MASA ADALAH MAKHLUK ALLAH YANG AJAIB

MASA ADALAH MAKHLUK ALLAH YANG AJAIB

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Masa adalah satu makhluk Allah yang ajaib. Ia tidak perlu menonjolkan dirinya bagi membuktikan kewujudannya di alam ini. Apabila jam berdetik, “masa” dinamakan saat. Apabila matahari jatuh di ufuk Barat, “masa” dinamakan pula hari. Apabila kitaran bumi sudah lengkap mengelilingi matahari dalam kiraan 365 hari, “masa” bertukar nama menjadi tahun. Itulah kejaiban “masa”, geraknya semakin hari semakin berganda. Tiada siapa yang mampu lepas dari cengkamannya. Manusia yang dulunya muda belia menjadi tua lemah apabila diselubungi “masa.” Masa juga mampu mematangkan manusia dengan himpunan pengalaman.

Pun begitu, “masa” kadangkala boleh dikalahkan dengan ilmu. Manusia yang mempunyai ilmu mampu mengubah kuasa “masa” dengan kenderaan berkelajuan tinggi yang mereka miliki. Perjalanan dengan kapal terbang berbeza dengan memandu kereta. Prinsip isu ini disebut Allah ketika menceritakan mukjizat nabi Sulayman yang berkenderaan angin mampu memotong masa dari sebulan menjadi sehari. Saya kira kenderaan angin nabi Sulayman boleh kita kiaskan pada kapal terbang pada hari ini:

وَلِسُلَيْمَانَ الرِّيحَ غُدُوُّهَا شَهْرٌ وَرَوَاحُهَا شَهْرٌ

Ertinya: Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: “SEPAGI PERJALANANNYA ADALAH MENYAMAI PERJALANAN BIASA SEBULAN, DAN SEPETANG PERJALANANNYA ADALAH MENYAMAI PERJALANAN BIASA SEBULAN;” (Saba’[34:12]).

Bukan setakat itu sahaja, para malaikat yang dicipta Allah dari cahaya memiliki kemampuan bergerak pantas merentas “masa”. Seakan dikata, “masa” berurusan dengan teknologi malaikat dalam kerangka lain berbeza dengan kemampuan manusia:

تَعْرُجُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ

Ertinya: Para malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang yang bersalah) sungguh panjang selama 50 ribu tahun (al-Ma’arij [70:4]).

Masa juga antara makhluk awal ciptaan Allah kerana dalam banyak ayat Allah menyebut penciptaan awal langit dan bumi dicipta dalam 6 masa:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ

Ertinya: Dan Dia lah yang menjadikan langit dan bumi dalam 6 masa, sedang "ArasyNya, berada di atas air (Hud [11:7]).

“Masa” hanya di dunia dalam kiraan naik turunnya matahari dan munculnya bulan. Di alam barzakh lain pula halnya. Tiada lagi ukuran “masa” seperti di dunia. Oleh itu, manusia yang mati sejak zaman nabi Adam atau mati sehari sebelum berlakunya kiamat tetap berada dalam satu ruang “masa” yang sama bersesuaian dengan kuasa Allah selaku “Pencipta masa.”

Pernah saya terbaca dialong 2 orang Tabi’in (murid sahabat yang tidak sempat bertemu dengan Rasulullah SAW) yang bertemu dalam mimpi. Abdullah bin al-Mubarak berkata: “Aku bermimpi bertemu Sufyan al-Thawri (yang sudah meninggal dunia). Aku lalu bertanya kepadanya: Apa yang diperlakukan Allah padamu?” Sufyan menjawab: “Aku bertemu dengan Muhammad SAW dan puaknya (para sahabat) (al-Ruh oleh Imam Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah, hal 28). Apa-apa pun, mimpi ini tetap tidak boleh menjadi hujah.

“Masa” adalah makhluk Allah yang terikat dengan izin Tuhan Penciptanya. Ia wajib akur kepada kehendak Allah sebagaimana sang api pernah akur ketika menyelamatkan Nabi Ibrahim AS:

قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَى إِبْرَاهِيمَ

Ertinya: Kami berfirman: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! (al-Anbiya’ [21:69]).

Sepanjang sejarah manusia, kuasa “masa” pernah ditarik oleh Allah beberapa kali seperti dalam kisah 7 pemuda soleh yang tidur dalam gua:

وَلَبِثُوا فِي كَهْفِهِمْ ثَلَاثَ مِئَةٍ سِنِينَ وَازْدَادُوا تِسْعًا

Ertinya: Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: 300 tahun dengan kiraan Ahli Kitab), dan (tambah) 9 lagi (dengan kiraan kamu) (al-Kahf[18:25]).

Walaupun “masa” sudah berlalu selama 300 tahun, jasad 7 wali Allah ini kekal remaja seperti waktu awal mereka tidur. Begitu juga kisah pemuda Bani Isra’il yang tidur selama 100 tahun:

أَوْ كَالَّذِي مَرَّ عَلَى قَرْيَةٍ وَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَى عُرُوشِهَا قَالَ أَنَّى يُحْيِي هَذِهِ اللَّهُ بَعْدَ مَوْتِهَا فَأَمَاتَهُ اللَّهُ مِئَةَ عَامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ قَالَ كَمْ لَبِثْتَ قَالَ لَبِثْتُ يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ قَالَ بَلْ لَبِثْتَ مِئَةَ عَامٍ فَانْظُرْ إِلَى طَعَامِكَ وَشَرَابِكَ لَمْ يَتَسَنَّهْ وَانْظُرْ إِلَى حِمَارِكَ وَلِنَجْعَلَكَ آَيَةً لِلنَّاسِ وَانْظُرْ إِلَى الْعِظَامِ كَيْفَ نُنْشِزُهَا ثُمَّ نَكْسُوهَا لَحْمًا فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُ قَالَ أَعْلَمُ أَنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Ertinya: Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: "Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? " Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama 100 tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: "BERAPA LAMA ENGKAU TINGGAL (DI SINI)?" DIA MENJAWAB: "AKU TELAH TINGGAL (DI SINI) SEHARI ATAU SETENGAH HARI". ALLAH BERFIRMAN:" (TIDAK BENAR), BAHKAN ENGKAU TELAH TINGGAL (BERKEADAAN DEMIKIAN) SELAMA 100 TAHUN. OLEH ITU, PERHATIKANLAH KEPADA MAKANAN DAN MINUMANMU, MASIH TIDAK BERUBAH KEADAANNYA, DAN PERHATIKANLAH PULA KEPADA KELDAIMU (HANYA TINGGAL TULANGNYA BERSEPAH), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging ". Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu" (al-Baqarah [2:259]).

Kisah ini jelas menunjukkan penguasaan mutlak Allah kepada “masa.” Jasad dan makanan lelaki ini tidak terjejas kerana “masa” tidak dibenarkan menyentuhnya, manakala si keldai hancur menjadi tulang kerana Allah membenarkan “masa” mengenakan kuasa pemusnahnya kepada si keldai. Subhanallah!

Sama perihalnya dengan nabi Isa AS. Pada perkiraan biasa, baginda sudah berusia lebih 2000 tahun, tetapi keremajaan baginda kekal seperti waktu baginda diangkat ke langit. Baginda menjadi kebal “masa” dan tidak dimamah usia kerana Allah menghalang “masa” menyentuh baginda.

Semoga bicara ringkas pada kali ini akan membuka luas mata hati kita betapa makhluk Allah yang bernama “masa” sebenarnya sangat ajaib. Inilah antara sebab mengapa Allah bersumpah menggunakan “masa” dalam al-Quran:

وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3)

Ertinya: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan sabar (al-‘Asr [103:1-3]).

Manafaatkanlah makhluk Allah ini sebaik mungkin kerana ia akan menjadi sebab bahagia atau duka kita di akhirat kelak. Kita akan berbahagia jika bijak mengunakan “masa” mengisi hidup dengan ketaatan kepada Allah, manakala kita bakal derita jika terlalu banyak membuang “masa” untuk aktiviti dosa yang tidak berfaedah.


* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam