Mengharap Husnul Khatimah

Perbanyak ingatkan kematian dengan persediaan dari segi amal ibadah

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa, ayat 78 bermaksud: “Di mana juga kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila tiba ajalnya) sekali pun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.”

Maksud nas suci itu menegaskan bahawa ajal datang kepada manusia tanpa mengira keadaan dan masa.
Kadang-kadang ia datang ketika seseorang sedang mengerang kesakitan atau berada dalam keadaan nazak, kadangkala ia juga datang mengejut tatkala seseorang itu berada dalam kesihatan yang memuaskan atau dalam kegembiraan dan keriangan. Justeru itu, kematian adalah sesuatu yang nyata dan pasti ditempuhi setiap insan, tetapi bila kematian menjemput manusia itu tetap menjadi rahsia Allah SWT. Oleh sebab itu, hal kematian ini patut diambil perhatian serius setiap insan, terutama individu Muslim agar tidak termasuk dalam kalangan orang yang kerugian dan menyesal kemudian hari kelak.

Pastinya sebahagian besar daripada kita mengharapkan kesudahan yang baik ataupun husnul khatimah apabila kita dijemput menghadap Allah nanti.

Berbicara mengenai husnul khatimah, ia sebenarnya menjadi perkara idaman dan matlamat terakhir setiap insan beriman dan bertakwa kepada Allah. Untuk melayakkan dan menempatkan diri dalam kalangan yang mendapat anugerah husnul khatimah ini, maka kita sewajarnya merenung dan menghayati kembali sabda junjungan besar kita supaya segala usaha kita untuk menggapai kesudahan yang baik di akhir kematian kita menjadi milik dan genggaman kita juga.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Manusia yang paling bijaksana adalah mereka yang paling banyak ingatannya kepada kematian dan yang paling banyak amalannya sebagai persediaan dan persiapan rapinya untuk menghadapi kematian. Mereka itulah orang yang benar-benar bijaksana dan mereka akan pergi ke alam baqa dengan membawa bersama kemuliaan dunia dan akhirat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Maksud hadis itu menyarankan agar kita senantiasa bersiap sedia menghadapi kematian dengan memperbanyakkan mengingati kematian itu sendiri di samping berusaha menambah koleksi amal ibadat sebagai bekalan serta persediaan berkekalan yang bakal dibawa bersama nanti.

Perlu diingat bahawa untuk mencapai husnul khatimah di akhir kematian, ada beberapa perkara yang perlu kita lakukan agar usaha kita untuk meraih tujuan itu akan memperoleh keredaan Allah.

Pertamanya, kita hendaklah berusaha membersihkan hati kita daripada sebarang unsur syirik dan penyakit hati yang mencacatkan amalan soleh seperti riak, ujub dan takbur.

Seterusnya kita isikan dan baja hati kita dengan keimanan dan keislaman yang penuh kudus semata-mata kerana Allah. Kita hendaklah meletakkan Allah dan Rasul-Nya di tempat teratas mengatasi lain-lain kepentingan duniawi yang bersifat sementara seperti harta kekayaan, anak dan isteri.

Untuk itu, seseorang Muslim dituntut supaya ikhlas di dalam setiap ibadah kepada Allah dan juga tunduk patuh tanpa sebarang rasa bangkangan atau dolak-dalih terhadap segala syariat Islam dalam usaha untuk memperoleh keredaan-Nya.

Keduanya, kita hendaklah sentiasa bertaubat kepada Allah. Sebagai manusia biasa, kita sememangnya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Ini adalah perkara yang biasa dan tabii bagi seseorang manusia.

Sejajar dengan sifat Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi, Allah akan mengampuni apa juga kesalahan hamba-Nya yang bertaubat kecuali dosa syirik. Rasulullah bersabda maksudnya: “Semua manusia itu terdedah melakukan kesalahan dan kesilapan, tapi sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan ialah orang yang mahu bertaubat.” (Hadis riwayat Tirmizi & Hakim)

Maka wajar bagi kita iaitu insan biasa yang tidak maksum dan sentiasa terdedah dengan dosa serta maksiat, memperbanyakkan istighfar kepada Allah memohon keampunan seperti dilakukan Rasulullah sendiri, yang memohon ampun kepada Allah lebih dari 70 kali untuk melayakkan diri kita sebagai penghuni syurga.

Ketiga, manusia perlu memperbanyakkan amalan soleh kerana inilah tujuan sebenar kita diciptakan Allah sebagai mana firman-Nya dalam surah al-Dzariyat, ayat 56 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”

Akhirnya, yang keempat iaitu hubungan kita sesama manusia juga perlu baik di samping hubungan kita dengan Allah berjalan baik. Maksudnya di sini ialah seseorang Muslim hendaklah meminta maaf dan juga mengembalikan semua hak orang lain yang pernah diambilnya.

Ini amat penting kerana ia berkait rapat dengan keampunan Allah. Dengan lain perkataan, Allah hanya akan mengampuni dosa dan kesalahan seseorang setelah dia meminta maaf dari orang yang dizalimi dan juga mengembalikan haknya yang pernah diambil dulu.

Kalau tidak, kesalahan dan dosa orang yang dizalimi akan dibebankan kepada orang yang menzaliminya di hari akhirat kelak. Di samping itu, memohon kemaafan dari orang yang dizalimi adalah pelengkap kepada makna taubat yang sebenarnya.

Oleh yang demikian, selagi nyawa dikandung badan, selagi kesempatan hidup ini masih dikecapi, selagi dunia ini tidak sampai ke penghujungnya, hendaklah kita tanpa berlengah lagi berusaha meneruskan saki baki kehidupan kita ini dengan melaksanakan segala perintah Allah dan juga menjauhi segala larangan-Nya.

Mudah-mudahan kita termasuk di kalangan orang yang berkesudahan baik atau memperoleh husnul khatimah di akhir kehidupan kita kelak.
 
Sumber : Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi http://epondok.wordpress.com/2012/12/24/mengharap-husnul-khatimah/

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam