AKU MESTI ISTIQOMAH

CARA NAK ISTIQAMAH

"Ustaz, macamana nak istiqamah? Saya banyak kali tekad nak tinggalkan sesuatu maksiat, tapi, saya banyak kali terjatuh dalam dosa yang sama. Susah ustaz..."

JAWAPAN:

1) Bila sebut tentang isu istiqamah, hakikatnya ramai yang salah faham. Banyak kali orang tanya saya tentang bagaimana nak istiqamah. Adakah istiqamah bermakna bila kita taubat, kita dah tak buat dosa kembali? Jika kita buat dosa walaupun dah bertaubat, adakah kita di kira tidak istiqamah?

Sekiranya itu maksud istiqamah, nescaya ia suatu yang mustahil. Kerana, semua manusia imannya turun dan naik. Kita tak mungkin terlepas dari dosa. Semua orang tak pernah maksum melainkan nabi. Kita pasti akan melakukan dosa samada kecil atau besar, sengaja atau tak sengaja. Kerana kita manusia yang cukup lemah.

Lalu, apakah itu istiqamah dalam perubahan?

2) Saya nak ajak semua pembaca untuk fahami hadith riwayat Ahmad, yang mana nabi saw bersabda:

‎استقيموا ولن تحصوا
Bermaksud: “Istiqamahlah kamu walaupun kamu takkan mampu…”

Aik. Pelik bukan? Nabi suruh kita istiqamah, tapi nabi kata kita takkan mampu. Lalu, bagaimana nak istiqamah dalam keadaan kita ni takkan mampu?

Di sini lah, ulama’ mentafsirkan hadith ini dengan sepotong ayat Alquran dalam surah Fussilat ayat ke-6:

‎فَاسْتَقِيمُوا إِلَيْهِ وَاسْتَغْفِرُوهُ
Bermaksud: “Maka hendaklah kamu beristiqamah di atas jalan yang lurus, serta pohonloh ampun kepadaNya..”

Dua kata kunci dari ayat ini ialah:

ISTIQAMAH dan MEMINTA AMPUN.

Bermakna, Allah dan rasul tahu, bahawa, kita tak mampu istiqamah dalam semua perkara. Sebagai manusia, kita takkan terlepas dari dosa dan noda.
Maka, hakikat ISTIQAMAH yang di maksudkan ialah ISTIQAMAH DALAM BERTAUBAT.

Saya ulang:

“Istiqamah yang perlu kita lakukan ialah, istiqamah dalam bertaubat!”

3) Walaupun kita dah taubat, lalu kita ulang kembali dosa, maka taubatlah kembali. Andai kita jatuh lagi ke dalam lembah maksiat, bangkit dan bertaubatlah kembali. Andai sekali lagi kita tergelincir ke dalam dosa, bangun dan bertaubatlah kembali!

Seperti mana kita kerap melakukan dosa, maka, sekerap itu jugalah kita perlu bertaubat!

Jangan sesekali putus-asa dalam bertaubat. Pengampunan Allah itu maha luas. Kasih sayang Allah itu maha dahsyat!

Lalu, apa lagi alasan untuk kita tidak terus bangkit melakukan perubahan?

Bangkit dan bertaubatlah!

Moga-moga kita di kurniakan syurga Allah atas usaha dan pengorbanan kita kembali padaNya!

4) Jangan menangguhkan taubat. Kerana, antara tanda fasiq(orang yang kerap melakukan dosa) ialah dia menangguh taubat.

Apakah kesan bila kita melambat-lambatkan taubat?

Ada banyak. Antaranya, kita akan mula ketagih dengan dosa, hilang rasa malu bila buat dosa, hilang rasa bersalah bila buat dosa, hati kita akan mula mati, tak rasa apa-apa bila melihat dosa, rasa normal dan selesa dengan dosa, bahkan, sampai satu tahap, kita akan pertahankan dosa, lalu memperjuangkan dosa serta menganggap dosa itulah kebenaran.

Nauzubillah.

5) Ciri-ciri orang beriman ialah dia tidak putus-asa dengan rahmat Allah, dan kerap melakukan taubat.

Jadi, jom buktikan istiqamah kita dengan bertaubat pada Allah, walau banyak mana pun kita terjatuh, terus bangkit dan jangan berputus-asa dari rahmat Allah! Semoga kita diberi kekuatan untuk istiqamah bertaubat kepada Allah swt. Amin.

(Dipetik daripada facebook Bahagian Dakwah, Jakim)

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam