Saturday, March 19, 2016

TIP MENGULANG AL-QURAN UNTUK PARA ISTERI DAN JUGA IBU
Kali pertama menggalas amanah sebagai seorang Hafizah Al-Quran,ia bukanlah suatu tiket untuk seorang wanita itu mendabik dada dengan mengatakan "aku sudah ingat 30 juz Al-Quran.'' Tidak,Bukan semudah itu!
Al-Quran itu mukjizat yang agung.Fahamilah makna kalimah 'Hafizah Al-Quran'.Ia bermaksud 'Penjaga Al-Quran'.Sesiapa sahaja boleh bergelar Hafizah,tidak semestinya dia perlu memasuki gerbang Maahad Tahfiz Al-Quran terlebih dahulu.Pokoknya,ingin menjadi Hafizah Al-Quran atau sudahpun bergelar Hafizah,kedua-duanya perlu melalui fasa Usaha dan Mujahadah yang tinggi untuk memelihara Al-Quran.
Guru saya di Darul Quran dulu selalu berpesan," Selangkah kamu memasuki bidang menghafaz Al-Quran ini,bermakna kamu telah mengikat janji untuk terus menjaga Al-Quran sepanjang hayat kamu.Al-Quran tidak boleh sewenang-wenangnya dilupakan."
Kata-kata inilah yang menjadi pegangan saya selama ini.Al-Quran sangat mudah terlepas dari ingatan apabila tidak diulang-ulang bacaannya.Itulah konsep menghafaz Al-Quran.
Menilik sirah Rasulullah SAW dalam aspek penjagaan Al-Quran ini,pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh sahabat-sahabat Rasulullah SAW dalam menjaga Al-Quran.Antaranya setelah mereka mendengar ayat-ayat Al-Quran yang baru diturunkan,mereka terus menghafaznya,lalu menulisnya di atas batu,tulang dan kulit binatang.Beginilah cara pengumpulan ayat-ayat Al-Quran yang dilakukan oleh para sahabat supaya ayat Al-Quran ini tidak hilang dan dilupakan.
Tips Mengulang Al-Quran
Bergelar seorang isteri pada masa yang sama menggalas amanah sebagai Hafizah Al-Quran,ianya bukan suatu tanggungjawab yang mudah.Walaupun seorang isteri bertugas sebagai suri rumahtangga,kerja yang terhidang di hadapan mata seolah-olah tidak pernah habis.Bagi isteri yang bekerjaya pula,ramai yang mengadu tidak punya ruang masa yang banyak untuk mengulang Al-Quran,malah untuk membaca Al-Quran pun tidak sempat.
Saya cuba mencari tips yang berguna dan praktikal bagaimana untuk mengulang semula Al-Quran yang pernah kita hafaz sebelum ini dengan mengambil kira realiti kehidupan kita sebagai isteri dan ibu yang saban hari dihambat oleh kesibukan kerja dan keluarga.
Tips Mengulang Al-Quran antaranya:
1- Mempatrikan keazaman yang tinggi untuk mengulang semula 30 Juz Al-Quran walau di mana sekalipun kita berada.
-Renungkan sejenak,kita pernah berada di Darul Quran-hampir separuh kehidupan harian kita berdamping dengan Al-Quran,pantang ada masa yang terluang kita akan membaca dan menghafaz serta mengulang Al-Quran.Al-Quran sentiasa ada di dalam genggaman dan pelukan walau ke mana sekalipun kita pergi- ke kelas Tasmi',ke bilik kuliah,ke masjid,ke dewan makan malah sewaktu minggu orientasi sekalipun barang amanah yang paling wajib dijaga oleh para peserta adalah Al-Quran.Mengapa suasana ini tidak kita teruskan apabila keluar dari Darul Quran?Jadikan Al-Quran itu sentiasa menjadi pendamping kita untuk dibaca di tempat kerja,di dewan kuliah mahupun dibaca di dalam kereta.
2-Meletakkan target dan sasaran untuk menamatkan semula Hafazan 30 Juz.(Menjadi Hafizah semula)
-Ramai Hafizah yang segan dan malu alah untuk mengaku dirinya adalah Hafizah kerana Al-Quran yang pernah dihafaz tidak diingati dengan baik atau biasanya disebut 'tidak masyi'.Saya sendiri mengalami situasi ini.Apabila ditanya," Kamu Hafizah?Hafaz semua Al-Quran?" Jawapan yang biasanya terluncur laju di lisan saya adalah: "Ya,saya pernah menghafaz tetapi perlu mengulang dan lancarkan semula."
Tetapi sampai bila kita perlu berada di takuk lama dan hanya menyerahkan pada keadaan tanpa mengubah hafazan kita menjadi lebih baik?Sebaiknya mulai hari ini dan saat ini,bersama-samalah kita menganjakkan paradigma dan menyusun strategi untuk memastikan suatu hari nanti Al-Quran 30 juz ini benar-benar terpahat di dalam hati dan ingatan kita.
TIPS 2-Meletakkan target dan sasaran untuk menamatkan semula Hafazan 30 Juz.
PERTAMA:Lakukan pembahagian surah dan Senaraikan terlebih dahulu:
1- Surah-surah yang langsung kita tidak ingat (bila disoal tidak nampak surahnya apa,ayatnya di mana)
2-Surah-surah yang 50 % kita masih ingat
3-Surah-surah yang masih kita lancar /masyi/ingat sungguh-sungguh.
KEDUA:Setelah melakukan pembahagian ini,tetapkan di dalam sebulan berapa surah yang mampu anda hafaz dan masyikan sungguh-sungguh.Lebih praktikal tetapkan di dalam sebulan paling kurang hanya satu surah yang mampu dihafaz dan dilancarkan (berdasarkan kepada realiti kesibukan diri).Jika sebulan 1 surah,12 bulan paling kurang anda sudah mampu menghafaz semula 12 surah ( InsyaAllah).
SEBAGAI CONTOH:
Setelah disenarai dan dibahagikan hafazan anda selama ini kepada 3 peringkat di atas,anda meyakini bahawa anda telah dapat mengingati Juz 30 (Juz Amma) dengan baik dan terdapat beberapa surah pilihan yang telah anda hafaz dan dapat mengingatinya dengan lancar.
Jadi,jumlah baki surah yang perlu anda tekuni hafazannya adalah sebanyak 75 Surah sahaja lagi.
Jumlah : 75 surah
1bulan : 1 surah
12 bulan ( 1tahun): 12 surah
Jadi anda hanya perlukan lebih kurang 7 tahun sahaja lagi untuk mengingati semula semua 30 juz Al-Quran!
Seandainya anda mampu menghafaz lebih banyak surah di dalam sebulan itu adalah lebih baik.Saya menyatakan contoh di atas setelah mengambil kira faktor kehidupan seorang Hafizah setelah bergelar isteri,ibu dan wanita bekerjaya yang realitinya sangat sibuk. Tetapi kesibukan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk seorang Hafizah melupakan Al-Quran.
Menjaga Al-Quran perlu kepada mujahadah yang tinggi.Lawan perasaan malas dan kuatkan hati untuk mengingati kalamullah.
TIPS 3 : Untuk mengelakkan diri cepat penat atau jemu dalam mengulang Al-Quran,gunakan teknik atau taktik tersendiri yang anda sukai untuk mengulang Al-Quran.
Maksud saya,tidak semestinya mengulang Al-Quran dari surah Al-Baqarah.Boleh juga memulakan target hafazan ini dengan menghafaz surah-surah lain yang anda teruja untuk menghafaz dan mendalami makna ayatnya.Teknik ini fleksibel.Apa yang penting anda memperoleh semangat untuk mendalami semula kalam Allah yang mulia ini.
SEBAGAI CONTOH: Untuk tahun pertama ini,anda teruja untuk menghafaz surah-surah dari Juz belakang( Juz 28,29).Senaraikan terus surah-surah ini untuk hafazan anda dalam masa setahun .
Januari: Surah Al-Mursalat
Februari:Surah Al-Qiyamah
Mac:Surah Al-Muzzammil
April:Surah Al-Jinn
Mei:Surah Nuh
Jun:Surah Al-Haqqah
Julai:Surah Al-Qalam
Ogos:Surah Al-Munafiqun
September:Surah Al-Jumu'ah
Oktober:Surah Al-Mumtahanah
November:Surah Al-Qamar
Disember:Surah Al-Fath.
1 Bulan : 1 Surah rasanya tidaklah membebankan bagi seorang isteri yang telah pernah menghafaz Al-Quran.Setelah tiap surah itu telah dihafaz,dengarkan semula melalui kaset atau CD di dalam kereta ketika pergi dan pulang dari tempat kerja,sambil memasak,menyusukan anak atau sedang beristirehat bersama keluarga.InsyaAllah kita akan lebih seronok untuk mengulang Al-Quran.
" Hakikatnya kita pernah menghafaz 30 Juz Al-Quran.Peliharalah Al-Quran selagi hayat dikandung badan..'
SukaTunjukkan lagi

No comments:

Post a Comment