka bersumpah nescaya Allah swt akan sempurnakan sumpah mereka, maka Allah swt menerima amalan mereka dan orang yang bersama mereka, “Itulah kaum yang tidak melakukan perkara tidak baik kepada orang yang bersama mereka”.

Wahai Haji / Hajjah,

Bersangka baiklah dengan Tuhanmu, jangan sekali-kali membuat sangkaan kecuali sangkaan kebaikan. Antara “husnuzzan” dengan Tuhan kamu, ialah kamu sangka dengan penuh yakin bahawa Tuhan telah menerima haji yang kamu lakukan, mengampuni dosa engkau, memperkenan doa engkau, menggandakan anugerah kepada engkau. Sesungguhnya Allah swt tidak minta kamu datang kecuali untuk menerima amalan kamu, menghapuskan dosa kamu, membersihkan surat amalan (Sahifah) kamu, apa sahaja yang kamu sangka, sesungguhnya limpahan kurnia Allah swt lebih luas dari sangkaan dan angan-angan kamu.

Demikianlah keadaan orang-orang soleh dan para ulama’ yang beramal dengan ilmu di perhimpunan yang besar ini.

Berkata Abdullah bin Al-Mubarak rhm: “Aku datang bertemu Sufyan Al-Thauri pada petang hari Arafah, dia sedang duduk di atas lututnya, mengalir air matanya, beliau berpaling kepadaku, aku pun bertanya kepadanya: Siapakah orang yang paling tidak baik dalam perhimpunan ini? Jawabnya: Orang yang menyangka Allah swt tidak mengampunkan dosa mereka”.

Diceritakan dari Al-Fudhail bin ‘Iyadh rhm, beliau telah memerhati kepada manusia dan tangisan mereka pada petang hari Arafah. Beliau pun berkata: “Apa pandangan kamu, kalau semua mereka itu berjalan kepada seorang lelaki meminta daripadanya “daniq” (satu perenam dirham), apakah dia akan menolaknya? Jawab sahabatnya: Sudah tentu tidak. Katanya: Demi Allah, keampunan Allah swt lebih mudah untuk diberikan kepada hamba-Nya daripada lelaki tersebut”.

Aku berdoa kepada Allah swt, memohon kemafaan-Nya,

dan aku mengetahui bahawa Allah swt memaaf dan mengampunkan.

Sekiranya dosa itu dianggap besar oleh manusia, tetapi sesungguhnya,

walau sebesar mana pun, dalam rahmat Allah swt ia adalah kecil.

Saudara Haji / Saudari Hajjah,

Pekakkan telinga kamu dari mendengar nasihat yang menyempitkan jalan kamu kepada Allah swt, menyempitkan rahmat Allah swt yang sangat luas, memutuskan harapan manusia dari diterima amal soleh mereka. Apabila kamu melakukan amalan dengan bersunguh-sungguh, kemudian ada orang berkata: “Bukanlah yang diambil kira itu amalan yang kamu lakukan, tapi apa yang diterima oleh Allah swt. Kamu tidak tahu amalan kamu diterima atau tidak?” Seolah-olah qabul amalan itu suatu perkara yang hanya bergantung kepada nasib (hazh/bahagian), seseorang itu tidak tahu dia dapat atau tidak? Bukankah ini suatu bentuk putus harap dari rahmat Allah swt?

Sesungguhnya keyakinan kita dengan Allah swt ialah yakin bahawa setiap amalan soleh yang dilakukan kerana Allah swt maka jalannya ialah diterima (qabul) dan digandakan. Sesungguhnya Allah swt sangat mulia dan pemurah dari menolak amalan hamba-Nya yang dilakukan secara ikhlas kepada-Nya. Sesiapa yang bersangka selain daripada ini dengan Allah swt maka dia telah membuat sangkaan yang tidak baik terhadap Allah swt.

Firman Allah swt: {Allah swt tidak mengazabkan kamu sekiranya kamu bersyukur dan beriman, sesungguhnya Allah swt Maha Menerima syukur dan Maha Mengetahui.} [An-Nisa’: 147]

Wahai Haji / Hajjah,

Tahniah untuk anda, Busyra, dan Qurratu ‘Ain! Maka sesungguhnya dengan melakukan haji ini kamu telah dilahirkan dengan kelahiran yang baru, kamu telah meninggalkan segala dosa dan segala kesalahan sepanjang umur yang lepas, kamu telah kembali dari dosa seperti hari kamu dilahirkan oleh ibu kamu. Maka jadikan selepas haji ini kehidupan yang baru, berinteraksilah (bermuamalah) dengan Allah swt dengan amalan yang soleh. Mulalah hidup baru maka perkara yang lepas telah selesai, oleh itu kukuhkan amalan kehidupan yang akan datang.

Ketahuilah – Semoga Allah swt memberkati kehidupanmu selepas ini – bahawa bukan syarat qabul amalan itu menjadikan kamu “Ismah”, terpelihara dari dosa selepas ini. Atau dengan sebab mengerjakan haji kamu mesti mengurangkan sifat kemanusiaan dan naik taraf kehidupan para Malaikat yang tidak bernafsu lagi.

Bukan seperti itu, kerana perbuatan itu diluar dari kemampuan engkau walau sekuat mana pun percubaan kamu.

Tetapi mulakanlah kehidupan selepas haji ini dengan kehidupan yang baru setelah engkau membuang kesalahan yang lepas di belakang kamu.

Mulakan hidup baru dengan penuh harapan dan tunduklah kepada kehendak Syariat Allah swt; perbanyakkan amalan ketaatan, bermujahadah melawan nafsu meninggalkan maksiat.

Sekiranya engkau tergelincir ke lembah maksiat, maka segera dan terus kamu susuli dengan kebaikan; “Ikutilah dengan kebaikan yang akan menghapuskan kesalahan”.

Maka setiap kebaikan, jalannya ialah gandaan pahala, dan memperbanyakkannya. Setiap kesalahan pula jalannya ialah dengan meminta ampun dan menghapuskannya.

Tidak ada orang yang membinasakan dirinya dengan berbuat maksiat kepada Allah swt melainkan dia pasti akan binasa.

Akhi Haji / Ukhti Hajjah,

Para salafussoleh (orang soleh zaman dahulu) apabila bertemu dengan jemaah haji yang baru pulang mereka akan memintanya supaya berdoa, dengan berkata: Mintalah ampun kepada kami! Kerana mereka kembali dari mengerjakan haji dalam keadaan tidak berdosa, maka ini adalah yang diqabul doa.

Maka saya menyambut kepulangan tuan/puan dengan maqalah ini, dengan memohon agar kamu mendoakan semua saudara Islam kamu agar Allah swt mengampunkan dosa mereka, mencurahkan hidayah ke dalam hati mereka, memperbaiki kehidupan mereka, menjauhkan perkara yang tidak baik dari mereka serta Allah swt menjaga mereka sebagaimana Allah swt menjaga orang-orang soleh dikalangan mereka.

Wassalamu’alaikum..

Akhukum,

Abu Anas Madani

sumber : http://www.abuanasmadani.com/?p=1261

No comments:

Post a Comment