Nota Untuk Diri

Bismillahirrahmanirrahim

Kini dunia ini semakin tua dan semakin hampir menuju saat kehancuran manakala kebanyakan hati manusia di dalamnya semakin jauh daripada Allah SWT dan syari'at agama yang diajarkan oleh RasulNya. Kemungkaran berleluasa di mana-mana sahaja hinggakan sebahagian daripada kita sentiasa resah dan gelisah. Walaubagaimanapun kehidupan perlu diteruskan biar bagaimana susah sekalipun. Bolehlah diibaratkan seperti kita berjalan di atas jalan yang penuh dengan onak dan duri, harus berhati-hati supaya tidak terkena duri lalu mencederakan kaki.

Allah perintahkan melalui Kitab dan RasulNya supaya kita semua menjalankan kehidupan ini dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT dan hendaklah dijauhi segala perkara yang dilarang olehNya. Kelak apa yang kita kerjakan di dunia ini akan dipertanggugjawabkan kelak.

Allah SWT berfirman,

"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) (Az-Zalzalah [99] : 7 - 8)

"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)"; (Al-Mulk [67 : 2)

"Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.... (Al-Israa' 17:7)..

Allah SWT mencipta kita dan membiarkan kita hidup di dunia ini supaya kita mengabdi hanya kepadaNya.

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu". (Adz-Dzaariyaat 51:56).

Hendaklah kita mendidik diri supaya dapat menjalani kehidupan ini dengan penuh kebaikan yang berlandaskan syari'at yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Apabila kita menyedari bahawa kita telah melakukan dosa, hendaknya kita tidak berputus asa untuk kembali padaNya. Sedarlah betapa Kasih sayangNya mengatasi KemurkaanNya, sebagaimana ungkapan dalam satu Hadis Qudsi. Apabila berbuat dosa, janganlah menjadikan itu alasan untuk kita berputus asa dalam menggapai istiqamah mengabdi kepada Allah SWT, kerana boleh jadi itu adalah dosa terakhir yang ditakdirkan bagi kita.

Berpegang teguhlah kepada Allah SWT dan RasulNya dan jangan sekali-kali kita berputus asa dan lari daripadaNya. Sandarkan kepada Allah yang Maha Mengatur dan Menentukan. Keyakinan hanya hadir apabila kita mengakui kelemahan diri dan kehambaan kita di hadapanNya. Tiada suatu tarikan dan lepas nafas daripada kita kecuali di situ di bawah pengetahuan dan kekuasaanNya dan keinzinanNya.

Punca segala maksiat, kelalaian, dan syahwat adalah bujukan nafsu. Punca segala ketaatan, kewaspadaan dan kebajikan adalah kekangan nafsu. Bersahabat dengan orang bodoh yang tidak memperturutkan hawa nafsunya lebih baik bagi kita daripada bersahabat dengan orang pintar yang memperturutkan hawa nafsunya.

Hendaklah kita ingatlah bahawa, amal yang berasal daripada hati yang penuh dengan keikhlasan tidak dapat dianggap sedikit, dan amal yang berasal daripada hati yang penuh dengan ketamakan tidak dapat dianggap banyak. Ingatlah bahawa syaitan tidak akan pernah lupa kepada kita, oleh itu hendaklah kita tidak lupa kepada Allah yang menguasai segala-galanya. Semoga Allah meredhai kita semua dalam perjalanan yang amat singkat ini.

Semoga kita dapat menemuiNya dalam keadaan membawa hati yang sejahtera.

"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera ;(Asy-Syu'araa' [26] : 88 - 89)

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam