ILMU ITU AMANAH
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Syarah Ustaz Abdul Razak, Al-Amin, Sg Pusu, 26 April 2010
Artikel ini adalah tazkirah Ust Abdul Razak (Penterjemah merangkap Pengiring bagi rombongan Ulama' dari Al-Azhar) yg disampaikan di Al-Amin, Sg Pusu pada 26 April 2010, Isnin, jam 7.50 pagi yang lalu, saya paparkan tazkirah ini disini khusus untuk tatapan anda semua. Semoga ia bermanfaat buat kita.
*Tazkirah asal adalah dalam Bahasa Arab pada permulaan, kemudian diakhiri dalam Bahasa Melayu, tetapi dalam artikel ini telah saya terjemahkan isi-isinya. Maaf jika ada yang terkurang, saya hanya sempat mengingat sebahagian daripadanya. Sungguh bermakna kata-kata Ustaz pada pagi tersebut sehingga memberi kesan buat diriku.
----------------------------------------------------------------------------------------------
(Tazkirah asal dalam Bahasa Arab)
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, Keluarganya, Para Sahabat serta sekalian Pewarisnya. Salam ke atas sekalian guruku serta seluruh yang mengajarku. Assalamualaikum wbt.
....Setiap hari kita bangun tidur, kita ucapkan doa bangun tidur. Adakah doa tersebut dibaca dalam bahasa melayu? Adakah doa bangun tidur itu dibaca bahasa melayu atau bahasa arab? Sudah pasti bahasa arab!
Setiap hari kita makan. Setiap kali kita hendak makan kita akan ucap doa makan, paling kurang membaca Bismillah... Adakah doa makan tersebut disebut dalam bahasa melayu? Adakah doa makan itu bahasa melayu atau doa makan itu adalah dalam bahasa arab?
Setiap hari kita tidur. Sebelum kita tidur, kita baca doa tidur. Adakah doa tidur itu adalah dalam bahasa melayu? Adakah doa tidur itu bahasa melayu atau bahasa arab?
Setiap hari anda solat 5 waktu sehari semalam. Anda baca Surah Al-Fatihah, adakah surah Al-Fatihah itu bahasa melayu? Adakah anda baca dalam bahasa melayu ketika solat? Tidak! Semuanya dalam bahasa Arab!!
Bagaimana anda solat jika tidak memahami dan mengetahui maksud yang anda ucapkan tetapi dalam masa sama anda mengharapkan Khusyu' bagi solat anda?
Cintailah Bahasa Arab kerana bahasa ini adalah bahasa Al-Qur'an, bahasa yang disukai Allah, bahasa Surga Allah!
Untuk mencapai ma'rifat, faham, khusyu' dalam solat itu, maka ma'rifah dan fahamlah Bahasa Arab dengan Toriqah (jalan) yang betul. Ada bermacam jalan untuk mencapainya, carilah dan jangan membenci Bahasa Arab.
Sukailah dan cintailah seperti mana anda mencintai dan menyukai sesuatu harta berharga milik anda. Bahasa Arab ini adalah bahasa yang cantik dan indah! Bahasa Arab adalah bahasa paling indah di Dunia! Ma'rifah dalam Bahasa Arab, maka akan terbukalah pintu-pintu bagi cabang-cabang ilmu Allah!
(Tazkirah dalam Bahasa Melayu)
Wahai anak murid ku, serta guru-guru yang lain. Pada pagi yang Mulia ini, suka saya sebutkan beberapa hikmah-hikmah yang telah saya dapat dan saya kumpul dari kata-kata para guru saya sebelum ini.
Sukanya saya berada dalam suasana Al-Amin ini, saya sudi berkongsi hikmah-hikmah ini. Dengarlah dan amalkan. Sesungguhnya ia amat berguna!
Hikmah pertama yang saya kongsikan ialah, 'Jangan memandang rendah akan satu amalan ma'ruf yang kecil sekecil-kecilnya itu seperti senyum. Allah swt menyembunyikan ke-Redha'an-Nya dalam satu amalan ma'ruf yang kecil itu.'
Hikmah ke dua, 'Jangan memandang rendah dengan sesuatu kemaksiatan yang kecil. Kerana Allah swt murka dalam kemaksiatan kecil itu.'
Hikmah ke tiga, 'Jangan memandang rendah dengan seseorang. Allah menyembunyikan WaliAllah dalam orang-orang biasa.' Mana la tahu, seseorang itu adalah WaliAllah yang boleh menolak bala, kita ganggu dia, kalau orang tersebut kecil hati, susah hati, macam mana? Sudah tentu Allah juga akan murka. Maka bala dari Allah akan turun ke atas orang tersebut, maka bala dari Allah swt akan turun menimpa kaum atau tempat tersebut.
Dalam Hadis Qudsi, Allah swt telah berfirman; "Barang siapa yang menyusahkan orang yang Aku cintai, maka Aku isytiharkan PERANG ke atas orang itu!"
Amalan-amalan kecil yang selalu kita pandang rendah.
Banyak amalan-amalan kecil yang selalu kita pandang rendah. Amalan kecil itu adalah memanggil seseorang itu dengan gelaran yang orang itu tidak suka.
Ibnu Hajar Haitami meriwayatkan, Rasulullah saw bersabda; "Az-Zalim itu bagi orang yang menggelarkan seseorang itu dengan gelaran yang tidak disukainya." (Az-Zawajir, Zakarahu Ibnu Hajar Haitami)
Jangan kamu memandang rendah dengan seseorang. Jangan kamu menyindir seseorang.
Jangan sesekali tidak menjawab salam. Sebarkanlah salam. Kerana salam itu adalah penyebar kasih sayang!
Rasulullah saw bersabda; "Jika kamu hendak menyebarkan kasih sayang, maka sebarkanlah salam." (Az-Zawajir, m/s 125, Zakarahu Ibnu Hajar Haitami)
Para ulama' telah menyatakan, tak jawab salam sudah berdosa! Kerana kita menunjukkan seperti rasa benci kita kepada orang tersebut (orang yang memberi salam itu). Jawablah salam itu dengan kuat dan nyata sama seperti orang itu memberi salam kepada kita. Orang beri salam kepada kita dengan jelas, kita juga perlu jawab dengan jelas. Jangan jawab dalam hati, 'oh, saya dah jawab dah, dalam hati je'. Tak boleh macam tu! Kita kena menunjukkan rasa kasih sayang kita kepada orang lain!
Seterusnya, amalan kecil yang selalu di pandang rendah adalah dalam menegur orang. Kalau ada orang tegur orang lain tapi dengan cara kasar. Dia sama seperti orang yang mendirikan masjid tetapi dalam masa sama telah merobohkan Ka'bah! Walau kasar mana sekalipun orang itu, tegurlah dulu dengan cara lembut. Kata-kata ini saya petik dari Fiqhul Awliya', Syeikh Yusuf Al-Qardhawy.
Dalam Hadis Mutawattir no 487 karya Imam Malik ada diseut, Rasulullah saw bersabda; "Barang siapa yang menyebut 'SubhanaAllah Wa Bihamdih' sebanyak 1000 kali setiap hari, akan dihapuskan dosanya walaupun dosanya adalah seperti buih di lautan."
Maka ucaplah 'SubhanaAllah Wa Bihamdih' 1000 kali setiap hari. Bukan susah pun, sambil jalan sebut, boleh sambung lepas kita makan, lepas solat pun boleh sambung. Perkara kecil yang selalu dipandang berat oleh orang.
Seterusnya sebelum saya tutup tazkirah saya, sudi saya kongsikan sekali lagi kata-kata hikmah dari beberapa orang guru saya terdahulu.
Pertama, 'Jadilah (seperti) Matahari dalam memberi ilmu dan kebaikan. Tak kira orang itu baik atau jahat, tapi kita bagi juga.'
Kedua, 'Jadilah seperti malam yang gelap dalam menutup keaiban orang dalam gelap. Tak kira orang itu baik atau jahat, tapi kita tutup juga aibnya. Barangsiapa menutup aib saudaranya, maka akan Allah tutup aibnya di dunia mahupun di Padang Mahsyar kelak.'
Ketiga, 'Jadilah seperti laut dalam memberi kebaikan dan kemurahan. Tak kira orang itu baik atau jahat, berikanlah dan sebarkanlah kebaikan dan kemurahan. Bukan setakat pada manusia, tetapi sebarkan juga kepada makhluk ciptaan Allah yang lain.'
Keempat, 'Jadilah seperti Bumi dalam Ketaqwaan. Walaupun bumi ini dipijak oleh juta-juta manusia setiap hari, tetapi ia masih sudi merelakan dirinya dipijak. Jadilah seperti bumi dalam hal-hal Ketaqwaan.'
Kelima, 'Cakaplah wahai anak Adam! Dalam membuat maksiat itu ada perkara pelik!'
Ucaplah Allahu Akbar dalam keadaan sulit. Sesungguhnya perkataan itu menghalau Syaitan. Bila kita ucap Allahu Akbar maka kita telah menghalau Syaitan. Jika kita tak nak halau Syaitan, maka janganlah sebut Allahu Akbar.
Sebab itu bila ada manusia baru yang lahir ke muka bumi, pertama sekali yang disyariatkan adalah Azan ditelinga kanan dan Iqamat ditelinga kiri. Ia menjaga kita dari gangguan minda yang tak diingini.
Terakhir, hari ini ramai orang belajar tinggi-tinggi. Pergi luar negara. Belajar sana belajar sini. Belajar sudah besar, tapi masih lagi duduk dalam keadaan silap! Jadi keluarlah dari keadaan silap itu. Jalannya sudah tersedia, tinggal untuk mencari.
InsyaAllah apa yang anda dengar hari ini dapat memberi manfaat kepada diri kita dan seluruh ummat. Sampaikanlah.
SubhanaAllahi Wa Bihamdih...
----------------------------------------------------------------------------------------------
*Tambahan:
"Belajar sudah besar, tapi masih lagi duduk dalam keadaan silap!" Hari ini perkara ini banyak berlaku dimerata tempat. Perkara ini yang paling dibimbangi. Ilmu Itu Adalah AMANAH! Ilmu yang baik adalah yang tersemat didada. Bukan gunakan Minda dan Akal yang lemah!
Kata seorang guru saya, "Kebijaksanaan ada yang datang dengan usaha ada yang datang dari Allah swt. Tanpa banyak membaca, anda tidak boleh digelar 'Alim!" (Ustaz Ayub)
Hari ini ramai orang pergi belajar tinggi-tinggi, belajar jauh ke luar negara, dapat PhD, dapat Ijazah dan segala macam lagi. Tapi tak banyak membaca, hanya gunakan akal fikiran untuk berjaya, hanya baca teks yang diberi seseorang guru itu tanpa merujuk guru-guru lain yang juga Faqih. Tanpa membaca rujukan-rujukan orang lain. Orang seperti ini tidak boleh dikira sebagai 'Alim walaupun ia bijak.
Maka, belajarlah, tuntutlah ilmu sebanyak-banyaknya. Gunakanlah hati dalam membahaskan hal-hal Agama, guna Akal maka Akal lah yang akan menguasai anda. Kata Cg Azhar Ali, "Berjalanlah kita di atas dunia ini sepertinya dunia ini dipenuhi duri."
ILMU ITU AMANAH!
sumber : http://bradokapak.blogspot.com/2010/06/ilmu-itu-amanah.html
Comments
Post a Comment