Mencari Kitab Imam Nawawi
Siang tadi selepas menghadiri majlis walimatul urus saudara terdekat sebelah ibu ku di Kampong Banggol Enggok,Baling,Kedah aku menghala pula ke Bandar Sungai Petani.Tujuan utama ialah nak ke Hasani Books & Stationery kat situ.Sepanjang cuti sekolah ni Hasani mengadakan karnival jualan buku dengan tawaran istimewa yang menjangkau 25% potongan harga dan dah 2 kali aku ke sana.Boleh dikatakan setiap kali cuti sekolah Hasani mengadakan karnival sebegini dan aku pasti akan ke sana.
Fokus utama ku kali ni ialah nak mencari dan membeli beberapa buku/kitab yang dikarang oleh Imam Nawawi (kebelakangan ini minat ku teruja untuk memiliki dan membaca buku-buku karangan beliau.Antara buku/kitab yang mampu dibeli ialah;
1. Terjemahan Riyadus Solihin Jilid Pertama dan Kedua
2. Paksi 40 Iman Nawawi Menegakkan Agama Melalui Hadis Rasulullah
3. Riwayat Hidup Al-Imam Al-Nawawi
Tadi pun aku melayari internet mencari-cari artikel yang berkaitan Imam Nawawi untuk santapan minda dan antara yang menarik ialah kisah ini.Aku copy paste untuk sama-sama kita hayati.Pastu tu tanyalah iman kita masing-masing - masih adakah ulama di negara kita masa kini yang berani untuk menegur pemerintah seperti beliau.
Menurut riwayat bahawa apabila baginda Sultan al-Malik al-Zahir telah mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar (Monggol) lalu digunakanlah fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh.Ulama fiqh Negeri Syam telah menulis menerangkan fatwa tersebut, tetapi baginda sultan belum merasa senang hati selagiImam Nawawi tidak memberi fatwanya.
Lalu baginda bertitah “Masih adakah lagi orang lain?”. “Masih ada, al-Syaikh Muhyiddin al-Nawawi” – demikian jawapan yang disampaikan kepada baginda.
Kemudian baginda menjemput Imam Nawawi dan meminta beliau memberi fatwanya bersama ‘ulama fiqh mengenai pengambilan harta rakyat untuk peperangan. Beliau berterus terang tidak mahu memberi fatwanya dan enggan. Baginda bertanya: “Apakah sebabnya beliau enggan?” Lalu beliau memberi penjelasan mengapa beliau terpaksa menerangkan sikapnya dan keenggannya memfatwakan sama seperti para ulama. Beliau dalam penjelasan kepada baginda menerangkan seperti berikut!
Ampun Tuanku! Adalah patik sememangnya mengetahui dengan sesungguhnya bahwasanya tuanku adalah dahulunya seorang tawanan tidak ada sebarang harta benda. Tetapi pertolongan Allah telah dilimpahkan kurnianya kepada tuanku dengan dijadikan tuanku seorang raja.
Ampun Tuanku! Adalah patik telah mendengar bahawanya tuanku ada memiliki seribu orang hamba tiap-tiap seorang ada mempunyai beberapa ketul emas. Manakala dua ratus orang khadam wanita milik tuanku, masing-masing mempunyai perhiasan yang bernilai. Andaikata tuanku sendirian membelanjakan kesemua itu untuk keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka patik bersedia memberi fatwa untuk membenarkan tuanku mengambil harta rakyat.
Kesimpulannya, beliau berfatwa tidak membenarkan baginda mengambil harta rakyat selama kekayaannya sendiri masih dapat dipergunakan. Baginda al-Malik al-Zahir murka kepadanya kerana fatwanya yang amat menggemparkan sehingga baginda mengeluarkan perintah supaya beliau segera keluar dari Damsyik. Imam Nawawi terima saja perintah pengusirannya itu dengan nada yang tenang dan berangkat pulang ke Nawa.
Comments
Post a Comment