Jihad bin Mut’ib al-Malikiy Kanak-Kanak Istimewa!

Baru-baru ini tersebar meluas di media-media sosial tentang video saudara Jihad bin Mut’ib al-Malikiy, seorang kanak-kanak (saya kira lingkungan umurnya kini sekitar 12 tahun) dari Madinah al-Munawwarah yang diuji hafalan hadisnya. Video tersebut memaparkan kejituan luar biasa hafalan saudara Jihad yang mampu menghafal hadis-hadis secara begitu teliti mengikut lafaznya, turutannya, nombornya, sahabat perawinya, babnya dan lain-lain. Beliau aktif menyertai beberapa pertandingan hadis di Arab Saudi serta pernah memenangi anugerah diraja al-Amir Nayif bin ‘Abdul ‘Aziz Al Su’ud berkaitan hadis beberapa tahun lepas (1432h).
Jihad bukan sekadar menghafal hadis sahaja yang ketika itu (video pertandingan tersebut) telah menghafal lebih 1000 hadis, bahkan beliau juga menghafal al-Quran ketika umurnya mencecah 7 tahun dengan begitu jitu sekali hingga mengingati akan nombor ayatnya, halamannya, surahnya, juznya, hizbnya, barisan ayatnya, lokasi ayat-ayat yang kelihatan serupa dan lain-lain.

Maka, barangkali ramai insan yang berasa kagum akan kebolehan beliau ini akan tertanya-tanya rahsia memorinya yang luar biasa. Adakah beliau seorang genius yang melalui proses pembelajaran lain dari kanak-kanak biasa?
Ya, kita akui anugerah Allah yang luar biasa buatnya disamping mengujinya dengan menarik “nikmat” penglihatan beliau. Namun anugerah tersebut bukan alasan untuk beliau berkelakuan sambil lewa atau mengambil mudah perihal menuntut ilmu. Ia bukan datang begitu sahaja tanpa USAHA YANG TEKUN dan MINAT YANG MEMBUAK.

Saudara Jihad pernah menjelaskan beberapa kaedahnya menghafal yang memperlihatkan beliau juga seperti insan biasa yang perlu melalui norma-norma penghafal al-Quran dan al-Hadith kebanyakan. Dalam satu wawancara di siaran televisyen beliau mengatakan bahawa beliau juga perlu mendengar dan mengulangi suatu ayat yang baru dihafal itu berkali-kali serta mengulanginya dari hari ke hari bagi memperkukuhkan hafalannya sehingga beliau pernah menyatakan bahawa beliau mengulangi hafalannya 3-5 juzuk sehari. Namun yang paling utama ialah kemahuan yang sangat tinggi untuk menghafalnya. Bayangkan minat dan keinginan yang mulia itu datang seawal usianya 4 tahun kerana ketika itu beliau sering mendengar bacaan al-Quran dari radio, televisyen dan bacaan guru beliau. Kemudian lebih dari dua pertiga Quran beliau hafal dari didikan kedua ibu bapanya sendiri dengan menghafal setengah muka sahaja kebiasaannya setiap hari. Barangkali pencapaian Jihad juga hasil dari doa dan usaha kedua ibubapanya. Ibunya dikatakan sentiasa mendengar bacaan al-Quran ketika mengandung dan berterusan memperdengarkan Jihad dengan alunan al-Quran sejak lahir hingga beliau hafal keseluruhan al-Quran. Yang lebih mengagumkan ialah dengan ketiadaan dua penglihatan, Jihad KONSISTEN menghafal Quran dan hadis sehingga mampu menguasai hafalannya dengan begitu mengagumkan.

Benar, BUTA MATA ITU LEBIH BAIK DARI BUTA HATI. Betapa ramai yang celik penglihatan, namun hatinya pejam. Saudara Jihad jika ingin mencipta satu alasan sahaja yang menghalangnya dari menjadi seseorang yang berilmu, nescaya alasannya itu sudah cukup kukuh. Namun kita yang mampu melihat pelbagai warna dunia, membaca serta mengkaji pelbagai penulisan pula mencipta 1001 alasan yang menghalang kita menjadi penuntut ilmu yang bijaksana. Lihat kecerdasan saudara Jihad ketika ditanya: “Adakah kamu pernah meminta dikembalikan penglihatanmu?” Jawab beliau: “Tidak, aku tidak pernah meminta sedemikian, kerana ada suatu hadis (riwayat al-Bukhariy) mengatakan bahawa barangsiapa yang diuji kedua penglihatannya lalu dia bersabar, nescaya Allah akan menggantikannya dengan syurga, dan itu yang aku harapkan”.
Subhanallah! Adakah anak-anak didikan kita seusianya mampu berfikir sedemikian rupa? Mengidamkan ganjaran Allah dari keseronokan permainan dunia? Adakah kita sebagai ibu bapa melekakan anak-anak dengan hiburan permainan atau menghiburkan mereka dengan al-Quran dan al-Sunnah?

Selain itu saya melihat kejituan hafalan Jihad yang luar biasa tersebut merupakan sedikit gambaran yang masih wujud kini berkenaan kejituan para ilmuwan terdahulu yang mampu mengingati ribuan hadis beserta ratusan ribu jalan-jalan riwayat dan permasalahannya yang sangat rumit!

Akhir kata, semoga mereka yang mendakwa mencintai Nabi SAW tidak sekadar berseronok-seronok dengan "perayaan" yang zahirnya kelihatan bagaikan mencintai Nabi SAW, malah mencontohi kecintaan adik Jihad terhadap baginda SAW dengan menyibukkan diri bergelumang dengan hadis-hadis Nabi SAW yang didakwa sebagai junjungan dan cinta hati kita itu!

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam