Syukur Nikmat Mu,Ya Allah!

Photo ini telah pun berusia lebih dari 10 tahun.Ketika itu Busu baru saja agah-agah duduk dan kini Busu telah pun berada di Darjah 5 sekolah kebangsaan.Photo anak-anak kesayangan @ buah hati ku anugerah dan amanah dari Illahi untuk ku dan isteri.Latar belakang photo ini ialah laut Selat Melaka yang berkongsi daratan dengan Pantai Merdeka.Ketika itu aku dan keluarga bercuti dan bermalam di Pantai Merdeka Resort.

Malam ini aku merenung photo penuh kenangan ini.Sambil mensyukuri nikmat Mu,Ya Allah! Betapa dengan rahmat Mu,dengan hidayah dan keredhaan Mu telah mengurniakan aku sebuah keluarga yang begitu menyenangkan aku.Liku-liku kehidupan seharian tidak terlalu beronak duri dan anak-anak dapat tumbuh membesar dengan selesanya walau pun tidak mewah.

Alhamdulillah,Along telah pun setahun bekerja sebagai Jurutera setelah menamatkan Ijazah Kejuruteraan Eletriknya.Angah pula tahun depan akan menamatkan Ijazah Kejuruteraan Kimianya dan Alang pula telah memulakan pengajiannya di bidang perubatan (semoga akan lancar tercapai cita-citanya sejak kecil lagi mahu menjadi seorang Doktor)

Acik pula akan menduduki SPM pada tahun hadapan dan Busu pula UPSR.Impian dan harapan ku agar salah seorang diantara mereka berdua ini akan dapat melanjutkan pelajaran di mana-mana universiti di Madinah/Mekah/Arab Saudi.

Mensyukuri nikmat keberhasilan dan kejayaan anak-anak ini membuatkan aku tidak sedikit pun merasa terkilan kerana masih lagi 'time scale' dalam perjawatan ku sedangkan rakan-rakan sejawatan yang sama-sama mula bekerja telah pun dinaikkan pangkat ke jawatan kanan.

Suatu ketika dulu sememangnya aku bergitu ghairah dengan kenaikan pangkat ini cumanya mungkin belum ada rezeki untuk ku ketika itu.Namun bila Along mula menduduki Tingkatan 3 dan akan berdepan dengan PMR nya,aku mula merasakan bahawa peranan ku untuk berada di samping anak-anak adalah lebih utama jika dibandingkan dengan kenaikan pangkat yang akan memaksa aku untuk bertukar tempat kerja dan seterusnya juga terpaksa mengheret keluarga ke persekitaran yang baru atau pun tinggal berasingan/berjauhan dari keluarga.Tentunya renyah begitu dan pasti menganggu sedikit sebanyak study,persekolahan dan mental anak-anak.Makanya biarlah aku masih di takuk lama,asalkan anak-anak lancar persekolahan dan pembelajaran mereka,sekurang-kurangnya aku telah pun mempunyai pekerjaan ketika ini sebagai sumber pendapatan untuk menyara kehidupan.Tumpuan ku ialah disamping isteri untuk sama-sama merancang dan mencorak hala tuju anak-anak dalam pembelajaran dan kehidupan mereka.

Menghantar dan mengambil anak-anak dari dewan peperiksaan adalah rutin tugas ku di musim peperiksaan besar mereka.Aku mahu menjadi orang yang mula-mula mendengar keluhan mereka jika ada apa-apa yang tak memuaskan hati semasa menjawab soalan peperiksaan dan memberi ransangan @ pujukan motivasi agar resah gelisah tak puas hati yang ada di hati anak-anak itu tidak akan menganggu persiapan mental untuk menduduki kertas peperiksaan yang seterusnya.Jika tak mampu berbuat begitu (kerana anak-anak menduduki peperiksaan di tempat lain) aku mengiringi perjuangan mereka di dewan peperiksaan dengan bacaan Surah Yassin.

Kini ketika usia senja sebegini kenaikan pangkat bukan lagi agenda utama dalam kehidupan ku.Berpada dengan apa yang ada - itu lebih selesa dari kelelahan mengejar dunia.Yang menjadi agenda khusus jatah usia yang masih ada ini ialah bagaimana mahu mengisinya dengan sebaik mungkin dalam memeta jalan akhir husnul khatimah.Sekiranya usia Baginda Rasulullah saw dijadikan sandaran ukuran,ertinya aku cuma punyai lebih kurang 12 tahun saja lagi untuk hidup ini,lalu apakah yang perlu aku buat untuk 'cover up' amalan-amalan masa lalu yang jauh dari kesempurnaan itu.Semoga diizinkan Allah sawt untuk aku menjadi hamba Nya yang beriman dan beramal soleh,Amin!

Ya Allah Ya Tuhan ku,terlalu banyak melimpah ruah nikmat Mu .... alangkah sedikitnya amal ku!

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam