Kaya Hati Adalah Kaya Sebenar

Bagi kebanyakan manusia zaman ini, menjadi kaya adalah satu matlamat hidup yang mesti diraih. Mereka menginginkan rumah besar, kereta mewah dan pelbagai kemudahan hidup yang selesa. Untuk itu, pelbagai usaha dilakukan siang dan malam untuk mengumpulkan wang. Sering kali, keinginan itu membuatkan diri kita melupakan hak anak isteri yang memerlukan kasih sayang dan perhatian, bahkan ada juga yang mengabaikan pantang larang agama.

Apabila kita keliru dalam memahami konsep kekayaan, maka kita akan tersalah dalam mencarinya. Kekayaan hakiki sebenarnya bukan terletak pada benda-benda material, akan tetapi ia sesuatu yang berada di dalam hati manusia. Rasulullah SAW bersabda: Bukanlah kaya itu dengan memiliki banyak harta. Akan tetapi kaya (sebenar) adalah kekayaan hati. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis riwayat Ibnu Hibban, Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Zar: “Wahai Abu Zar, adakah engkau menyangka bahawa banyak harta itu bermakna kaya?” Abu Zar berkata: “Ya.”Baginda bersabda lagi: “Dan adakah engkau menyangka bahawa ketiadaan harta itulah kefakiran?” Abu Zar berkata: “Ya.”

Baginda lalu menjelaskan: “Kekayaan sebenar adalah kekayaan hati. Dan kefakiran sebenar adalah kefakiran hati.”

Kaya hati

Kaya hati adalah merasa cukup dengan yang ada. Sifat ini disebut juga dengan qana’ah. Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar: “Kekayaan hati terbit daripada sifat reda atas ketentuan Allah dan bersyukur atas segala pemberian-Nya.”

Bagi orang yang kaya hati, rezeki yang sedikit terasa banyak. Akibatnya, ia dapat menikmati pemberian Allah SWT itu dengan sepenuh hati. Hatinya tidak lagi tercari-cari sesuatu yang kurang, apa lagi runsing memikirkan cara untuk mendapatkannya. Sebaliknya, ia selalu merasa riang gembira kerana limpahan rahmat daripada Allah SWT yang tidak pernah terputus.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang bangun pagi dalam keadaan aman sentosa, sihat tubuh badan dan memiliki apa yang boleh dimakan, maka seolah ia telah memiliki seluruh isi dunia.” (riwayat al-Tirmizi)

Miskin hati

Siapa yang miskin hati tidak akan pernah merasa cukup meskipun seluruh kekayaan dunia berada di dalam tangannya. Rezeki yang begitu banyak terasa sedikit. Semakin banyak kekayaan yang diberikan, semakin banyak seksaan yang dirasakan.

Ia selalu hidup dalam ketakutan, cemas dan stres mengejar sesuatu yang tidak ada akhirnya. Belum lagi anak-isteri yang menyeksa dengan pelbagai permintaan dan perangai buruk mereka.

Allah SWT berfirman: Maka janganlah engkau mengagumi harta benda dan anak-anak mereka. Sesungguhnya Allah hendak menyeksa mereka dengan (harta dan anak-anak ini) di dunia dan kelak nyawa mereka akan dicabut dalam keadaan kafir. (al-Tawbah: 55)

Orang yang miskin hati tidak dapat mengecapi kenikmatan hidup. Malahan, hatinya terus dihantui kefakiran hingga ajal membawanya ke liang kubur.

Rasulullah SAW bersabda: Andai seorang anak Adam memiliki dua ladang penuh berisi emas, maka ia akan berusaha mencari yang ketiga. Tiada apa yang dapat memenuhi perut manusia selain tanah. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Luangkan sedikit masa

Kaya hati hanya dapat diperoleh apabila kita kembali kepada Allah SWT. Allah SWT hanya meminta sedikit daripada kita, namun memberi sangat banyak. Luangkanlah sedikit masa untuk beribadat kepada-Nya, membelek al-Quran dan buku-buku agama. Nescaya pintu kekayaan akan terbuka luas di dalam hati kita.

Dalam sebuah hadis kudsi, Allah SWT berfirman: “Wahai anak Adam, luangkan masamu untuk menyembah-Ku, nescaya Aku akan memenuhi hatimu dengan kekayaan, dan Aku akan menutupi kefakiranmu. Namun jika engkau enggan melakukannya, nescaya Aku akan membebanimu dengan pelbagai kesibukan, tetapi aku tidak menutupi kefakiranmu.” (riwayat Al-Tirmizi)

Walalhu a’lam.
 

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam