1



Bukti Tuan Guru Dato` Nik Aziz Suka Membaca


(Satu Anekdot)

Tokoh seperti YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat Mursyidul Am Pas, merangkap Menteri Besar Kelantan yang banyak mengarang kitab dan buku seperti dibicarakan dalam Forum Politik Dan Dakwah (Jumaat 01 Muharram 1431), banyak menyampaikan kuliah, pengajaran dan tazkirah serta banyak menyampaikan ceramah dan berucap di dalam persidangan sudah tentulah banyak membaca, bermutalaah, membuat rujukan dan kajian.

Tetapi TG yang begitu sebok dengan pentadbiran, pengajaran, penulisan dan penyertaan di dalam berbagai kegiatan, bilakah masa TG membaca, bermutalaah, membuat kajian dan penyelidikan ?

Ada beberapa maklumat berhubung dengan kegiatan TG dengan pembacaan. Maklumat antaranya didapati dari Sdr. Annual Bakri Setiausaha Politiknya yang di dalam Forum mengatakan, "TG tidak menggunakan dompet duit." Menurutnya lagi,
"TG pada kebiasaannya membawa duit di dalam sampul surat di dalam poket bajunya."Bila ditanya mengapa dibawa di dalam sampul surat ?"
"Kerana kebiasaan orang menderma dengan meletakkan wang di dalam sampul surat, mudah disampaikan kepada yang diderma. Begitu juga orang menyampaikan sumbangan menghadiri jemputan perkahwinan, memberi wang melalui sampul surat." kata Annual.
"Ini bermakna TG seorang yang suka menderma dan sentiasa bersedia kewangan di dalam sampul surat !"
Beliau menambah TG tidak terikat dengan kawalan protokol, contoh apabila melihat jualan buku yang menarik minatnya.". Satu hari semasa menghadiri Majlis Ceramah di Markas Tarbiyyah di Melewar, semasa beliau diiring ke Markas, TG melihat jualan buku dan tajuk menarik minatnya, menurut Annual, TG berhenti dan ke tempat jualan buku memilih dan membelek buku yang agak tebal dan berkenan membelinya. TG bertanya kepada penjual buku berkenaan harganya. Beliau mengunjuk sampul surat kepada Annual untuk dibilang duit di dalam sampul. Oleh kerana buku tebal dan agak mahal harganya. Duit di dalam sampul sedikit berkurangan. Menurut Annual, sedang ia menyeluk poket untuk menambah wang mencukupi harga buku, tetapi penjual buku berkata,
"Tak payah tambah, cukup dengan duit beserta sampul TG." tambah penjual,
"TG beli dari kedai saya adalah satu rahmat dan berkat !"

Menurut seorang peserta Forum Pemikiran Politik dan Dakwah TG,
"Saya pernah melawat rumah TG di Pulau Melaka, Kota Baru, Kelantan, TG menyambut kami sendiri dan TG juga yang mengangkat air minuman kepada kami sebagai tamunya. Di ruang tamu rumah yang amat sederhana itu berselerak dengan buku-buku dan lembaran kitab-kitab. Saya bertanya TG,"Mengapa buku-buku dan lembaran kitab berselerak ?", 
TG menjawab,"Ambo tak ada masa untuk bersimpan (menyusun) !"

Pada satu petang TG tiba di Bangi, kerana memenuhi jemputan untuk menyampaikan ceramah di Pejabat ADUN Bangi. Tuan Guru sampai dengan keluarganya sebelum Maghrib dan dibawa mereka berehat di rumah ADUN yang berdekatan dengan pejabat terlebih dahulu. Selepas sembahyang maghrib berjamaah dan makan malam dan sementara menantikan masa untuk berceramah TG memilih-milih buku dari perpustakaan ADUN. TG kelihatan duduk di atas kerusi di sudut perpustakaan dan asyik membaca sebuah buku yang berjudul "Al-Falsafah al-Insaniyyah" yang ADUN beli di Makkah bila menunaikan Haji 1985. Bila sampai masa TG dijemput ke Pejabat ADUN untuk berceramah, beliau masih membaca buku berkenaan, seolah-olah berusaha untuk menghabiskannya, tetapi tidak mungkin habis, kerana buku berkenaan agak tebal. Melihat minat dan keasyikan TG begitu tinggi terhadap buku berkenaan, ADUN menghadiahkan buku itu kepada TG. Kata TG,
"Buku ini baik kandungannya, ambo suka."

Demikian beberapa maklumat yang menunjukkan betapa tingginya minat TG kepada buku/kitab dan pembacaan.

Terima kasih.

ditulis oleh Dr Shafie Abu Bakar


Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam