Pengurusan Masa Orang yg Beriman
Pengurusan masa yang terbaik bagi mereka yang beriman adalah dengan membahagikan masa kepada empat iaitu :
1) Masa untuk Allah dengan bermunajat (berzikir) kpd-Nya.
2) Masa untuk diri dengan bermuhasabah tentang keadaan diri sendiri.
3) Masa untuk makhluq-Nya dengan berfikir tentang kejadian & citaan Allah.
4) Masa untuk kehidupan dengan menumpukan kepada keperluan diri, seperti mencari rezeki yang halal & belajar secara berterusan.
Huraiannya seperti berikut :
#1: Masa untuk Allah dengan bermunajat (berzikir) kpd-Nya.
Kita perlu memperuntukkan masa kita untuk beribadah, solat, membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan bermunajat. Seorang mukmin yang sentiasa dalam hidupnya berdoa dan berzikir kepada Allah S.W.T. kekuatan dalamannya amat luar biasa dan akan mencapai kecemerlangan dalam hidupnya berbanding mereka yang dalam hidupnya tidak mahu berdoa dan berzikir dan hanya bergantung pada akal fikirannya semata-mata untuk mencapai sesuatu perkara.
Perancangan macamana hebat sekalipun apabila ianya dibuat tanpa memohon pertolongan Allah S.W.T. maka ianya tidak akan berjaya dan kalau berjaya sekalipun ianya tidak akan berkat dan akhirnya akan menemui jalan buntu dan kegagalan.
Segala kekuatan lahir, pengalaman, kemahiran dan kekuatan batin daripada tenaga dalaman akan dipadukan untuk mencapai apa-apa yang dihajatkan. Apabila diketengahkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian doa dan zikir mampu menjadi senjata yang ampuh.
Nabi S.A.W. berwasiat kepada Muaz bin Jabal r.a agar dapat mengamalkan do'a ini setiap lepas solat :
"Allahumma inni ala zikrika wasyukrika wahusni ibadatik"
(Ya Allah, tolonglah aku agar dapat berzikir kepada-Mu (mengingati Allah), bersyukur kepada-Mu, dan memperelokkan ibadah kepada-Mu.) - (Hadis Riwayat Abu Daud).
#2: Masa untuk diri dengan bermuhasabah tentang keadaan diri sendiri.
Ingatlah ketika Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Hasyr ayat 18)
Ayat di atas mengingatkan agar selalu muhasabah diri. Jangan biarkan masa kita walaupun sedikit berlalu begitu sahaja. Gunakanlah masa itu untuk menghitung diri, hingga kita ketahui amalan mana yang harus dipelihara atau diperelokkan dan amal mana yang harus ditinggalkan. Dengan demikian, kita dapat meneruskan langkah-langkah sebagai seorang mukmin dengan lebih mantap untuk hari esok yang pastinya lebih mencabar akal, jiwa dan syaksiah kita.
Pesanan Saydina Umar al-Khattab r.a :
"Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab (Allah) dan timbanglah dirimu sebelum ditimbang (Allah) serta bersiap-siaplah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar (hari kiamat)".
#3: Masa untuk makhluq-Nya dengan berfikir tentang kejadian & citaan Allah.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (kebesaran Allah) kepada kaum yang mahu bertakwa."
(Surah Yunus ayat 6)
"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberimu pendengaran, penglihatan, dan hati, supaya kamu bersyukur"
(Surah An-Nahl ayat 78).
"Dan Dialah (Allah) yang menundukkan lautan (untukmu) agar kamu dapat memakan daging (ikan) yang segar darinya, dan kamu mengeluarkan dan lautan itu perhiasan yang kamu pakai, dan kamu melihat bahtera berlayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan) dan karunia-Nya, dan supaya kamu bersyukur"
(Surah An-Nahl ayat14) .
"Bagaimana kamu mengkufuri (tidak mensyukuri nikmat) Allah, padahal tadinya kamu tiada, lalu kamu dihidupkan, kemudian kamu dimatikan, lalu dihidupkan kembali."
(Surah A1Baqarah ayat 28)
Berdasarkan ayat-ayat diatas jelaslah bahawa kita diminta oleh Allah S.W.T. untuk memerhatikan segala penciptaan-Nya yang Maha Sempurna samaada dilangit atau dibumi kerana dengan memikirkannya dengan hati yang tenang dan damai maka kita akan merasai keagungan dan kekuasaan Allah S.W.T.
Kita digalakkan pergi ketepi pantai, ke tempat air terjun dan dan hutan untuk memerhatikan bagaimana indah dan seimbangnya ciptaan-Nya. Dari sinilah melahirkan jiwa hamba dan merasai bahawa diri ini terlalu kerdil dan tidak sepatutnya kita menderhakai Allah S.W.T.
#4: Masa untuk kehidupan dengan menumpukan kepada keperluan diri, seperti mencari rezeki yang halal & belajar secara berterusan.
Kita perlu kepada bekerja atau menjalankan perniagaan untuk mendapatkan rezeki Allah S.W.T. yang halal. Orang mukmin tidak boleh berpeluk tubuh sahaja tanpa berusaha dan berikhtiar untuk mencari rezeki Allah S.W.T.
Pada suatu hari selepas solat Jumaat, Khalifah Umar Khattab bertanya kepada sekumpulan jemaah yang bersantai pada satu sudut masjid: "Mengapa kamu masih berada di sini?
Mereka menjawab: "Kami adalah orang yang bertawakal kepada Allah."
Mendengar jawapan itu, Umar mengusir mereka keluar dari masjid, sambil berkata:
"Jangan kamu berhenti daripada bekerja untuk mencari rezeki, sedangkan Dia mengetahui langit belum pernah menurunkan hujan emas atau hujan perak."
"Jangan kamu berhenti daripada bekerja untuk mencari rezeki, sedangkan Dia mengetahui langit belum pernah menurunkan hujan emas atau hujan perak."
Allah berfirman yang bermaksud: "Apabila kamu selesai mengerjakan solat, bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah, dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung."
(Surah AI Jumu'ah ayat 10).
Bertebaranlah di muka bumi bermakna bergerak mencari rezeki halal, manakala mencari kurnia Allah bermakna bekerja, berniaga dan berusaha.Orang beriman dituntut bekerja untuk urusan dunia dengan bersungguh-sungguh, berjuang sekuat tenaga untuk membangunkan ummah, meneroka dan memakmurkan kehidupan dunia - dengan niat bukan semata-mata untuk kepentingan kehidupan di dunia tetapi juga untuk memenuhi tututan di akhirat.
Orang beriman adalah orang yang menggunakan kehidupan dunia yang bersifat sementara untuk mendapatkan kebahagiaannya yang abadi di hari akhirat. Dunia adalah ladang tempat bercucuk tanam untuk kehidupan akhirat. Dunia adalah tempat berhijrah untuk bekerja, beramal dan berusaha sebagai saham kebahagiaan hidup di akhirat.
Orang beriman sepatutnya dapat menguasai semua bidang ilmu dan kehidupan dan menggunakannya untuk kepentingan dirinya sama ada di dunia atau di akhirat. Orang beriman sepatutnya dapat menjadi pemilik, penguasa dan pentadbir kehidupan di dunia bukan pekerja sahaja kepada orang kafir.
Comments
Post a Comment