TINGGALKAN 2019,HADAPI 2020 DENGAN OPTIMISME


Hari ini hari terakhir kita berada pada tahun 2019. Kita bukan sahaja akan meninggalkan tahun 2019, tetapi memasuki ambang dekad ketiga kurun ke-21. Selepas hari ini kita akan memasuki tahun 2020 dan juga berada pada tahun terakhir dekad kedua kurun ke-21. Kita telah meninggalkan 365 hari yang penuh warna-warni dan bersejarah.

Setahun yang sudah pun berlalu itu seharusnya telah menjadikan kita lebih matang, arif dan bijaksana. Maksudnya, 2019 yang berakhir pada tengah malam ini pasti memberi bekas dan kesan mendalam terhadap diri kita sebagai hamba-Nya di muka bumi ini.

Kita sepatutnya mengambil iktibar atau hikmah daripada setiap kejadian yang berlaku pada 2019. Masa silam tidak dapat diubah kerana ia sudah pun berlalu, tetapi ia pasti dapat dijadikan pengajaran. Masa silam ialah sejarah dan sejarah ialah guru terbaik yang dapat dijadikan cermin untuk mengintrospeksi diri sebagai langkah untuk menjadi insan yang lebih baik.

Kita memang tidak sempurna tetapi itu bukan alasan untuk kita tidak berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa-apa yang kita lakukan baik sebagai hamba-Nya mahupun sebagai pelajar, penjawat awam, ibu bapa atau pemimpin. Kita perlu belajar daripada kesalahan diri sendiri dan kesalahan orang lain agar kita tidak mengulangi kesilapan yang sudah kita lakukan, secara sengaja atau tidak sengaja pada 2019 ini.

Seyogia diingat, ada ketikanya mereka yang memiliki masa silam yang buruk akan menjadi paling baik pada masa depan. Dunia tidak berakhir dengan berakhirnya 2019. Sebaliknya, dunia menjanjikan kepada kita masa depan yang cerah, bergantung kepada sikap dan haluan yang kita ambil.

Jangan biarkan kesilapan dan kelemahan masa lalu menyebabkan kita sering diselubungi kekesalan berpanjangan dan kemurungan tiada berkesudahan sehingga kita hilang semangat untuk mara ke masa depan.

Jangan menjadikan masa lalu menyebabkan kita hilang arah dan tujuan kerana masa depan lebih penting daripada masa lalu. Kita perlu melangkah ke hadapan dengan lebih yakin dengan mengambil kekuatan dan kearifan daripada masa lalu.

Masa depan dan tahun 2020 lebih penting daripada tahun 2019 yang meninggalkan kita. Jadi, hadapilah tahun 2020 dengan tabah, berani, penuh azam dan komitmen untuk menjadi lebih beriman, kreatif, produktif dan lebih baik demi kesejahteraan diri, masyarakat, negara dan dunia.

Selamat tinggal 2019, selamat datang 2020. Didoakan agar tahun baharu membawa segala kenikmatan, kemakmuran dan kejayaan kepada kita semua.

sumber : https://sarawakvoice.com/

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam