7 Cara Bagaimana Ingin Dicintai Allah
Pernahkah kita merasa hidup ini sangat kosong? Maka jawapannya adalah carilah cinta Allah. Cinta akan Allah SWT adalah kecenderungan hati seseorang kepada Allah SWT yang membuatkan seseorang sanggup melakukan apa sahaja demi meraih kesukaan-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang beriman, lebih kuat cinta mereka kepada Allah.”al-Baqarah: 165
Allah SWT sentiasa membuka jendela cinta-Nya kepada sesiapa pun hamba yang ingin pulang ke pangkuan kasih-Nya tak kira masa dan tempat. Cinta-Nya lebih luas daripada samudera dan terbukti dalam setiap ciptaan-Nya. Seperti penciptaan molekul zarah dan galaksi yang sentiasa beredar dan menghasilkan keseimbangan dan begitu juga setiap sel dan darah yang bergerak tanpa disedari dalam badan kita.
Maha suci Allah, jadi untuk membalas cinta-Nya, terdapat tujuh jalan untuk dicintai dan mencintai Sang Kekasih Agung kita supaya menjadi hamba yang bersyukur:
1- Membaca Al-Quran dengan tadabbur dan memahami maknanya.
Al-Quran adalah kalam-kalam Allah yang menjadi mukjizat Rasulullah dalam menyampaikan dakwah. Mendalami setiap makna dan perintah Allah menjadikan kehidupan kita lebih terurus dan teratur seraya merapatkan hubungan kita kepada Ilahi.
Abdullah bin Mas’ud RA berkata:
“Siapa yang ingin mengetahui bahwa dia mencintai Allah dan Rasul-Nya, maka perhatikanlah jika dia mencintai Al Quran, maka sesungguhnya dia mencintai Allah dan rasul-Nya.”Atsar shahih diriwayatkan di dalam kitab Syu’ab Al Iman, karya Al-Baihaqi.
2- Mencintai Rasulullah SAW dan para-para kekasih Allah.
Sementara itu, orang yang mencintai Allah wajiblah mencintai pesuruh-Nya jua iaitu Rasulullah SAW.
Allah SWT berfirman:
“Katakanlah : ” Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”Ali ‘Imran 3: 31
Dengan cara menghayati dan mengamali sunnah baginda, hubungan cinta kita akan Allah bertambah kuat. Begitu juga dengan mengambil hikmah dan kisah daripada sahabat-sahabat Rasulullah SAW dan kekasih-kekasih Allah seperti Rabia’tul Al-Adawiyah, Syeikh Ibn Athai’llah, dan Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani.
3- Mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amalan sunat dan berzikir.
Menjalankan ibadah sunat menjadikan jiwa kita tenang dan menambahkan kecintaan kita pada Maha Pencipta. Contoh ibadah sunat adalah berzikir, bertahajud, solat dhuha, solat taubat, berpuasa, dan banyak lagi.
Daripada Abu Hurairah RA Nabi SAW bersabda: Allah Ta’ala berfirman:
“Aku adalah sepertimana sangkaan hambaKu terhadapKu dan Aku bersamanya ketika dia berzikir mengingatiKu. Maka jika dia mengingatiKu dalam dirinya, Daku akan mengingatinya dalam diriKu, dan jika dia mengingatiKu dalam jemaah manusia,Daku akan mengingatinya dalam jemaah yang lebih baik dari mereka; Dan jika dia mendekatiKu sejengkal, Daku akan mendekatinya sehasta; Dan jika dia mendekatiKu sehasta, Daku mendekatinya sedepa; Dan jika dia mendatangiKu sambil berjalan, Daku akan mendatanginya dengan berlari.
4- Melebihkan cinta kepada Allah di atas kecintaan kepada perkara yang lain.
Allah Ta’ala berfirman,
Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang disenangi dan diingini, yaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak, dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia. Namun di sisi Allah lah tempat kembali yang paling baik.Ali Imran 3:14
Rabia berpesan dalam ‘Bercinta Dengan Allah’ karangan Ibnu Qayyim :
“Ramai penghuni dunia yang berpaling daripada cinta Allah kerana cinta akan dunia. Seandainya dunia ini ditinggalkan nescaya rohani mereka akan terlihat di alam akhirat dan kembali kepada pemilikan dengan penuh berhikmah.”
5- Menghayati dengan hati nama-nama dan sifat-sifat Allah.
Hati sanubari dapat menjadi pengantara untuk mengenal cinta-Nya. Hati akan menjadi semakin rindu dan takut dengan menyelami keindahan nama-nama dan sifat-sifat Allah yang termaktub dalam Al-Quran dan hadis serta pendapat ulama’.
Serangkap syair dalam kitab tauhid Matan Jauharah berbunyi:
Bagi mengenal Allah perhatikanlah kejadian dirimu,Dan panjangkanlah pemerhatian kepada Alam di atas;seperti langit, matahari, bulan, bintang,Kemudian perhatikan Alam Rendah seperti;manusia, binatang, tumbuhan, bukit-bukau.
6- Bersahabat dan duduk dengan orang soleh di majlis ilmu.
Selalu berada di majlis-majlis ilmu seperti ceramah agama bersama sahabat-sahabat yang baik membuatkan kita sentiasa memperbaiki diri dan membuktikan kecintaan kita kepada Allah.
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang beriman! Apabila kamu diminta untuk memberi ruang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun, maka bangunlah, supaya Allah meningkatkan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama daripada kalangan kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”Al-Mujadalah, 58:11
7- Jauhkan diri dari perkara yang menjauhkan hati dari Allah.
Hati yang bersih sentiasa dekat dengan Allah. Namun maksiat yang boleh bermula dari pandangan mata dan perkara-perkara lalai yang merosakkan hati dapat menjauhkan hati kita dari Allah SWT.
Sahal bin Abdullah mengatakan :
“Aroma keyakinan tak akan pernah terhidu dari hati yang masih ada kecenderungan pada selain Allah. Cahaya Ilahi tidak mungkin masuk ke dalam hati yang dalamnya masih ada sesuatu yang dibenci oleh Allah.”
Begitu jua pesan Syeikh Ibn Athai’llah dalam Hikam:
“Manisnya hawa nafsu yang telah menguasai hati adalah penyakit yang sulit untuk disembuhkan.”
Kesimpulannya untuk mendapat redha Allah, kita perlu berusaha membuktikan kecintaan kita kepada Allah dari seluruh aspek, perasaan, lisan dan perbuatan. Cinta Allah SWT bukan cinta biasa kerana dengan mencintai-Nya, maka cinta kita kepada Rasulullah SAW, Ibu bapa, keluarga, saudara dan seumpamanya semakin utuh.
Ibnu Qayyim Al-Jauziyah berkata:
sumber : https://khalifahmedia.com/7-cara-bagaimana-ingin-dicintai-allah/“Seseorang tidak akan memiliki kebaikan, meraih kemenangan, merasakan kenikmatan dan kesenangan hakiki kecuali dengan mengesakan cintanya kepada Allah SWT semata, dan Allah lebih dicintainya daripada yang lain.”
Comments
Post a Comment