Thursday, May 28, 2015

WAHAI ORANG YANG MALAS DAN SUKA TIDUR!

Lepas Isyak, Jumaat 9 Rabiulawal 1433.

Kali ini majlis ilmu yang dihoskan Profesor Dr Muhaya fokus kepada tafsiran surah al-Alaq. Kerana mendapat jemputan tiga hari lebih awal, saya bercadang menghadiri majlis itu dengan membawa sedikit kefahaman tentang surah tersohor itu. Sempat jua saya merujuk kitab tafsir oleh ibnu Katsir dan Sayyid Qutb. Lalu, sewaktu Ustaz Fauwaz membentangkan huraiannya, saya mengharapkan akan lebih cerah dan jelas jadinya kefahaman terhadap surah yang menjadi detik mula kerasulan Muhammad SAW.

Hebat ustaz muda ini, dibacanya tafsir terus daripada kitab bahasa Arab berjudul 'At Tahrir Wa Tamwir' (pembebasan dan pencerahan) karangan Imam Ibnu Asyur. Tentu begitu jauh bezanya dengan saya, yang mendapat kefahaman daripada terjemahan bahasa Indonesia kitab tafsir al-Quran karangan ibnu Katsir dan Sayyid Qutb.

Malam itu, pokok pembicaraan menyentuh soal perintah menuntut ilmu. Lima ayat pertama al-Alaq diberikan penghuraian.

'Bacalah (wahai Muhammad)dengan nama Tuhanmu yang mencipta (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.'

Saya fikir, elok benar kita renungi sebahagian intipati huraian Ustaz Fauwaz:-

1) Orang yang malas, suka tidur dan gemar berseronok tidak akan memperoleh ilmu.
Menuntut ilmu memerlukan pengorbanan. Ilmu dicari bukan untuk keseronokan. Mendaki Jabal Nur dan beribadah di dalam Gua Hira adalah gambaran betapa Muhammad sebelum kerasulannya, meninggalkan kemewahan dan keseronokan kerana mencari kebenaran (ilmu). Dalam konteks ini, kemewahan itu sebagaimana yang disediakan Siti Khadijah (pedagang yang kaya). Manakala keseronokan itu pula adalah segala nikmat duniawi yang tersedia dalam sebuah masyarakat jahiliyah.

2)Menuntut ilmu itu suatu dugaan besar. Orang yang malas, banyak tidur dan suka berseronok tidak akan merasai nikmat dan hikmah cabaran menuntut ilmu.

Sifat penting menuntut ilmu ialah ketabahan menghadapi kesukaran. Maka benarlah ungkapan pujangga 'kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.' Tidak mudah mendaki Jabar Nur, dan tentulah sukar beribadah di dalam Gua Hira yang boleh memuatkan dua orang dewasa saja itu!

Tentulah lebih sukar apabila dipeluk sangat kejap oleh Jibril sehingga Muhammad menyangka dia akan mati. Bertambahlah seksanya kerana dipaksa pula membaca sesuatu yang Muhammad tidak faham dan tidak tahu apa-apa!


Iktibarnya, menuntut ilmu bukan perkara entengan. Pengorbanan, ketahanan diri, sokongan keluarga, iltizam dan istiqamah adalah antara faktor menentukan kejayaannya.

Yang paling penting, kita sebagai Muslim mesti memahami bahawa yang mendasari usaha pencarian ilmu itu ialah 'Bacalah dengan nama Tuhanmu...!'

Sumber : http://harleemdayam.blogspot.com/2012/02/wahai-orang-yang-malas-dan-suka-tidur.html

No comments:

Post a Comment