IQRA' MEMBANGUNKAN POTENSI DIRI MELALUI AMALAN DAN DISIPLIN MEMBACA

Tidak ramai di kalangan kita yang benar-benar menyedari dan memahami kepentingan membaca di dalam kehidupan. Membaca merupakan satu proses, kemahiran dan kaedah di dalam kita mendapatkan maklumat dan ilmu. Dengan maklumat dan ilmu yang diperolehi maka cara kita berfikir, membuat keputusan , bertindak dan mengenalpasti peluang akan menjadi bertambah baik. Di samping itu, kebolehan untuk membaca membolehkan seseorang untuk terus berada di dalam proses pembelajaran sepanjang hayat dan akan membuka lebih banyak peluang dan potensi untuk kita berjaya di dalam kehidupan.

Hadis daripada Aisyah r.a jelas nemceritakan peristiwa turunnya wahyu pertama di Gua Hira’. Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bertafakur di gua tersebut dan hanya pulang apabila bekalan gandum dan airnya kehabisan.Baginda sering ke Gua Hira’ bagi mengasingkan diri daripada kaum Quraisy yang masih hidup dalam kegelapan jahiliah. Saban hari mereka lalai dari mengingati Allah dan masih amalkan perjudian, berzina, menyembah berhala dan membunuh anak perempuan. Di gua yang kelam dan terpencil ini, Rasulullah dapat mencapai ketenangan dan memberi ruang untuknya berfikir tentang keadaan masyarakat yang hidup tanpa pedoman. Baginda bermunajat dan berzikir mengikut ajaran Nabi Ibrahim a.s. 

Pada 17 Ramadan tahun 610 Masihi, Allah mengutus malaikat Jibril a.s untuk menyampaikan wahyu pertama kepada Nabi Muhammad di gua terpencil tersebut. Malaikat Jibril berkata kepada Rasulullah “Iqra”(bacalah). Rasulullah kemudian menjawab “Aku tidak tahu membaca”. Jibril kemudian memeluk nabi dengan sangat erat sehingga baginda terasa lemas. Dipeluknya Rasulullah sebanyak 3 kali dan mengajar baginda membaca kalam Allah tersebut sehingga fasih. Maka tersampailah potongan Al-Quran yang pertama iaitu Surah Al-Alaq ayat 1 hingga 5.

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam, Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah Al-‘Alaq, Ayat: 1-5). Sebagai hambaNya yang bertaqwa, kita harus menggali hikmah di sebalik potongan surah pertama yang diturunkan ke bumi ini. Mengapa ayat ini dipilih oleh Allah untuk menjadi ayat awal kepada pengenalan Islam untuk masyarakat? Sedangkan banyak lagi ayat-ayat Al-Quran lain yang mengajak umatnya ke jalan yang diredhai Allah seperti menunaikan solat (Surah Hud, ayat 114), bersedekah jariah (Surah Al-Baqarah, ayat 254), serta berbuat baik dan mencegah kemungkaran (Surah Al- Qasas, ayat 17).

 Dan seperkara lagi, Allah memilih untuk Rasulullah menyampaikan kepada manusia akan tuntutan membaca dan tuntutan ilmu padahal baginda sendiri tidak tahu menulis dan membaca ketika itu. Jika Allah mahukan, Rasulullah boleh menyalurkan dakwah di Kota Mekah berdasarkan sifat-sifat terpuji yang ada padanya.Namun, Allah telah menetapkan bahawa pelajaran adalah lebih berkesan bagi membina peradaban manusia dan sekaligus membangunkan umat. Allah juga menurunkan ayat ini sebagai motivasi buat menimba ilmu. Sedangkan Rasulullah juga perlu berusaha berulang kali untuk membaca wahyu tersebut apabila diminta oleh Jibril sehingga lancar. Pada lima ayat pertama ini juga Allah mengulangi perkataan ilmu sebanyak 3 kali dan juga menyentuh tentang penggunaan pena iaitu penulisan yang menjadi medium berguna dalam penyampaian ilmu. Hal ini menunjukkan betapa Allah menekankan tuntutan ilmu buat penganutNya. Ilmu pengetahuan mampu menjadi cahaya penyuluh untuk membimbing manusia keluar dari kehinaan jahiliah ke arah kehidupan yang lebih bertamadun. Pembelajaran tentang perkara yang diredhai Allah pasti melahirkan ummah yang tawadhuk serta ditaburi dengan sifat mahmudah. 

Menuntut ilmu yang bermanfaat juga merupakan ibadah yang dipandang mulia oleh Allah dan dianggap sebagai jihad. Firman Allah Ta’ala dari surah Furqan, ayat 51 dan 52 yang bermaksud “Dan andaikata Kami menghendaki benar-benarlah Kami utus pada tiap-tiap negeri seorang yang memberi peringatan (rasul), Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al-Quran dengan jihad yang besar”. Ibnul Qayyum menjelaskan bahawa di dalam ayat ini mengandungi perintah dari Allah untuk berjihad menentang orang kafir melalui hujah dan berpandukan Al-Quran. Ketika itu, umat Islam perlu fahami isi makna Al-Quran sedalamnya supaya dapat berbahas secara hikmah dengan orang kafir bagi mempertahankan Islam. Jihad melalui ilmu inilah yang membezakan umat Nabi Muhammad dengan umat terdahulu. 

Selain mengenai kepentingan ilmu, surah ini juga menjelaskan tentang beberapa sifat ketuhanan Allah yang tidak dimiliki oleh berhala-berhala yang menjadi sembahan masyarakat jahiliah ketika itu. Tujuannya adalah bagi membezakan pengaruh orang kafir yang batil daripada ajaran Islam yang benar. 

Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang mukmin untuk mengambil iktibar daripada peristiwa penyampaian wahyu pertama serta makna tersirat di sebaliknya. Niatkanlah setiap tuntutan ilmu dunia dan akhirat kita sebagai jihad ke jalan yang diredhai Allah. Setiap susah payah dan pengorbanan kita dalam menimba ilmu bukanlah sia-sia dan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah. Gunalah ilmu sebaiknya supaya dapat berbakti semula kepada agama dan masyarakat

"Sesiapa yang ketika membeli buku, tidak berasa lebih nikmat daripada saat membelanjakan hartanya bagi membeli benda lain, atau tidak melebihi cita-cita para hartawan dalam membina bangunan, sesungguhnya dia belum mencinta ilmu. Perbelanjaannya tidak akan bermanfaat, sehingga dia lebih mengutamakan membeli buku. Sepertimana seorang Arab Badwi yang lebih mengutamakan susu untuk kudanya berbanding keluarganya. Hingga ia berharap memperoleh ilmu seperti halnya orang Arab tadi mengharapkan kudanya." (Al-Jahiz, ulama dan pakar ilmu zoologi pertama dalam Islam)

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam