⚔ ⚔⚔ PENGURUSAN MASA = PENGURUSAN USIA = PENGURUSAN KEHIDUPAN ⚔ ⚔ ⚔
Kita selalu berkata, ‘Masa itu emas.’ Akan tetapi, kita tidak boleh membelinya. Masa juga, bukan milik manusia. Jika masa milik manusia, alamatnya manusia boleh menggunakan masa dengan sesuka hati. Boleh putarkan masa ke bila – bila masa dengan kehendak diri.
Masa itu bukan berjalan dan bukan berlari. Sebaliknya, masa itu tidak akan berhenti.. sekalipun manusia itu mati. Masa, itu tidak pernah tidur. Yang tidur hanyalah kita. Dek kerana itu, ramai yang mengeluh ‘tidak cukup masa’. Bukan kerana ‘tidak cukup masa’, tetapi kita telah memperlekehkan masa itu sendiri. Kita buang masa!
Jadi… seharusnya bagaimana?
Manfaatkanlah masa!
Dahulu, kini, dan kemudian. Ini adalah fasa masa yang boleh mengubah seseorang. Tapi, manusia sering dihantui tentang masa – masa yang sudah terjadi dan belum terjadi. Akhirnya, tergadailah masa kini.
Jangan begitu…
Ambilah kebaikan daripada masa dahulu, untuk merubah yang kini dan yang akan membentuk diri pada kemudian hari. Jangan dipinggirkan, ditinggalkan kesemuanya. Kerana, semua itu bernilai meskipun kita sudah ketinggalan.
Bagi yang memanfaatkan masa, tahniah. Bagi yang ketinggalan masa, berubahlah. Bagi yang lebih masa, lebihkanlah ibadah. Kerana, kita akan ditanya kelak tentang apa yang kita lakukan. Pertanyaan yang merujuk pada penggunaan masa.
Manfaatkanlah masa. Tidak kira apa jua. Orang yang berjaya, adalah orang yang mampu manfaatkan masanya. Maka terteralah ayat ‘manusia yang baik, adalah manusia yang mampu memanfaatkan orang lain.’ Jadi, jika kita manfaatkan masa, tidak mustahil kita mampu manfaatkan apa – apa yang ada disekeliling kita.
9 Tips Berkesan Mengawal Masa Anda Daripada Dicuri
Kesilapan dalam mengawal masa pasti membuatkan kita menyesal seumur hidup.Masa adalah harta kita yang paling bernilai, kerana masa yang kita ada adalah sangat terhad.
Kesilapan dalam mengawal masa pasti membuatkan kita menyesal seumur hidup.Masa adalah harta kita yang paling bernilai, kerana masa yang kita ada adalah sangat terhad.
Kita boleh buat banyak duit, namun kita tidak akan boleh menghasilkan masa. Apabila kita memberikan orang lain masa kita, bermakna kita telah berikan sebahagian daripada hidup kita, yang mana tidak mungkin kita akan dapatnya kembali.
Masa kita adalah hidup kita.Oleh sebab itu, hadiah yang terhebat yang kita boleh berikan kepada seseorang adalah masa kita.
Allah berfirman, “Demi masa manusia itu dalam kerugian.” (QS Al-Asr: 1).
Setiap hari manusia kehilangan masa yang sangat berharga dengan sengaja atau terpaksa.
Ramai yang merungut tidak mempunyai cukup masa untuk menguruskan hal-hal urusan kehidupan mereka akibat mempunyai pelbagai komitmen yang perlu diselesaikan.
Namun kadang-kadang sebenarnya masa itu telah dicuri oleh si pencuri masa samada diri sendiri, orang lain dan keadaan.
Berbual kosong terlalu lama, kedatangan tetamu yang tidak diundang dan terperangkap dalam kesesakan lalulintas adalah contoh-contoh bagaimana masa anda telah dicuri.
Untuk mengatasi keadaan ini berikut adalah beberapa tip untuk mengawal masa anda:
1. Miliki dan pakai jam tangan
Untuk mengawal masa anda hendaklah mempunyai alat pengukur masa yang anda boleh semak bila-bila masa sahaja anda kehendaki, apa kah masanya sudah tiba atau sudah berakhir.
Jam tangan adalah alat yang paling sesuai digunakan untuk tujuan itu.
Oleh itu memiliki dan memakai jam tangan adalah satu keperluan bagi memudahkan anda memeiksa dan mengawal masa anda.
2. Gunakan planner untuk mengawal masa
Senaraikan tugas atau aktiviti yang anda perlu lakukan dan rekodkannya dalam planner (organizer atau diari) mengikut tarikh dan masa ianya akan dilaksanakan atau disiapkan.
Buat semakan setiap hari bagi memastikan diri anda sentiasa maklum tentang aktiviti yang dijadualkan.
3. Senarai “Things to do today”
Sediakan senarai “Things to do today” (to-do list) atau senarai apa yang perlu dilakukan hari ini.
Dalam menyediakan senarai ini hendaklah memberi keutamaan kepada aktiviti yang utama dan penting.
Jika tidak, anda akan membuat aktiviti yang sia-sia dengan membuat aktiviti yang tidak penting dan meninggalkan aktiviti yang penting dan perlu diselesaikan dengan segera.
4. Tentukan masa
Tentukan masa mula kerja dan siap bagi sesuatu aktiviti agar anda akan lebih komited.
Jika ini dilakukan masa tidak akan dibazirkan. Misalnya jika anda ke Pusat Membeli Belah tetapkan masa katakan dua jam untuk memilih dan buat bayaran.
Jika tidak ditetapkan masa anda mungkin akan asyik dan terlajak masa melawati pusat membeli belah tersebut, malah kadang-kadang berakhir dengan tidak membeli apa-apa.
5. Jangan bertangguh
Benjamin Franklin pengasas Negara Amerika Syarikat berkata, “Never leave that for tomorrow which you can do today “ yang bermaksud, jangan tinggalkan sesuatu untuk esok yang sebenarnya boleh disiapkan hari ini.
Kerja bertangguh menyebabkan aktiviti atau kerja anda akan tertunggak, menambahkan beban untuk hari esok.
Ini adalah satu pengurusan masa yang buruk.
6. Amal konsep tiga dalam satu
Orang yang bijak menguruskan masa dapat melakukan beberapa aktiviti dalam satu masa.
Misalnya jika anda hendak ke kedai tidak perlulah belegar-legar begitu lama mencari pakir kereta yang terdekat. Tidak mengapa kereta anda dipakir agak jauh.
Amalan ini mempunyai tiga manfaat:
Pertama jimat masa mencari tempat pakir kerana tempat pakir yang jauh selalu kosong.
Kedua berjalan dari pakir ke kedai anggaplah sebagai suatu senaman kerana anda sibuk tidak banyak waktu untuk bersenam.
Ketiga, sambil berjalan anda boleh berwirid atau zikir dan tak perlulah anda duduk di waktu yang khas untuk berzikir. Jadikan ini satu amalan anda akan jimat masa, sihat dan jiwa akan tenang.
7. Menafaatkan masa menunggu
Semasa berurusan di bank atau hospital anda dikehendaki mengambil nombor giliran dan terpaksa menunggu sehingga satu jam.
Masa menunggu ini dapat anda menafaatkan untuk aktiviti yang ringan seperti membaca buku atau kitab agama.
Jika anda terperangkap dalam kesesakan lalulintas yang kadang-kadang memakan masa sehingga berjam-jam, masa ini anda boleh menafaatkan untuk mendengar ceramah-ceamah agama melalui pemain CD kereta anda yang anda tidak berkesempatan mendengarnya di rumah.
Dengan cara ini masa berlalu tidak sia-sia.
8. Jangan jadi “ Perfectionist”
Pembaziran masa juga boleh berlaku bila anda cuba menjadi seorang “perfectionist” iaitu membuat segalanya dengan sempurna.
Berhentilah menjadi seorang perfectionist kerana ianya akan menyebabkan aktiviti-aktiviti anda yang lain tergendala disebabkan telalu menumpu kepada satu aktiviti terlalu lama.
Buanglah pemikiran perfectionist dan jangan terlalu obsess untuk membuat sesuatu terlalu tepeinci dan khusus. Akhirnya nanti masa anda terbuang dan aktiviti lain tergendala.
9. Katakan tidak
Jika anda seorang yang sibuk dan bukan seorang pengurus masa yang baik “katakan tidak” kepada apa-apa tanggungjawab tambahan atau sukarela.
Kerana niat anda yang baik itu akan menyebabkan ianya menjadi fitnah bagi diri anda kerana tidak mampu melaksanakannya atas sebab kekangan masa.
Penutup: Patuh adalah kunci kepada segala-galanya!
Apa-apa pun perancangan atau peraturan yang anda tetapkan tidak akan mendatangkan hasil yang positif sekiranya anda tidak mematuhinya.
Tiada guna jika anda menghabiskan banyak masa mencari dan mendownload apps produktiviti yang terbaik jika anda tidak dapat mengikutinya.
Anda adalah boss bagi diri anda. Andalah yang perlu mengawal diri anda.
Pengurusan masa haruslah cemerlang
Masa itu emas.Ungkapan melayu dahulu kala sering mengaitkan masa dengan emas. Masa itu emas. Mungkin pada masa dahulu, emas ini tampak berharga dari segalanya.
Benarkah sampai begitu sekali?
Ada juga yang mengatakan masa ini lebih berharga daripada emas. Logiknya, emas yang hilang mungkin boleh dicari dan diganti semula akan tetapi, bagaimana pula dengan masa?
Sedetik yang berlalu belum tentu boleh diganti dan dicari semula.
Itulah asbabnya masa ini terlalu berharga untuk dibuang dan dibazirkan begitu sahaja.
As-Syahid Hassan Al-Banna pula jelas mengaitkan masa dengan kehidupan, “Masa adalah sebuah kehidupan. Dan kehidupan itu adalah masa yang dia habiskan bermula pada saat kelahiran sehingga ke saat kematiannya”.
Manusia ini seringkali terleka dengan masa lapang dan mudah saja lalai dengan kehidupan fana.
Kadangkala sudah bertekad dan berazam untuk menggunakan masa dengan baik, namun akhirnya kecundang jua, jalan pembaziran yang menjadi pilihan untuk dilalui.
Begitulah hakikat makhluk yang diciptakan oleh Allah s.w.t di muka bumi ini.
Sesungguhnya, Allah s.w.t telah berjanji dengan masa:
Demi masa. Sungguh manusia dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran. ( Surah al-‘Asr, ayat 1 hingga 3)
Allah s.w.t telah memperingatkan kita akan kepentingan masa melalui kalamnya iaitu kitab al-Quran.
Melalui ayat di atas, kita ketahui manusia akan terus berada dalam kerugian kecuali bagi orang mukmin yang sedar akan kepentingan masa lalu menggunakan masa tersebut untuk melakukan kebajikan dan kebaikan serta memberi peringatan untuk manfaat diri sendiri dan masyarakat sekeliling secara umumnya.
Namun berapa ramaikah yang mengambil pengajaran daripada ayat di atas?
Terlalu ramai yang tersungkur di pentas arena dunia fana apabila dikaitkan dengan pengurusan masa.
Mereka lebih rela menghabiskan masa yang terluang dengan perkara yang membawa kepada keseronokkan, yang dapat menghiburkan hati mereka, tanpa sedikit pun memikirkan tentang kematian yang saban hari mendekati mereka!
Punca pembaziran masa
Ada manusia yang mampu menguruskan masa dengan baik sehinggakan setiap detik masa yang ada diinfakkan untuk melakukan kebaikan dan memperoleh redha daripada Allah s.w.t.
Ada juga manusia yang tidak tahu menghargai masa dan selalu menghabiskan masa untuk perkara yang menggembirakan hati mereka.
Ada manusia juga yang mampu menggunakan masa dengan baik pada mulanya, tetapi tidak kekal lama, akhirnya kembali meneruskan tabiat yang lama. Persoalannya, mengapakah perkara ini seringkali terjadi?
“Iman itu kadang naik kadang turun, maka perbaharuilah iman kalian dengan la ilaha illallah.” (HR Ibn Hibban)
Inilah antara sebab mengapa manusia seringkali culas dengan pengurusan masa.
Imannya kadangkala turun dan naik. Tidak tetap. Perkara inilah yang perlu kita akui sebagai insan yang lemah di hadapanNya.
Perlu diingatkan juga, walaupun iman ini sentiasa naik dan turun, namun kita punyai pilihan sama ada untuk meningkatkannya atau mengurangkannya.
Oleh sebab itulah di dalam hadis ini, kita disarankan agar sentiasa memperbaharui iman kita.
Apabila iman sudah tetap di hati, maka pengurusan mengenai masa bukanlah masalah terbesar yang perlu dihadapi.
Kedua, manusia ini mempunyai hati yang mudah berbolak-balik.
Mungkin di siang hari, kita senang untuk melakukan kebaikkan, tetapi tiba di malam hari, kita berubah dan lebih tega untuk melakukan maksiat.
Begitulah manusia yang mempunyai hati tidak tetap dan seringkali berubah. Allah s.w.t telah berfirman:
“Dan Kami bolak-balikkan hati mereka dan penglihatan mereka.” (Surah Al-Anam, ayat 110)
Semakin tetap hati kita, semakin sukar untuk kita jatuh dan tergelincir ke kancah maksiat. Namun, bukan mudah untuk tetapkan hati.
Nabi Muhammad s.a.w selalu mengamalkan doa, “Wahai Rabb yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku pada agamaMu.”
Jika Nabi yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan, seringkali meminta agar ditetapkan hati, apatah lagi kita yang tidak pernah gagal untuk melakukan dosa, sudahkan doa ini dilazimi di bibir kita?
“(Iblis) menjawab, “kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus, kemudian pasti aku akan mendatangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan, dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakkan mereka bersyukur.” (Surah Al-A’raf, ayat 16 dan 17)
Inilah antara punca yang terakhir yang ingin dikongsikan dalam di dalam artikel ini.
Janji syaitan terhadap Allah s.w.t sebelum golongan ini keluar dari syurga dan ditempatkan pula di neraka jahanam.
Syaitan telah berjanji akan terus menyesatkan cucu cicit Adam sehingga hari kiamat tiba.
Hanya manusia yang benar-benar ikhlas sahaja dan tidak lalai akan terselamat dari godaan dan tipu daya syaitan.
Ayuh kita atasinya!
Terlewat melaksanakan sesuatu tindakan adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa. Malah situasi akan menjadi lebih parah lagi sekiranya tiada apa-apa tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah tersebut.
Orang yang benar-benar mengenali masa dengan baik akan berpotensi menggunakan masa sebaiknya tanpa membazirkannya ke jalan yang sia-sia.
Setiap manusia dikurniakan 24 jam dalam sehari.
Hanya yang betul-betul mengenali masa dengan baik akan merasakan waktu yang diberikan cukup bermakna untuk melakukan kebaikkan dan kebajikan, selebihnya akan merintih dan seringkali mengeluh kerana kesempitan waktu.
Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai apabila sesorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Nabi Muhammad s.a.w menekankan supaya apabila kita ingin melakukan sesuatu, maka hendaklah dia melakukan dengan bersungguh-sungguh.
Dalam konteks penggunaan masa, kita hendaklah bersungguh-sungguh melakukan sesuatu pekerjaan agar masa yang digunakan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Biarlah pekerjaan itu sedikit, tetapi pastikan jangan meleret!
Lakukan dengan bersungguh-sungguh dan elakkan bertangguh agar masa yang selebihnya dapat digunakan untuk perkara lain yang sama taraf kepentingannya.
Hormati masa orang lain
Hidup bermasyarakat mensyariatkan kita agar bermuamalat dengan manusia lain.
Kita sering sahaja memandang enteng tentang kepentingan masa orang lain. Apabila perkara ini tidak dibendung sewajarnya, maka mudarat mudah sahaja mendekati!
Mungkin mudah untuk berjanji masa dengan orang lain, tetapi tidak mudah untuk menepati masa dengan orang lain. Berjanji masa lain, tepati masa lain.
Inilah mentaliti yang perlu kita atasi secepatnya. Membiarkan perkara ini sehingga bernanah, akan merumitkan lagi langkah pemuliharaan.
Sekiranya berjanji, maka tepatilah sehabis baik. Hormati masa orang lain sebagaimana kita mahu orang lain menghormati masa kita.
Sebagai seorang mahasiswa, pelajar dan juga penuntut, kehidupan kita sangat dekat dengan kelas serta kuliah. Kuliah yang kita hadiri saban hari perlulah kita peka dengan waktu pembelajaran bermula.
Andai terlewat, kita bukan sahaja menganggu kelas dan pensyarah, tetapi memandu insan sekitar kita untuk melabelkan diri kita sebagai manusia yang tidak tahu menghargai masa!
Sekiranya bersyura, berusrah, bermesyuarat atau apa-apa majlis yang memerlukan kehadiran kita untuk majlis itu bermula, maka jangan zalimi masa orang lain.
Jika terpaksa lewat disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan, latih diri untuk beradab dengan masa orang lain. Mohon kemaafan dan maklumkan akan kelewatan kita.
Ini lebih indah daripada lewat tanpa berita dan alas an yang kukuh!
Tawan masa!
Ramai manusia yang celik akan kepentingan masa tetapi buta akan cara menggunakannya.
Jadi, perkara ini akan merugikan diri kita sendiri. Belajarlah cara menawan masa dan janganlah biarkan diri kita ditawan pula oleh masa!
“Dua nikmat yang ramai manusia tertipu, iaitu nikmat sihat dan masa lapang.” (Riwayat Bukhari)
Antara kita dengan masa, siapakah lebih cilik?
Tanya diri kita sendiri, moga beroleh petunjuk Ilahi. Wallahualam.
sumber : http://akuislam.com/blog
sumber : http://akuislam.com/blog
Comments
Post a Comment