RAHSIA PENERIMAAN DOA NABI YUNUS YANG JARANG DIKETAHUI
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir (al-Saffat [37:139-143-144]) pada 29 Disember 2016. Antara isunya adalah rahsia penerimaan doa
Jangan bermusim dalam mengingati Allah! Itu adalah “rukun hidup” yang wajib difahami oleh semua Muslim yang bertuhankan Allah. Ada sesetengah manusia hanya mencari Allah ketika susah. Apabila hidup dilanda resah, solatnya menjadi khusyuk luar biasa mengalahkan para wali. Apabila masalahnya hilang, solatnya langsung hanyut ke laut. Ini sikap manusia yang tidak mengenang budi dan jasa Allah.
Kewajipan mengingati Allah secara konsisten terangkum dalam arahan solat 5 waktu. Dalam solat yang 5 ini, Muslim mengatur munajat kepada Allah dalam setiap lafaz bacaan solat. Tambah menarik jarak yang sedikit jauh antara solat Subuh dan Zohor ditampung oleh solat Dhuha, manakala jarak panjang antara Isyak dan Subuh juga dipendekkan dengan saranan solat Tahajjud. Dengan kitaran ini, hubungan dan ingatan seorang hamba kepada Allah berlangsung hampir 24 jam.
Nabi Yunus AS adalah contoh terbaik manusia yang segera mendapat bantuan Allah kerana baginda senantiasa mengingati Allah ketika senang. Ramai yang beranggapan rahsia bantuan Allah kepadanya berpunca hanya dari doa ini:
وَذَا النُّونِ إِذْ ذَهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَنْ لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ (87) فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَنَجَّيْنَاهُ مِنَ الْغَمِّ وَكَذَلِكَ نُنْجِي الْمُؤْمِنِينَ (88)
Ertinya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang yang menganiaya diri sendiri". Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami) (al-Anbiya’ [21:87-88]).
Memang tidak dinafikan, lafaz yang indah memainkan peranannya tersendiri dalam menjamin penerimaan sesuatu doa. Bagi lafaz di atas Rasulullah SAW mengakuinya:
دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الْحُوتِ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنْ الظَّالِمِينَ فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ
Ertinya: Doa nabi Yunus yang dibacanya ketika dalam perut ikan iaitu “Tiada Tuhan Melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku tergolong dalam orang yang berlaku zalim” (adalah lafaz doa yang sangat istimewa), tiada seorang pun Muslim yang menggunakan lafaz doa ini melainkan akan dimakbulkan Allah baginya (Sunan al-Tirmidhi & Musnad Ahmad).
Pun begitu, kisah nabi Yunus dan doanya “ADA SEJARAH AWAL YANG JARANG DIKETAHUI” iaitu baginda AS ketika waktu senangnya senantiasa mengingati Allah secara konsisten dan agresif. Rupanya inilah punca utama mengapa doa baginda AS tatkala kesusahan dalam perut ikan senang dimakbulkan Allah. Perhatikan firman Allah ini:
وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ (139) إِذْ أَبَقَ إِلَى الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ (140) فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ الْمُدْحَضِينَ (141) فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ (142) فَلَوْلَا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ (143) لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (144)
Ertinya: Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari para Rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika dia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat. (Dengan satu keadaan yang terpaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu jadilah dia dari orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut). Setelah itu dia ditelan oleh ikan besar, sedang dia berhak ditegur. MAKA KALAULAH DIA (DAHULUNYA KETIKA SENANG) BUKAN DARI ORANG YANG SENTIASA MENGINGATI ALLAH (DENGAN ZIKIR DAN TASBIH), SUDAH PASTI DIA AKAN TINGGAL (BERKUBUR) DALAM PERUT IKAN ITU HINGGA KE HARI MANUSIA DIBANGKITKAN KELUAR DARI KUBUR (al-Saffat[37:139-144]).
Kisah baginda ini direkod kekal oleh Allah dalam al-Quran agar menjadi panduan umat Islam sehingga kiamat. Kunci penerimaan doa seseorang hamba adalah sejauh mana kesungguhan serta konsistennya dia mengingati Allah ketika senang. Abdullah Ibn ‘Abbas menceritakan Rasulullah SAW pernah berpesan kepadanya dalam sabda baginda:
تَعَرَّفْ إِلَى اللَّهِ فِي الرَّخَاءِ يَعْرِفْكَ فِي الشِّدَّةِ
Ertinya: Kenalilah (ingatilah) Allah ketika senang, pastinya Dia akan mengenalimu ketika sukar (al-Mu’jam al-Kabir Li Imam al-Tabrani).
Kisah doa nabi Yunus boleh dianalogikan dengan tabiat suka menyimpan ketika senang oleh seorang yang bijak. Apabila tiba waktu genting atau zaman kemelesetan ekonomi, dia tak risaukan kemiskinan atau kesusahan kerana simpanan hartanya selalu ada.
Pengajaran utama bagi kita, isilah waktu tenang dan senang kita dengan beribadat dan berdoa kepada Allah kerana ia akan mengundang kasih Allah kepada kita. Apabila Tuhan Pemilik semesta alam sukakan kita, maka semua masalah akan diuruskanNya sebaik mungkin.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/…/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-ji…/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/…/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-…/
Comments
Post a Comment