POKOK BUNGA GANDASULI DITAKUTI MAKHLUK HALUS
Gandasuli
Nama Botani: Hedychium coronarium
Famili: Zingiberaceae
Nama Lain: White Ginger atau Butterfly Lily
Masyarakat desa zaman dulu gunakan ramuannya untuk menepung tawar, mandi bunga
POKOK gandasuli mungkin terlalu asing bagi generasi sekarang. Bagi masyarakat desa zaman dulu, gandasuli ditanam di sekitar rumah kerana baunya yang wangi. Bunga dan daunnya yang berbau wangi digunakan sebagai ramuan mandi bunga atau daun.
Gandasuli adalah satu daripada tujuh jenis pokok yang digunakan dalam upacara menepung tawar termasuk upacara menghalau gangguan makhluk halus.
Pokok gandasuli berasal dari India ini diperkenalkan oleh orang Hindu ke Jawa seterusnya ke Malaysia. Pokoknya adalah herba berumpun mempunyai rizom seakan-akan halia, berwarna kelabu asap. Dari rizom ini tumbuh batang semu setinggi antara 30 hingga 90 sentimeter (sm). Daunnya yang berbentuk oblong-lanseolat lebar, kira-kira 30 hingga 40 sm panjang, 8 hingga 10 sm lebar, tumbuh secara distik dengan petiolnya yang pendek di kiri kanan batang ini. Infloresennya spika terminal, berbentuk elipsoid kira-kira 10 sm panjang, dengan brakteanya berbentuk ovat, berwarna hijau dan tiap-tiap satu melindungi 2 hingga 3 kuntum bunga yang berwarna putih dan berbau sangat wangi apabila kembang.
Spesies lain ialah gandasuli kuning (Hedychium flavescens) yang mempunyai bunga bertompok kuning, bau lebih wangi dengan diriannya lebih tegap berbanding gandasuli.
Pembiakan gandasuli adalah dengan cara belahan rumpun berserta dengan rizomnya. Rizom yang cukup tua boleh disemai dan selepas bercambah dengan tunasnya yang cukup subur dipindahkan ke batas. Keratan rizom juga boleh ditanam terus ke batas.
Gandasuli mudah hidup, tetapi memerlukan tanah subur. Sebaiknya disediakan batas mengandungi baja organik atau kompos secukupnya. Permulaan hidupnya memerlukan sedikit pelindung cahaya matahari. Selepas berbunga herba ini akan pupus dan sulinya yang baru akan tumbuh seterusnya berbunga. Sebaiknya, selepas beberapa kali berbunga dan pupus, rizomnya hendaklah digali dan ditanam semula di batas yang lain.
Pokok gandasuli boleh juga ditanam di dalam pasu dengan tanah campuran tanah bakar lima bahagian, najis haiwan yang cukup reput tiga bahagian dan dua bahagian pasir sungai. Ketika berbunga lebat, bawa ia ke dalam rumah. Seluruh rumah akan semerbak wangi.
Herba ini tidak memerlukan penjagaan yang rapi kecuali mengekalkan kesuburan tanah dengan memberi sukupan daun-daun reput. Adakalanya herba ini rebah dan harus diberi sokongan. Selepas berbunga batangnya perlu dibuang.
Pembajaan dengan baja sebatian kompleks seperti 12:12:17:2 + T.E. atau 15:15:15 hendaklah dilarut terlebih dulu di dalam air sebelum disiram ke pangkal rumpunnya.
Comments
Post a Comment