ILMU DAN AMAL WAJIB SEIRING SEJALAN
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia daripada segumpal darah; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
(surah al-‘Alaq:ayat 1-5)
Menjadi suatu hikmah yang besar apabila Allah SWT menurunkan ayat yang pertama daripada al-Quran yang mengatakan perihal ilmu. Ilmu dalam konteks aqidah seseorang itu mestilah memahami dan berfikir ke arah menyuburkan iman seterusnya membuahkan amal di mana ilmu dan amal itu haruslah bergerak seiring. Pengaplikasian sesuatu amal melalui proses pembelajaran sebelumnya boleh mendidik seorang individu ke arah pembaikan dan pembentukan diri. Terutamanya individu Muslim yang mengamalkan prinsip-prinsip kesyumulan Islam secara menyeluruh. Ia boleh juga diumpamakan ibarat sebutir permata yang menjadi sinar ke arah mencapai daulah Islamiyah yang merupakan matlamat umat Islam dalam meneruskan perjuangan risalah Nabi SAW menegakkan kebenaran.
Imam Hassan al-Banna ada berkata, ”Wajib ke atas setiap Muslim memulakan dengan memperbaiki dirinya, kesempurnaan itu dapat dilihat apabila ia telah dapat memiliki beberapa perkara yang meletakkan ia di peringkat tertentu yang menjadikan ia mampu untuk memikul tanggungjawab amal Islami”. Tiga komponen manusia yang saling berkait rapat dalam membentuk keperibadian individu Muslim yang syumul iaitu akal, jasad dan ruh di mana kesemua elemen ini dapat kita aplikasikan melalui 10 muwasafat tarbiyah.
Yang pertama, akidah yang sejahtera. Telah menjadi fitrah seorang manusia untuk menjadi hamba kepada Allah SWT dan bermatlamatkan kepada-Nya. Sebagai seorang Muslim, kita mestilah membina kekuatan akidah yang membina sahsiah dengan sifat-sifat Islam seperti sentiasa bermuraqabah kepada Allah SWT dan mengingati akhirat. Seperti firman Allah SWT, “Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang).” (Surah al-Hadid:20)
Yang kedua, ibadah yang sahih. Kita hendaklah menjaga hubungan dengan Allah SWT di samping hubungan dengan manusia. Sentiasa memperbanyakkan amalan dan bersederhana dalam setiap urusan kehidupan kerana Nabi SAW juga mengajar kita supaya bersifat dengan sifat qanaah iaitu sentiasa merasa cukup.
Yang ketiga, akhlak yang mantap. Contoh akhlak dan keperibadian yang boleh kita contohi tidak lain tidak bukan daripada akhlak Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud, ”Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik”. Nabi SAW terkenal dengan sifat siddiqnya iaitu berkata benar dalam setiap kata-kata dan perbuatannya sehingga Baginda SAW digelar sebagai ’al-Amin’. Baginda SAW sentiasa berlumba dalam membuat kebajikan hatta sekecil-kecil perkara seperti memberi salam kepada para sahabat, Baginda SAW sentiasa menjadi orang yang pertama memberikannya.
Yang keempat, berpengetahuan luas. Sebagai individu Muslim kita tidak terlepas daripada tanggungjawab sebagai seorang daie’ iaitu pendakwah. Maka, adalah menjadi satu aspek yang penting untuk kita menguasai pelbagai bidang ilmu bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah SAW serta ulama’ yang thiqah. Pengetahuan tentang berita dunia Islam dan isu semasa merupakan salah satu bentuk kecaknaan kita kepada umat sejagat. Dari Abu Hurairah R.A, dari Rasulullah SAW bersabda, ”Siapa yang membantu menyelesaikan kesulitan seorang mukmin daripada sebuah kesulitan di antara berbagai kesulitan dunia, nescaya Allah SWT akan memudahkan salah satu kesulitan di antara berbagai kesulitan pada hari kiamat”.
Yang kelima, mampu melawan nafsu. Musuh utama diri ialah nafsu dan individu yang kuat adalah yang mampu memelihara diri daripada maksiat dan kelalaian.
Yang keenam, tersusun dalam urusan. Kita perlu bijak meletakkan keutamaan agar dapat melaksanakan kerja dengan sebaik mungkin. Jadilah individu yang berdisiplin dalam mengurus jadual harian. Sahabat Nabi SAW selalu berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.
Yang ketujuh, kuat tubuh badan. Kehidupan yang sihat adalah melalui gaya hidup yang sihat iaitu diet yang seimbang, bersukan, melakukan pemeriksaan kesihatan berkala, tidur yang optimum dan menjaga kebersihan. Sabda Rasulullah SAW,”Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah SWT daripada mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan.”
Yang kelapan, mampu berusaha iaitu tidak mengharapkan orang lain dan bersikap ihsan dalam bekerja. Ihsan adalah ketepatan atau kesempurnaan. Dari sudut syara’ ia bermaksud melakukan sesuatu ibadat dengan baik dan tepat sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT. Dalam hadis Nabi SAW ada menyebut ihsan ibarat kamu beribadat kepada Allah SWT seolah-olah kamu melihatnya, walaupun kamu tidak melihatnya, akan tetapi Allah SWT melihat kamu.
Yang kesembilan, bermanfaat untuk orang lain. Daie’ umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh orang lain. Sebagai Muslim yang ingin menegakkan kalimah lailahaillallah, kita perlu bersedia untuk mewakafkan diri ke jalan Islam dalam memenuhi hak orang lain, melakukan kebajikan dan membantu mereka yang memerlukan. Ingatlah kepada janji Allah SWT dalam firman-Nya, “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, disebabkan mereka berjuang dijalan Allah SWT.” (Surah at-Taubah:111)
Yang terakhir, menjaga waktu. Tahukah kita dengan menjaga kualiti solat, maka waktu kita juga akan terjaga seperti solat di awal waktu dan solat secara berjemaah yang merupakan asbab kepada keberkatan waktu di samping kita memohon doa kepada Allah SWT agar diberkati waktu dengan perkara yang bermanfaat.
Kesimpulannya, seseorang yang berjalan itu mestilah mengenali jalan dan tempat yang dituju dan mempunyai kenderaan yang menyampaikannya ke tempat yang dituju. Teruskan mendalami thaqafah dan mengaplikasi mutabaah amal untuk mencapai maratib amal tertinggi melalui pembentukan muwasafat tarbiyah dalam individu Muslim yang Rabbani. Sabda Rasulullah SAW, “ Bencana kepada agama itu tiga perkara, orang alim yang jahat, pemimpin yang zalim dan mujtahid yang jahil.” (Hadis Riwayat al-Dailami)
Fastabiqul khairot.
NUR SYAMIMI BT YACOB
Comments
Post a Comment