DI MANA AL-QURAN DALAM DIRI KITA ???

DI MANA AL-QURAN DI DALAM DIRI KITA?

“Tengok anak si fulan, hebat sungguh, al-Quran di dada. Memang sejak dulu dia cakap nak pastikan anak dia jadi penghafal al-Quran 30 Juzuk sekarang sudah termakbul hajatnya, Alhamdulillah.” Petang itu saya masih ingat ketika emak menceritakan tentang anak seorang penghuni kampung yang baru habis pengajian tahfiz. Emak menyambung lagi, “Malam ini terawih dia jadi imam, ayah dia dah beritahu satu kampung.” Saya cuma membalas senyuman, dalam hati saya agak terasa. Gaya emak bercerita seolah menyesal dengan saya yang bukan penghafal al-Quran 30 juzuk. Cepat-cepat saya hilangkan prasangka. Saya tidak membalas apa-apa.

Malamnya penuh hening. Ketika “imam muda” itu mengimami solat, semua orang sudah berbisik-bisik bertanya siapa gerangan yang membaca bukan surah lazim ketika menjadi imam itu. Mulalah terdengar desas-desus dari belakang tirai, mestinya kaum wanita. Ketika terawih bermula, selepas solat Isyak, imam membacakan bermula dari surah al-Baqarah. Saya sendiri sudah terasa lenguh selepas enam rakaat. Orang-orang tua semua mengeluh panjang. Saya melihat imam yang berbalut serban bermata celak. Imam hanya tidak habis merenung sejadah dan terkumat-kamit mulutnya seperti mengulang-ulang hafalan, lantas bangun dan meneruskan solat.

Malam itu, terawih 20 terasa panjang dan ramai orang-orang tua yang menghela nafas letih. Ada yang keluar, duduk di luar. Kanak-kanak sudah tentulah lesap entah ke mana. Orang-orang tua hanya menjegil mata, melihat kanan dan kiri kemudian keluar masuk. Sekali solat sudah mengambil masa hampir 15 minit. Saya sendiri tidak tahan. Lenguh. Letih. Sesekali solat duduk dan kemudian berdiri semula.

Selepas terawih selesai, ketika makan-makan moreh, orang-orang tua semuanya diam, kelu. Seperti tidak tahu mahu cakap apa. Imam makan dengan tekun sekali. Tidak lihat kiri dan kanan. Saya makan dengan laju, bawa emak balik dan makan semula di rumah. Nasi yang masih ada lauknya dari siang lagi sedap dari jamuan moreh.

Datang semula ke universiti, waktu itu di matrikulasi Nilai, Negeri Sembilan, saya mula merasa terpanggil untuk menghafal al-Quran. Saya mencari program hafalan di masjid jika ada. Sayangnya sudah penuh. Saya mula menghafal sendiri. Bermula dengan mukasurat pertama, kedua dan seterusnya. Setiap petang dan malam. Tidak sampai seminggu saya berhenti. Saya berhenti bukan kerana apa, hanya letih dan malas. Lagi satu, saya sendiri tidak kuat disiplinnya.

Selepas beberapa bulan, saya dengar berita menyedihkan pula dari emak. Di ganggang telefon emak bercerita si “imam muda” sedang nakal dan buas di kampung, didakwa menghisap ganja dan sering mendatangkan kemarahan orang kampung.

“Hari tuh mak cakap dia dah hafal 30 juzuk, pasaipa jadi macam tuh pula?” Saya bertanya. Emak bingkas mengeluh dan membalas, “Pi kemana entah 30 juzuk tuh.”

Cerita di Kampus Utama

Saya masuk ke Gombak, kampus utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan semangat yang baru. Saya mahu mendaftar program tahfiz. Tapi kelulusan saya tidak diterima dan temuduga saya gagal. Sayangnya, saya tidak diterima masuk ke program tahfiz selama enam semester itu.

Hasrat saya untuk jadi hafiz masih tidak berjaya dikecapi. Namun apabila saya kembali bertanya kepada diri, kenapa aku mahu menjadi hafiz? Saya seakan terdiam. Saya tidak temu jawapan.

Jika mahu ada 30 juzuk dalam dada, sudah sering saya lihat dada 30 juzuk yang lebih berbuat onar dari manusia penghafal surah lazim semata. Bila saya mula memerhatikan lagi, penghafal 30 juzuk al-Quran adalah orang yang bila berselisih dengan saya, senyuman saya tidak dibalas. Malu sekali.

Jadi, saya sudah boleh mula menyimpulkan, ada something wrong somewhere. Sesuatu yang tidak kena di mana-mana.

Maka, soalan-soalan mula muncul di dalam benak kepala. Kenapa menghafal al-Quran 30 juzuk masih juga tidak berjaya menghalang seseorang dari melakukan dosa? Dari mana datangnya konsep pendidikan menghafal 30 juzuk al-Quran ini? Salah institusi atau orangnya? Adakah orang-orang dahulu menghafal al-Quran seperti yang dihafal pada hari ini?

Saya tiada jawapan yang berfakta, masih menganalisa dan menyelongkar di mana-mana. Cuma, saya barangkali percaya institusi adalah suatu hal yang boleh didebatkan, dibincangkan meskipun ia sangat berkait rapat dengan oleh pengamalnya. Namun, yang menjadikan seseorang itu siapa ialah dirinya sendiri.

Berbual Dengan Emak

“Jadi, menghafal al-Quran dan menyelami al-Quran beza tau mak,” kata saya kepada emak petang itu. Emak sambil menyagat daun-daun kering membalas selamba, “Beza kat mana?”

“Menghafal al-Quran ingat ayat-ayat al-Quran dalam kepala. Tetapi menyelami al-Quran, atau dalam bahasa Arab depa panggil tadabbur, maksudnya memahami al-Quran dengan sangat mendalam. Al-Quran ni mak, boleh faham dengan terjemahan, tapi tak boleh rasa nikmatnya hanya dengan baca terjemahan.” Saya mula memutarkan idea-idea yang mudah supaya emak faham. Menggunakan terma seperti di dalam universiti, emak saya lagi pening nanti.

“Macam mana tuh? menatang apa hang cakap ni?”

Baru sahaja terlintas dalam kepala, emak memang tidak faham betul.

“Macam tu la mak. Maksudnya, kita kena baca tafsir al-Quran, baru kita betul-betul faham al-Quran. Kalau baca terjemahan sahaja tak berapa nak cukup. Ni mai cek nak bagi contoh, mak cuma bagi maksud qul huwAllahu ahad?”

“Ada ka suruh mak bagi maksud. Hang la bagi. Katakanlah Allah itu satu, kan?” Saya membalas senyuman panjang kepada emak. Kali ini, ada mesej subliminal yang akan saya nasihati emak secara tidak langsung.

“Mak tau ka apa maksud Allah tuh satu ja?”

“Tau la, maksudnya tak ada Tuhan lain. Allah saja. Dan kita kena percaya Allah saja. Tuhan-tuhan lain semuanya tak wujud.”

“Apa maksud percaya tuh mak?” Saya bertanya lagi.

Emak menjawab segera, “Maksudnya kita percaya yang Dia boleh buat macam-macam kat kita, dan Dia dah tentu segala-galanya dalam hidup kita ni. Kalau percaya Allah maksudnya kita tak gaduh nak percaya benda lain.”

“Ha, mak dah macam Ustazah Bahyah. Betul. Tapi pasaipa kita macam tak menyembah atau tak percaya Tuhan yang satu ja la ni?” Soalan saya buat emak berhenti menyagat sampah sebentar.

“Tang mana pula depa tak percaya tuh?” Soalan emak masuk ke dalam perangkal nakal saya.

“Dah tuh, mak kata kat cek dulu kena ambil SPM sebab kalau tak dak SPM nak kerja macam mana, mak percaya kat SPM ka percaya kat Allah?” Emak membulat mata melihat saya. Cepat-cepat saya menambah, “Tak dak aeh, jadi nak katanya kat sini mak, kalau hanya baca terjemahan faham maksud dalam bahasa Melayu saja, kita tak amalkan pun sebenarnya al-Quran. Tengok macam mana maksud Allah yang satu tuh mak boleh hurai sampai bab SPM. Mak tau dak, dengan kupas makna ni saja Islam ni sampai jadi macam la ni, hebat dan meluas satu dunia.”

“Macam mana tuh, hang cakap menatang pa lagi ni?” Saya tergelak melihat gaya emak blur.

“Mak, dengaq ni cek nak habaq,” emak datang duduk di pelantar depan rumah sebelah saya dan menuangkan teh panas secawan, “antara benda yang paling penting pasaipa Islam zaman dulu ni hebat ialah depa ada satu kepercayaan yang sama. Depa tak ada percaya kat benda-benda lain. Bila percaya satu ja, semua orang tak boleh nak buat benda-benda yang boleh membatalkan kepercayaan ini. Inilah dia tauhid tuh, percaya kat Allah, yang mak hurai dari ayat qul huwAllahu ahad tadi. Sepotong ayat ni saja mak jika dihurai, dikupas, dilihat makna yang mendalam, ayat ni telah menjadi sebab yang besaq kenapa Islam sangat hebat dari dulu sampai la ni.”

“Ooh, jadi itulah beza dia hafal al-Quran dengan faham al-Quran?” tanya emak dan saya bingkas menjawab, “Betoi mak, 100 markah.”

Berbual Dengan Dr. Nadzirah

Hari ini, selepas show kupasan tafsir Al-Azhar di radio iium.fm bersama Dr. Nadzirah, saya mengambil peluang berbual-bual dengan doktor. Banyak yang kami bualkan. Bermula dari isu perempuan dari sudut pandang Hamka sehinggalah ke hal-hal yang kecil. Saya menawarkan diri membantu doktor sekiranya doktor memerlukan kerana sekarang doktor banyak mengkaji tentang perbandingan tafsir-tafsir.

“Saya rasa, ustazah kena lahirkan pelapis ustazah, pelajar perempuan yang mengkhususkan diri dalam bidang tafsir ini, penting tuh ustazah.” Kami berhenti sekejap di lorong utama bangunan Human Sciences.

“Itulah, ustazah tak tahulah macam mana nak cari. Ustazah tak jumpa pelajar yang ghairah nak baca tafsir, nak kaji tafsir ni. Kalau tak kerana assignment dah tentu pelajar tak baca tafsir. Pelik betul. Padahal pelajar-pelajar yang berjurusan Quran & Sunnah.” Ustazah seakan merungut.

“Sedih kan apabila tafsir-tafsir hebat seperti tafsir Al-Azhar ini tidak diketengahkan kepada masyarakat. Sepatutnya pelajar-pelajar jurusan Quran Sunnah inilah yang buat. Apatah lagi yang perempuan. Saya fikir, memang payah ustazah zaman sekarang nak jumpa tokoh pengkaji tafsir perempuan. Kesian kat ustazah seorang-seorang buat semua ni.”

Dalam hati, terdetik kasihan. Dr. Nadzirah sanggup memberikan ruang masa datang ke konti dan mengupas dengan sangat teliti dan mendalam tafsir Al-Azhar karya Buya Hamka. Begitulah tekun ustazah ini.

Di Mana Al-Quran Di Dalam Diri Kita?

Memang kepala saya sudah berdengung mahu menuliskan sesuatu. Meskipun saya bukanlah orang yang selayaknya, namun sudah terdetik di hati saya mahu menunjukkan betapa dunia tafsir agak sunyi di zaman remaja.

Saya semakin mendapat jawapan tentang apa yang saya soalkan. Rupanya berbeza sungguh dengan menghafal al-Quran dan mentadabbur al-Quran. Ramai orang hanya ingat mukasurat berapa al-Quran, tetapi berapa yang boleh ingat perbezaan dan persamaan tafsir-tafsir pada ayat yang sama misalnya?

Maka, saya berkata pada diri. Tidak mengapa jika saya bukan seorang hafiz. Cukuplah saya diberikan sedikit minat dan ghairah untuk mengkaji dan mengkaji, mendalami dan menekuni tafsir. Semuanya ini hadir setelah tafsir Al-Azhar saya selak. Betapa indah tafsir ini dan betapa dekat tafsir ini dengan masyarakat kita, masyarakat Melayu.

Wahai pelajar Quran & Sunnah, atau pelajar pendidikan Islam yang lain, saya fikir saranan ini perlu disahut dengan sesungguh-sungguhnya. Tidak cukup makna-makna indah al-Quran itu hanya terperangkap di sebalik dinding-dinding tingkat dua perpustakaan Dar al-Hikmah UIAM. Sampaikanlah ia ke dada dan sampaikanlah ia ke masyarakat.

Menghafal al-Quran, membaca terjemahan dan memahami tafsir al-Quran adalah tiga perkara yang begitu jauh ruang antaranya. Yang sudah menghafal al-Quran, alangkah indahnya jika mula membaca tafsir, pasti ia menjadi satu sinergi ilmu yang sangat hebat.

Menghafal dan membaca terjemahan al-Quran barangkali boleh saya ibaratkan seperti berenang di permukaan lautan yang luas, indah pastinya, seronok mestinya, tetapi berjaga-jagalah badai ombak yang tidak menentu. Begitulah juga banyak ayat-ayat yang tidak boleh dibaca hanya terjemahan, kelak akan hilang makna dan menyeleweng fahamannya.

Dan untuk selamat di lautan, belajarlah menyelam ke dalamnya. Akan tertemulah kita dengan keindahan lautan yang tidak terlihat di permukaan, batu-batu karang dan tumbuhan-tumbuhan yang sungguh cantik. Begitulah membaca tafsir, kita akan temui keindahan yang sungguh tidak terkata. Maka, waktu itu, tahulah kita yang al-Quran sudah cuba kita pahatkan di dada. Semoga al-Quran benar-benar menjadi teman kita dunia Akhirat, mengajar kita, membimbing kita dan merotan kita jika perlu.

sumber : Bingkisan Kalbu.http://hafizulfaiz.com/?p=1680

Comments

Popular posts from this blog

FADHILAT DAN KHASIA SURAH EMPAT QUL

KHASIAT AIR KETUM

Khasiat Pokok Lidah Ayam